August 13, 2012

Bicara Isnin Sinar: Institusi Islam tidak proaktif bantu OKU

KUNJUNGAN ke beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menguruskan orang kurang upaya (OKU), membuatkan hati kami tersentuh apabila melihat permasalahan yang meletakkan mereka dalam dilema. Antaranya tawaran daripada pertubuhan agama lain yang sudi membantu aktiviti mereka atas nama kemanusiaan.

Kita tidak boleh menyalahkan NGO bukan Islam yang mahu membantu, kerana ia memenuhi kehendak agama mereka. Namun, kita tertanya, di mana institusi Islam yang layak membantu mereka secara menyeluruh dan serius?

Alangkah eloknya, jika mereka mendapat perhatian penuh daripada institusi seperti pusat zakat ataupun mana-mana badan Islam yang lain.

Pengakuan daripada NGO yang ditemui, semuanya mengaku pernah ditawarkan bantuan moral dan kewangan oleh pertubuhan bukan Islam. Namun, jawapan serupa yang kami terima:

"Tidak pernah terlintas lagi dalam fikiran kami untuk menerima bantuan tersebut. Kami masih mengharapkan dan percaya, ada institusi Islam di negara ini yang prihatin terhadap kami. Apa gunanya kita ada pusat zakat?"

Rentetan itu, Bicara Isnin terpanggil untuk membuka isu ini. Menemui pihak-pihak yang ada autoriti supaya dapat sama-sama melihat secara terperinci persoalan dan permasalahan yang timbul.

Bermula dengan mendengar keluhan NGO, kami panjangkan kepada ahli akademik dan pendakwah Islam untuk mendapatkan pandangan.

Selepas ini, adakah mungkin pusat zakat dan Majlis Fatwa tergerak hati menjenguk dan menawarkan penyelesaian kepada keluhan mereka?

KUALA LUMPUR - Institusi agama Islam di negara ini didakwa tidak memberi perkhidmatan proaktif kepada golongan memerlukan seperti OKU. Ahli Jawatankuasa Hak-Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Mohammad Faizal Che Yusof berkata, majlis-majlis agama lebih banyak menunggu OKU datang meminta bantuan berbanding mereka sendiri yang keluar mencari OKU.

“Kalau ada OKU yang dapat bantuan pun, hanya mereka yang memohon melalui NGO dan terpaksa naik turun berjumpa orang atasan,” katanya.

Perkara ini diburukkan lagi apabila fungsi majlis agama berbeza mengikut negeri. “Ada negeri beri bantuan, ada yang tidak. Sepatutnya fungsi majlis agama diselaraskan di peringkat kebangsaan, bukan mengikut negeri,” katanya yang menjadi antara penggerak kempen OKU Bangkit 2012 untuk meningkatkan kesedaran orang awam dan OKU mengenai hal berkaitan OKU.

Sementara itu, beliau juga bersetuju OKU dimasukkan di bawah asnaf fisabilillah kerana asnaf itu mempunyai definisi paling meluas.

“Ditambah pula dengan fakta bahawa kemiskinan adalah lumrah bagi kebanyakan OKU, memang kami patut terima bantuan zakat,” katanya.

Namun, apa yang mengecewakan, golongan agamawan sendiri dikatakan mempunyai persepsi negatif terhadap OKU sehingga enggan memberi peluang kepada mereka.

“Bayangkan, kami pernah minta OKU ditempatkan di masjid dan surau sebagai imam, bilal atau tok siak, tetapi orang agama sendiri tidak mahu dan pelbagai alasan diberi.

“Saya rasa terkilan kita asyik bercerita mengenai kehebatan OKU lain di luar negara, tetapi tidak buat apa-apa di Malaysia.

“Sedangkan OKU Islamlah paling ramai tercicir berbanding OKU bukan Islam kerana yang bukan Islam dibantu dan mendapat sokongan kuat institusi agama mereka sendiri,” katanya dengan nada kesal.

