July 20, 2012

Jurujual mati ditembak ketika tunggu isteri pulang


MAYAT Asnan Yunus ditutup plastik hitam di sebelah keretanya selepas ditembak tiga das di Bandar Utama, Segamat, Johor, semalam. Utusan

SEGAMAT - Seorang pekerja sebuah syarikat jualan langsung mati ditembak seorang lelaki tidak dikenali ketika dia sedang menunggu isterinya pulang daripada bekerja di sebuah pusat hiburan di Bandar Utama di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, mangsa Asnar Yunus, 28, dari Felda Palong Timor mati setelah terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta bersama beberapa orang lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat Supt Md Anuar Ismail berkata mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk, tengkuk, serta bawah telinga kiri menyebabkan mangsa mati ditempat kejadian.

"Mangsa ketika itu sedang menunggu isterinya dalam sebuah kereta berhampiran dengan sebuah kedai serbaneka apabila datang sebuah kereta menghampiri kenderaan mangsa.

"Salah seorang penumpang dalam kereta itu telah melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa menyebabkan mangsa mati ditempat kejadian," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Md Anuar berkata, polis sudah mengenal pasti individu yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, katanya setakat ini polis masih menyiasat motif sebenar pembunuhan tersebut.

Difahamkan, ini adalah merupakan kejadian tembak ketiga di daerah ini dalam tempoh tidak sampai dua bulan.

Dalam kejadian pertama pada 12 Jun lalu, seorang ahli perniagaan mati ditembak dari jarak dekat oleh lelaki bermotosikal ketika mangsa sedang mengisi minyak di sebuah stesyen minyak di Jalan Genuang.

Manakala pada 23 Jun lalu pula, dua orang suspek melepaskan empat das tembakan ke atasa seorang pemandu trak penunda menyebabkan mangsa mengalami cedera dalam kejadian di Bandar Baru.- Bernama

20 Jul 2012


Mati dibedil jarak dekat

MAUT...anggota polis memeriksa mayat mangsa.

SEGAMAT: Seorang lelaki maut akibat ditembak tiga das dipercayai dari jarak dekat ketika menunggu isterinya pulang dari kerja di sebuah pusat karaoke di Bandar Utama di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, Asnan Yunos, 28, dari Palong Timur di sini, dikatakan sedang merokok berhampiran kereta Proton Wira rakannya ketika menunggu isterinya keluar dari sebuah bangunan kedai dua tingkat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Anuar Ismail berkata, sebelum isterinya berusia 27 tahun keluar, seorang lelaki menaiki kenderaan yang belum dikenal pasti tiba-tiba muncul dan melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa.

“Ketika kejadian, mangsa berada dalam Proton Wira berwarna kelabu dipandunya yang diletak di bawah khemah sebuah petak bazar Ramadan bertentangan bangunan yang menempatkan pusat karaoke isterinya bekerja.

“Polis difahamkan, isteri mangsa pergi dan pulang daripada kerja dengan menunggang motosikal dan ketika pulang, mangsa biasanya memandu mengekori motosikal isterinya hingga ke rumah mereka di Kampung Jawa, empat kilometer dari tempat kejadian,” katanya.

myMetro 21 Jul 2012


Jurujual maut ditembak

SEGAMAT - Seorang jurujual maut akibat ditembak sebanyak tiga das ketika mangsa sedang menunggu isterinya selesai waktu bekerja di Bandar Utama, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.50 pagi itu, mangsa, Asnan Yunus, 28, berasal dari Felda Palong Timur mati di tempat kejadian setelah tembakan itu mengenai tengkuk, bawah telinga dan rusuk di bahagian kiri badan mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan M Anuar Ismail berkata, polis bersama pasukan unit forensik yang tiba di lokasi kejadian menemui mangsa terbaring di sebelah kereta yang digunakannya.

“Mangsa ditembak ketika berada di luar kenderaannya yang diletakkan tidak jauh dari-pada sebuah kedai serbaneka.

“Dipercayai ketika kejadian itu berlaku, tiada orang lain yang menyaksikannya.

“Dalam siasatan awal, pihak polis mendapati tiada motif samun atau rompakan kerana semua barangan milik mangsa masih berada dengannya. Motif sebenar pembunuhan masih lagi dalam siasatan,” katanya pada sidang media diSegamat semalam.

Menurutnya, polis menemui tiga kelongsong peluru dan sebiji kepala peluru berdekatan mangsa dan pihaknya masih belum mengenal pasti jenis pistol yang digunakan suspek.

M Anuar berkata, mangsa mempunyai dua anak dan menjalankan jualan langsung seperti menjual penapis air.

Katanya, kenderaan yang digunakan mangsa ketika kejadian adalah kenderaan milik rakannya yang meminta mangsa untuk membaik pulih kerosakan pada kenderaan berkenaan.

“Dalam pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut, kita turut menjumpai beberapa alat ganti kenderaan, dipercayai digunakan mangsa untuk membaiki kenderaan rakannya, selain barangan jualan langsung milik mangsa.

“Sehingga kini, kita telah mengesan beberapa individu untuk dipanggil bagi membantu siasatan termasuk tuan punya kereta dalam masa terdekat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Sinar Harian 22 Jul 2012



Suspek Kes Tembak Jurujual Ditahan

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes tembakan seorang jurujual di hadapan sebuah pasaraya di Bandar Utama, Segamat pada 20 Julai lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki yang berumur 24 tahun itu berjaya ditahan kira-kira 4.30 petang Khamis lepas di Taman Desa Permai, Gemas, Segamat.

"Polis turut merampas sepucuk pistol semi auto yang berisi sembilan butir peluru hidup dan satu kotak yang berisi 15 butir peluru dan dengan penahanan itu polis percaya kes pembuhanan itu telah berjaya diselesaikan" katanya.

Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Ogos ini untuk membantu siasatan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Selain itu, suspek juga disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Dalam kejadian itu, seorang jurujual mati ditembak seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang menunggu isterinya pulang daripada bekerja di sebuah pusat hiburan di Bandar Utama.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, mangsa Asnar Yunus, 28, dari Felda Palong Timor mati setelah terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta.  -BERNAMA

7 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment