July 6, 2012

Simpan mayat bayi dalam beg


KUALA TERENGGANU - Helah seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah berasrama di sini, untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana senggugut akhirnya terbongkar.

Setelah pemeriksaan dibuat, doktor mendapati pelajar tersebut baru sahaja melahirkan anak.

Dalam kejadian Selasa lalu, bayi perempuan yang dilahirkan kira-kira jam 1 pagi dalam tandas asrama sekolah berkenaan, disumbat di dalam beg galas sebelum disahkan meninggal dunia.

Bayi tersebut mempunyai kesan lebam di kepala, dipercayai terhantuk ketika proses kelahiran serta paru-paru dipenuhi air dan mengalami pendarahan teruk akibat tali pusat dipotong tidak betul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, pelajar itu mendapatkan rawatan di HSNZ kira-kira jam 6 petang pada hari kejadian kerana mengalami sakit perut akibat senggugut. Tetapi selepas pemeriksaan dilakukan, doktor mendapati sakit dialami adalah kesan selepas melahirkan bayi.

“Doktor yang merawatnya terkejut lalu menyuruh pelajar berkenaan menceritakan kejadian sebenar dan setelah dipaksa, dia mengaku baru melahirkan seorang bayi perempuan dan menyimpan bayi itu di dalam beg galas, sebelum menyerahkan kepada salah seorang rakan perempuannya di sekolah itu.

“Tanpa membuang masa, pihak hospital terus menghubungi rakan dimaksudkan dan rakannya mengakui langsung tidak ketahui isi kandungan di dalam beg galas itu kerana tidak dimaklumkan kepadanya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, pihak hospital mengarahkan rakan pelajar itu membawa beg galas berkenaan ke hospital.

Menurutnya, pihak hospital menemui seorang bayi di dalam beg tersebut yang sudah meninggal dunia, sebelum membuat laporan polis.

“Susulan laporan dibuat, polis ke sekolah remaja berkenaan dan hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui gunting yang dipercayai digunakan untuk memotong tali pusat bayi manakala urinya sudah dibuang ke dalam tong sampah.

“Mayat bayi malang berkenaan dihantar untuk dibedah siasat dan sehingga kini punca kematiannya masih belum diketahui. Tetapi pemeriksaan menemui kesan lebam di kepala dan air di dalam paru-paru, dipercayai akibat lemas dan pendarahan yang banyak kerana tali pusat dipotong tidak betul,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati, pelajar itu mengaku bayi yang dikandunginya adalah hasil hubungan seks dengan seseorang dipercayai teman lelakinya yang dikenali sejak November tahun lalu.

“Dia turut mengaku menyembunyikan kehamilannya itu daripada pengetahuan ibu bapa, rakan, keluarga dan guru,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini polis masih gagal mendapatkan identiti lelaki itu kerana pelajar terbabit belum bersedia memberi kerjasama berikutan masih dalam keadaan lemah serta menerima rawatan di wad HSNZ.

“Kita akan menahan pelajar ini selepas dia sembuh nanti untuk disoal siasat bagi memburu lelaki yang menyebabkan dia hamil.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 309B membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda,” katanya.

Sinar Harian 6 Jul 2012



Remaja ditahan kes buang bayi

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki dipercayai bapa kepada bayi malang yang diletakkan di dalam beg sandang selama 17 jam selepas dilahirkan, ditahan di Kampung Cherang Guling, Marang dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, suspek yang berusia 19 tahun itu ditahan di rumahnya pukul 4 pagi dan direman bagi membantu siasatan.

"Siasatan mendapati remaja berusia 16 tahun yang melahirkan bayi itu dan suspek bukan pasangan kekasih tetapi melakukan hubungan seks secara suka-suka sebanyak dua kali pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo! Jumaat lalu melaporkan seorang pelajar sebuah sekolah asrama dekat sini ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas mengadu sakit perut.

Selepas bersalin, remaja perempuan itu kemudian menyorokkan bayinya di dalam beg sekolah sebelum diserahkan kepada rakannya yang tidak mengetahui beg itu berisi bayi.

Bedah siasat mendapati kepala bayi berkenaan lebam dan terdapat cecair di dalam paru-parunya tetapi punca sebenar kematian bayi itu masih disiasat.

Kosmo 8 Jul 2012


'Bapa' bayi dalam beg sandang ditahan

KUALA TERENGGANU 7 Julai - Polis menahan seorang pemuda berusia 19 tahun yang dipercayai 'bapa' kepada bayi yang ditemui mati di dalam sebuah beg sandang di asrama sebuah sekolah menengah di sini, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, suspek ditahan di rumahnya di Kampung Cherang Guling, Marang pukul 4 pagi ini.

Menurutnya, remaja lelaki itu dipercayai individu yang bertanggungjawab menghamilkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun sehingga melahirkan bayi yang kemudian menyembunyikan bayi itu dalam sebuah beg sandang sehingga mati.

"Kita sedang berusaha untuk mendapatkan keterangan daripada pelajar perempuan terbabit, manakala suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat depan," katanya di sini hari ini.

Utusan 8 Jul 2012



Menangis ketika dibaca tuduhan merogol

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas dakwaan merogol mangsa.

Tertuduh, 19, dipercayai kawan kepada pelajar tingkatan empat yang melahirkan seorang bayi di dalam tandas asrama sebuah sekolah menengah di sini.

Tertuduh dari Marang, hanya menitiskan air mata sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol itu, dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Bagaimanapun, tertuduh yang juga penganggur itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun.

Kejadian berlaku di dalam sebuah kereta Proton Satria Neo, di jalan sempit yang dikelilingi semak samun dan kelapa sawit di Kampung Padang Mengkuang, Marang antara jam 8 malam hingga 10.30 malam, 11 Oktober tahun lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah di bawah pertuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Setelah pengakuan tidak bersalahnya direkodkan, Wan Fadhilah menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan laporan mengenai seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di bandar raya ini yang ‘kantoi’ beranak dalam tandas asrama, setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ) di sini, kononnya akibat senggugut.

Dalam kejadian 3 Julai lalu, remaja berkenaan dikatakan meletakkan bayinya dalam sebuah beg galas, sebelum menyerahkan kepada seorang rakannya tanpa memberitahu isi kandungannya.

Siasatan awal polis mendapati tertuduh mengenali mangsa dan mereka pernah berjumpa beberapa kali serta dipercayai melakukan hubungan seksual sekitar Oktober atau November tahun lepas.

Sinar Harian 20 Jul 2012


0 comments:

Post a Comment