Sementara itu, Faizal berkata, kempen itu turut cuba mendapatkan bantuan parti politik supaya isu kebajikan OKU boleh dibincangkan di Parlimen.

“Saya minta bantuan ramai ahli Parlimen daripada semua parti, tetapi malangnya tiada yang mahu membawa isu OKU ini ke Parlimen.

“Kami mahu parti politik memasukkan isu OKU di dalam manifesto mereka. Kini, Pas bersedia membantu kami, tetapi kami sentiasa terbuka jika parti lain turut sama membantu,” katanya.

Menurut Faizal, pihak kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut memberi perhatian terhadap kempen ini, tetapi beliau mengakui kementerian itu menguruskan terlalu banyak benda sehingga agak sukar untuk memberi perhatian khusus kepada isu OKU.

“Sebab itu kami mahukan satu portfolio diwujudkan di peringkat tertinggi yang merentasi semua kementerian.

“Kerajaan tidak boleh anggap OKU tiada masalah hanya kerana kami tidak bersuara atau berdemonstrasi, sedangkan masalah OKU ini tidak pernah selesai sejak Merdeka,” tegasnya.

Ditanya mengenai perjalanan kempen ini, Faizal berkata, mereka tidak berkempen menggunakan risalah atau bunting kerana ia memakan kos.

“Disebabkan kami menggunakan wang sendiri sahaja, jadi kami banyak bergantung kepada internet, dengan menggunakan Youtube, Facebook dan lain-lain,” akhiri beliau sambil berharap ada pihak yang sudi tampil memberi sokongan kewangan terhadap kempen itu.

Sinar Harian 13 Ogos 2012


OKU: Siapa akan jaga mereka selepas kami tiada?

NILAI - Pengerusi Persatuan Autisme Muslim Malaysia, Zambri Tembol berkata, kebimbangan utama ibu bapa adalah penjagaan kanak-kanak OKU selepas ketiadaan ibu bapa mereka.

“Pihak berwajib perlu faham, anak-anak istimewa ini memerlukan penjagaan sepanjang hayat. Siapa akan menjaga mereka apabila ibu bapa telah tiada?

“Sebab itu kami mahu wujudkan pusat untuk autisme seperti yang terdapat di luar negara dan berharap bantuan zakat dapat diberikan kepada pusat ini,” tambahnya.

Menurut beliau, jabatan agama Islam perlu membantu NGO Islam seperti mana institusi agama lain membantu NGO mereka. “Kami mengharapkan bantuan seperti wakaf untuk dijadikan premis. Apa yang kami perlukan adalah  bantuan kepada persatuan sebagai sebuah institusi, bukan kepada individu OKU,” katanya.

Menurut Zambri, terdapat beberapa masalah utama yang dihadapi ibu bapa dan kanak-kanak autisme di negara ini.

"Kanak-kanak istimewa ini perlu menjalani latihan terapi percakapan dan pekerjaan sekerap mungkin, tetapi kekurangan pakar di hospital kerajaan menyukarkan perkara itu. “Kalau di hospital swasta, bayarannya mencecah ratusan  ringgit bagi setiap sesi, dan ini membebankan ibu bapa,” katanya.

Ditanya mengenai peluang pendidikan pula, Zambri berkata, kebanyakan kanakkanak autisme dianggap tidak boleh mengurus diri dan akan dimasukkan ke kelas khas sedangkan ada kanak-kanak autisme yang mempunyai kebijaksanaan luar biasa, tetapi tidak mahir dari segi pergaulan sosial.

“Jadi kami mahu persatuan seperti ini menjadi orang tengah antara ibu bapa dan institusi lain untuk mendapatkan keperluan kanak-kanak autisme.

"Untuk itu, kami memerlukan bantuan daripada jabatan agama sendiri,” katanya.

Sinar Harian 13 Ogos 2012


OKU: Universiti boleh main peranan

NILAI – Selain jabatan agama, universiti adalah tempat paling sesuai untuk membantu persatuan atau akademi bagi OKU Muslim.

Ketua Projek Rintis Fakih Universiti Malaya (UM), Dr Nazean Jomhari berkata, kesukaran mencari bantuan daripada pihak swasta dan jabatan agama dapat diimbangi jika universiti bersedia membantu NGO OKU terutama dari segi  peralatan dan kemudahan.

Nazean mengasaskan Akademi Fakih Intelek dengan kerjasama UM untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan bagi membantu mengajar kanak-kanak kurang upaya belajar mengaji al-Quran dan solat.

Nazean berkata, idea menubuhkan akademi itu wujud selepas beliau gagal mencari guru agama untuk mengajar anaknya yang menghidap autisme membaca al-Quran.

“Saya pergi ke masjid-masjid dan bertanya sama ada anak saya boleh mengaji di sana, tetapi mereka cakap tak cukup tenaga pengajar.

“Kemudian saya panggil ustazah datang ke rumah untuk mengajar, tetapi mereka juga kecewa kerana kanak-kanak autisme terlalu aktif dan sukar beri perhatian jika tidak kena caranya,” katanya.

Menurutnya, beliau menyedari kanak-kanak autisme belajar melalui cara berbeza apabila anaknya mampu menghafal surah al-Quran yang dipasang di dalam kereta.

“Jadi baru saya faham mereka bukan belajar melalui visual, tetapi melalui cara lain,” katanya.

Nazean kemudian mencadangkan penubuhan Akademi Fakih Intelek kepada Pengarah Pusat Pengajian Quran dan Kajian Islam UM, Prof Datuk Dr Zulkifli Yaacob.

“Usaha itu membuahkan hasil apabila Dr Zulkifli dan pihak UM memberi sokongan yang sangat baik dalam bentuk geran penyelidikan, premis serta kemudahan lain. “Kini, akademi ini mempunyai 30 pelajar terdiri daripada kanak-kanak autisme, sindrom down, pekak dan cerebral palsy dan setiap mereka mempunyai seorang pengajar yang terdiri daripada sukarelawan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Akademi Fakih Intelek, Mohd Zaini Mat Abas berkata, akademi yang ditubuhkan tahun lalu ini sedang membangunkan silibus bagi mengajar kanak-kanak OKU mengaji al-Quran dan solat melalui  kaedah Fakih.

“Kaedah ini berdasarkan pembelajaran menggunakan nombor dan warna yang diasaskan oleh Dr. Nor Aziah Mohd Daud.

“Sesuatu yang ajaib apabila kanak-kanak istimewa mendengar ayat-ayat al-Quran, mereka menjadi lebih tenang,” katanya.

Mohd Zaini berkata, matlamat akademi itu adalah untuk menghasilkan silibus yang boleh diguna pakai sekolah-sekolah agama untuk mengajar agama kepada kanak-kanak OKU.

“Dalam masa terdekat ini, kami juga akan terbitkan buku untuk orang pekak belajar al-Quran,” katanya.

Sinar Harian 13 Ogos 2012


OKU asnaf fisabilillah

PERBINCANGAN dan keputusan memasukan pertubuhan atau organisasi yang menguruskan golongan orang kurang upaya (OKU) sebagai layak di dalam asnaf fisabilillah untuk menerima zakat perlu dilakukan.

Ini kerana masih terdapat ruang yang boleh diubah memandangkan lapan asnaf yang disenaraikan layak sebagai penerima zakat adalah bersifat fleksibel, kata Timbalan Presiden Darul Fitrah dan Pendakwah di K-Fiqh, Abdul Naser  Abdul Rahman.

Memperjelaskan perkara ini menerusi perspektif dakwah, katanya, dengan memasukkan organisasi yang menguruskan OKU di dalam asnaf fisabilillah, secara tidak langsung menjaga imej seterusnya memperkukuhkan agama Islam di dalam medan dakwah yang kian mencabar kini.

Katanya, OKU adalah golongan yang perlu dibantu. Jika memberi mereka bantuan secara perseorangan atas sebab miskin atau fakir untuk jangka masa panjang ia tidak membantu.

“Apakah cukup dengan membantu memberikan mereka makan dan minum? Bagaimana pula dengan pengisian jiwa dan pendidikan? Bagaimana nak menerapkan ilmu dunia, ilmu akhirat? Melihat kepada persoalan inilah, saya  melihat organisasi atau institusi yang tahu bagaimana untuk menguruskan golongan ini perlu dimasukkan sebagai layak menerima zakat. Kerana, untuk mewujudkan organisasi ini, ia memerlukan wang.

Di sinilah pandangan dan cadangan, organisasi yang menguruskan OKU layak dimasukkan di dalam asnaf fisabilillah dilihat sebagai relevan,” katanya sambil menambah, cadangan ini tidak wajar dipandang remeh.

“Ini adalah dakwah. Usaha untuk mempertahankan akidah dan usaha memperlihatkan imej Islam sebagai agama yang menyeluruh. Ini juga adalah perjuangan. Berdepan dengan agama- agama lain dalam usaha mempertahankan  kesucian akidah agar tidak disogok dengan anasir-anasir yang tidak sepatutnya walaupun atas nama bantuan kemanusiaan,” katanya.

Memperjelaskan lagi, beliau berkata, ini dapat menghalang campur tangan pihak agama lain dari memancing hati kumpulan atau organisasi yang menguruskan OKU ini dengan bantuan kewangan dan moral yang ditawarkan. Jika pihak pengurusan zakat boleh memberikan bantuan ini, katanya, ia sudah tentunya termasuk dalam aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan berdakwah Islam serta kebajikannya.

Mengambil contoh peristiwa Tsunami di Aceh, Indonesia pada 2004, Xifu Naser berkata, ketika itu bantuan daripada pelbagai persatuan agama lain tiba lebih awal dan memberikan bantuan kemanusiaan paling banyak, sedangkan  Aceh adalah kawasan penempatan Islam. Rentetan daripada keadaan ini, pengikut agama berkenaan semakin bertambah.

Melihat kepada contoh ini katanya, pergerakan dakwah Islam di negara ini perlu lebih cepat dan peka malah skop cara berdakwah itu perlu diperluaskan dan bukan hanya memberi ceramah di masjid atau di surau semata-mata. Beliau menegaskan, pada zaman serba mencabar ini, usaha mempertahankan kesucian Islam dan akidah agama ALLAH perlu ditambah baik setiap masa tanpa henti.

“Dakwah perlu dilihat dari skop yang luas di mana ia boleh diumpamakan sebagai medan pertempuran dalam mempertahankan kesucian agama (Islam) dan berdakwah di zaman serba mencabar kini, aspek memberi bantuan dalam  bentuk kemanusiaan paling penting. Dakwah kini perlu dilakukan dengan bijak, malah tidak salah kita melihat bagaimana pergerakan agama-agama lain dalam usaha mereka menyampaikan dan menyebarkan seterusnya mendapatkan pengaruh kepada agama mereka.

Kita perlu lihat dan mengkaji bagaimana mereka mendekati masyarakat dan bagaimana mereka menawan hati orang ramai,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai asnaf fisabilillah, beliau yang juga Pensyarah Pemikiran Kritis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini berkata, pada asalnya, asnaf zakat fisabilillah diberikan kepada pejuang-pejuang yang pergi berperang menentang musuh-musuh ALLAH.

Namun, kemudian diubah mengikut kepada kesesuaian zaman. “Ketika zaman Imam Syafi’i telah dimasukkan golongan yang menuntut ilmu ke jalan ALLAH juga sebagai penerima zakat di bawah asnaf fisabilillah kerana ketika zaman  itu, Islam tidak lagi pergi berperang, Islam telah kuat, kukuh bertapak, tetapi kekurangan ilmuwan-ilmuwan Islam sedangkan ilmu itu penting, mustahak untuk menjaga imej Islam dan memartabatkan akidah.

Maka melihat kepada aspek ini, golongan penuntut ilmu disenaraikan sebagai penerima zakat di dalam asnaf fisabilillah. Kerana golongan penuntut ilmu ini juga adalah pejuang di jalan ALLAH menerusi ilmu yang mereka tuntut.

“Begitu juga halnya dengan golongan OKU. Kita memerlukan organisasi-organisasi yang mantap untuk menguruskan golongan-golongan istimewa ini agar mereka tidak berasa terpinggir seterusnya hanyut di dalam dunia  masing-masing.

Sebaliknya, kita mahu melahirkan OKU yang hebat di dalam ilmu akhirat dan ilmu dunia yang akhirnya mampu menyumbang kepada golongan OKU yang lain. Oleh itu, berdasarkan kepada keadaan ini, Majlis Fatwa patut berbincang supaya memasukkan OKU di dalam persatuan ke dalam asnaf fisabilillah selagi mana mereka Muslim,” katanya.

Lapan asnaf penerima zakat

Fakir
Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain.

Miskin
Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya, tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.

Amil
Orang yang dilantik/ditauliahkan oleh Sultan atau Naibnya untuk penyelenggaraan hal-hal zakat.

Mualaf
Orang yang baru memeluk Islam iaitu “orang yang dijinakkan hatinya” dengan diberi bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam.

Riqab
Iaitu hamba mukatab yang ingin memerdekakan dirinya.

Gharimin
Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan: Orang yang berhutang itu  tidak mampu menjelaskan hutangnya; Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak; Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.

Fisabilillah
Fisabililah ialah tiap-tiap perbuatan/perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untuk menegakkan syiar Islam.

Ibnu Sabil
Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai belanja dengan syarat ia mengembara dari negeri tempat tinggalnya. Pengembaraan diharuskan oleh syarak.

Sinar Harian 13 Ogos 2012


OKU: Tunggu keputusan majlis fatwa

Jawatankuasa Fatwa setiap negeri diminta memutuskan sama ada individu atau pertubuhan Orang Kurang Upaya (OKU) layak menerima zakat.

Pengerusi Himpunan Ustaz dan Pendakwah atau Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana terdapat ruang masih boleh diubah yang mesti mengikut kesesuaian zaman, memandangkan lapan asnaf yang disenaraikan layak sebagai penerima zakat adalah bersifat fleksibel.

“Ini boleh dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Fatwa Negeri iaitu bagi melihat persoalan asnaf ini, pertamanya, jika OKU berkenaan fakir dan miskin. “Kedua, memasukkan mereka dalam asnaf fisabilillah sama ada kepada individu OKU atau pertubuhan yang menaunginya selagi mana mereka Muslim. Saya melihat masih ada peluang untuk memasukkan golongan ini ke dalam asnaffisabilillah (berjuang pada jalan Allah).

“Jika sebelum ini pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut tidak menganjurkan program agama untuk ahlinya, boleh sahaja pihak agihan zakat menjadikannya sebagai syarat bagi untuk agihan. Dengan cara itu ia pasti termasuk dalam fisabilillah. Selain itu, dapat pula menghalang campurtangan pihak agama lain daripada memancing hati kumpulan ini dengan bantuan kewangan dan moral yang ditawarkan. Jika pihak pengurusan zakat boleh memberikan bantuan ini tentunya ia adalah termasuk dalam aktiviti untuk menegak, mempertahan dan mendakwahkan Islam serta kebajikannya.

“Kita niat hendak membantu untuk me ngelakkan kebajikan OKU terabai dan diambil alih oleh orang bukan Islam. Sangat dibimbangi sekiranya mereka dibantu oleh kaum agama lain dengan tujuan menarik mereka (OKU) ke dalam agama berkenaan. Maka ketika itu, golongan OKU ini boleh diberikan zakat,” hujah beliau. Tegasnya, sekiranya ada pihak yang mempersoalkan pemberian zakat berhubung isu kaya atau miskin seseorang OKU yang bernaung di dalam sesebuah pertubuhan, Dr Zaharuddin berkata, itu bukan suatu masalah yang rumit.

“Kalau seseorang OKU itu kaya sekalipun, zakat tetap boleh diberikan atas alasan asnaf fisabilillah. Telah menjadi perkara yang dipersetujui ulama silam dan kontemporari, bajet fisabilillah memang boleh diagihkan kepada orang yang kaya yang sedang menyebar dan mempertahankan Islam," katanya.

Pensyarah Kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu seterusnya berhujah, terdapat satu lagi pandangan iaitu dengan memasukkan OKU ke dalam asnaf al-riqab (hamba), asal konsep ini adalah memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penakhlukan sama ada dari segi cengkaman fizikal seperti terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.

“Misalnya seperti yang dilakukan oleh Selangor yang meletakkan sebahagian pesakit HIV sebagai asnaf riqab. “Di negeri tersebut, seseorang wanita yang dianiaya, seperti ditangkap oleh bapa ayam dan dilacurkan, kemudian memperoleh penyakit itu telah diputuskan sebagai asnaf riqab. “Begitu juga dengan keadaan pesakit HIV yang dijaga oleh orang bukan Islam di mana bagi tujuan menebusnya, maka mereka diletakkan sebagaiasnaf riqab,” ujarnya.

Katanya lagi, berhubung isu pesakit HIV, di mana perlu ditetapkan sama ada mereka benar-benar teraniaya sehingga mendapat penyakit itu atau akibat perbuatan mereka sendiri seperti terlibat dalam penagihan dadah mahupun pelacuran. “Sekiranya sah, mereka sendiri ‘mencari penyakit’, maka adalah tidak layak hendak dijadikan sebagai penerima zakat. Begitu juga terdapat permintaan untuk memasukkan penagih dadah, mat rempit dan individu yang berhutang dengan pemberi pinjam tanpa lesen (ah long) ke dalam asnaf riqab.

“Bagi saya, sebarang belenggu disebabkan pilihan sendiri adalah tidak boleh untuk melayakkan mereka sebagai asnaf. Saya berikan contoh, mereka yang meminjam wang dengan ah long dengan tujuan asal untuk kemewahan adalah tidak layak,” ujarnya yang juga ahli panel kajian syariah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Di sini, saya berpandangan, OKU juga layak sebagai asnaf riqab seperti pesakit HIV yang terbelenggu tadi. Golongan OKU misalnya orang buta, sindrom down dan lain-lain kekurangan diri, adalah terkongkong kebebasan mereka, memandangkan masyarakat sering salah faham mengenai keupayaan OKU untuk bergerak mencari nafkah atau pada kemampuan mereka dalam pembelajaran,” katanya.

Pendakwah tersebut menyatakan, OKU dilihat sebagai golongan yang telah terbelenggu dengan keadaan diri mereka. Bukan pilihan mereka dalam banyak keadaan. “Perlu difikirkan bagaimana nasib OKU, sekiranya ibu bapa atau waris yang menjaga mereka sudah meninggal dunia. Maka perlunya peranan sesebuah badan persatuan khususnya NGO untuk membantu menguruskan mereka kelak.

“Justeru saya berpendapat, adalah penting untuk memasukkan OKU ke dalam asnaf riqab sebagaimana kes khas berkaitan pesakit HIV yang terperangkap tadi. “Di sini saya berharap supaya ianya boleh diperbincangkan di peringkat Majlis Fatwa kerana sekiranya ada bantuan zakat, golongan OKU boleh bergerak dari sudut memulakan penghidupanm(sumber nafkah),” ujarnya.

Sekali lagi beliau menyatakan, bahawa ada peluang untuk memasukkan OKU sebagai asnaf sama ada individu atau dalam pertubuhan. “Malah lebih baik sekiranya diberikan kepada sesebuah pertubuhan kerana sesebuah institusi tersebut boleh menguruskan OKU dengan baik,” ujarnya.

Menurutnya, selain definisi asnaf yang fleksibel, perlu diingat bahawa zakat adalah untuk orang yang memerlukan seperti hadis Nabi SAW bahawa: “Tidak halal sedekah atau zakat kepada orang kaya atau yang tidak cacat.” Menurutnya, daripada hadis Nabi, boleh difahami bahawa zakat adalah khas kepada orang miskin serta cacat dan rasionalnya, golongan OKU mengalami kesusahan hidup berganda.

Katanya, persoalan meletakkan OKU dalam kumpulan asnaf yang mana satu adalah permasalahan teknikal tetapi secara prinsipalnya, mereka layak diberikan zakat berdasarkan dalil hadis itu. “Tidak mungkin ALLAH SWT meletakkan sesuatu hukum pada sesuatu perkara yang tidak boleh diaplikasikan.

“Seperti saya katakan, misalnya persoalan asnaf fisabilillah dan riqab ini memerlukan para ulama berbincang untuk mencari jalan keluar atau penyelesaiannya. “Jawatankuasa fatwa setiap negeri dicadangkan supaya membincangkan perkara ini demi kemaslahatan OKU dan pertubuhan yang melindunginya,” ujar beliau.

Menurutnya, janganlah menafikan fisabilillah dalam persoalan OKU tersebut kerana terdapat syarat yang boleh dibuat dalam usaha melayakkan OKU dimasukkan ke dalam asnaf fisabilillah. “Misalnya, Lembaga Pusat Zakat boleh mengenakan syarat kepada sesebuah institusi atau NGO OKU supaya memegang agenda bagi setiap pertubuhan yang dikendalikan.

“Sebagai contoh, mungkin sesebuah institusi itu diberi syarat supaya perlu mewujudkan kelas fardu ain atau apa jua majlis keagamaan yang bermanfaat kepada OKU,” kata beliau. Justeru katanya, beliau menyarankan kepada OKU dan mana-mana NGO supaya menghantar surat rasmi (membuat permohonan) kepada mufti supaya hal dan persoalan ini dibincangkan oleh Majlis Fatwa.

Sinar Harian 13 Ogos 2012


Institusi Islam bagai pinggir OKU

SHAH ALAM – Isu orang kurang upaya (OKU) bagaikan tiada tempat di dalam agenda Islam dan dakwah di Malaysia.

Pensyarah Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu dapat dilihat melalui pendekatan institusi agama Islam sendiri.

“Kalau kita pergi ke masjid di seluruh negara, berapa banyak yang ada kemudahan untuk OKU seperti laluan khas, al-Quran Braille, dan juga kelas khas untuk OKU? Berapa ramai OKU yang menjadi imam dan petugas masjid?

“Adakah unit dakwah jabatan agama Islam mempunyai pegawai terlatih untuk berdakwah kepada golongan OKU? Jadi, pendekatan baru dalam dakwah Islam dan juga ijtihad baru di dalam isu OKU diperlukan untuk membentuk sikap lebih positif dalam jabatan agama, mufti dan juga umat Islam,” terang beliau.

Maszlee turut meluahkan kekesalan apabila institusi agama Islam mengharapkan OKU mencari bantuan sendiri, sedangkan orang agama sepatutnya lebih proaktif membantu orang kurang bernasib baik.

“Minda mereka yang mentadbir jabatan agama perlu diubah dan perlu melalui transformasi berteraskan ijtihad baru dan moden supaya bersesuaian dengan keperluan golongan memerlukan,” tegasnya.

Mengenai isu sama ada OKU layak menerima zakat seperti disiarkan dalam Sinar Harian kelmarin dan semalam, Maszlee berkata, kecenderungan untuk melihat isu OKU dari sudut individu menyebabkan institusi Islam tidak mengambil kira OKU sebagai golongan layak menerima zakat.

“Orang agama hanya lihat isu OKU dari sudut individu semata-mata. Mereka hanya lihat, adakah individu OKU itu fakir miskin atau tidak. Jika tidak, maka dia bukan asnaf dan tak layak terima zakat,” katanya.

Sedangkan, kata Maszlee, isu OKU perlu dilihat secara lebih meluas dan dalam kerangka moden.

“Contohnya, ada OKU yang menghadapi kesukaran belajar seperti kanak-kanak sindrom down, autisme, disleksik, ADHD, Cerebal Palsy dan lain-lain. Mereka perlukan pusat pendidikan dan penjagaan khas supaya boleh berdikari di masa depan.

“Penubuhan atau pengurusan institusi penjagaan dan pendidikan OKU, latihan untuk guru-guru di pusat OKU, dan kempen kesedaran ibu bapa Muslim supaya tidak mengabaikan aspek pendidikan anak-anak OKU, boleh menggunakan asnaf fisabilillah dan juga mualaf,” tambahnya.

Maszlee berkata, selain asnaf fisabilillah, asnaf riqab juga boleh digunakan untuk membiayai pusat penjagaan OKU seperti pengurusan pusat pesakit HIV positif oleh Lembaga Zakat Selangor.

"Apa yang OKU mahukan adalah supaya mufti, majlis fatwa negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berhubung OKU serta mengharapkan pusat zakat dan baitulmal bersikap proaktif membela nasib mereka," katanya.

Maszlee juga berpendapat, isu OKU ini timbul kerana institusi agama tidak melihat diri mereka di dalam kerangka moden sebagai institusi bersifat ‘Rahmatan lil ‘Alamin’ untuk menyebarkan nilai kebajikan, sebaliknya lebih menumpu soal hukum-hakam dan undang-undang.

“Kita perlu ingat, pertubuhan agama lain bergiat aktif menjaga kebajikan OKU di seluruh Malaysia. Kita tidak boleh larang mereka buat kebajikan, tetapi kita perlu maju ke hadapan seiring dengan mereka.

“Kalau sikap umat Islam masih lalai dan tidak proaktif, jangan salahkan agama lain jika mereka lebih diminati dan dikagumi,” tegasnya.

Ditanya berhubung kekurangan perkhidmatan institusi Islam kepada OKU, Maszlee berkata, ia mungkin timbul akibat mentaliti makan gaji di jabatan agama Islam serta pegawai yang merasakan mereka menjalankan tugas rasmi semata-mata.

“Ini berbeza dengan badan-badan agama lain yang kebanyakannya adalah pertubuhan masyarakat sivil dan bertunjangkan semangat untuk berdakwah, berkorban dan juga ikhlas di dalam misi yang mereka lakukan,” katanya.

Beliau berkata, masalah antara OKU dan institusi Islam diburukkan lagi dengan karenah birokrasi yang merencatkan usaha dakwah Islam serta tidak berani membuat sesuatu tanpa fatwa ataupun keputusan dari badan penasihat Syariah.

“Sedangkan mereka yang terlibat dengan fatwa dan badan penasihat Syariah tidak terdedah kepada isu sosial dan masyarakat seperti isu OKU. Ini berbeza dengan pendakwah agama lain yang mendekati masyarakat untuk membantu dan menyebarkan agama mereka.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah ijtihad baru berhubung isu OKU di Malaysia. Institusi Islam perlu berfikir secara analitikal dan bertindak proaktif, dan fiqh baru diperlukan di dalam isu ini," akhiri beliau.

Sinar Harian 15 Ogos 2012



0 comments:

Post a Comment