July 6, 2012

Buaya Sarawak kembali ganas

BETONG - Belum reda kisah buaya Bujang Sebelak mengganas di Sungai Anak, Roban baru-baru ini, satu lagi siri keganasan reptilia tersebut berlaku di Sungai Meruang, Batang Saribas dekat sini pagi semalam.

Kali ini mangsa terbaharu ialah seorang penduduk Kampung Hulu Beladin, Drahman Chali, 55, yang dibaham ketika mahu mencuci tangan pada pukul 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Sarifuddin Mustafa berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya, Mohammad Nor Bujang, 51, sedang mengikat dan membuat rakit batang rumbia untuk dibawa ke kilang.

Menurutnya, mangsa kemudian mengajak Mohammad Nor makan terlebih dahulu sebelum menyambung kerja mereka dan dia pergi ke bahagian rakit batang rumbia untuk mencuci tangan sementara rakannya itu berada di daratan.

"Bagaimanapun, tiba-tiba seekor buaya telah melibas Drahman sebelum menarik mangsa ke dasar sungai lalu hilang sebelum timbul seketika di permukaan dalam jarak 50 meter daripada pandangan rakannya.

"Mohammad Nor yang terkejut dengan kejadian itu telah cuba menyelamatkan mangsa dengan terjun ke sungai itu namun buaya berkenaan semakin jauh ke tengah sungai," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 6 Jul 2012


Disambar Bujang Saribas

BETONG: Hasrat seorang lelaki warga emas menjamah nasi berlauk kari ikan kembung yang dibawa tidak kesampaian apabila hilang selepas dibaham buaya sepanjang lebih empat meter ketika membasuh tangan di Sungai Saribas, di Beladin, pagi semalam.

Kejadian berlaku apabila Derahman Chali, 55, mahu menikmati sarapan pagi bersama rakannya, Mohd Nor Bujang, 51, di tebing sungai berkenaan sebelum disambar Bujang Saribas jam 8 pagi.

Menurut Mohd Nor, sebelum kejadian, dia bersama Derahman baru setengah jam tiba di lokasi kejadian untuk mencari rumbia yang menjadi sumber pendapatan mereka.

“Sebaik tiba, mangsa memberitahu dia mahu sarapan terlebih dulu dan sebelum membuka bekalan makanan masing-masing, dia ke sungai untuk mencuci tangan.

“Saya menghalangnya dan meminta dia menggunakan air dibawa untuk membasuh tangan, tapi dia tetap berdegil untuk turun ke sungai. Hanya beberapa minit, saya terkejut apabila terdengar kocakan air begitu kuat disusuli gelombang.

“Tanpa berlengah, saya turun ke sungai dan hanya sempat melihat tangan mangsa terkapai-kapai selepas dia ditarik buaya berkenaan. Ketika itu, saya berada kurang 10 meter daripada mangsa, namun saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, dia sedih gagal membantu selepas melihat rakan karibnya ditarik ke dalam sungai sebelum lenyap dari pandangan.

“Kebiasaannya, kami bersama-sama turun ke hutan mencari rumbia untuk dijual di Sibu kerana inilah satu-satunya mata pencarian penduduk di sini,” katanya.

Menurutnya, sejurus kejadian, dia memberitahu penduduk bagi mendapat bantuan sebelum membuat laporan di Balai Polis Pusa.

“Saya sangat sedih dengan kejadian ini kerana kami terlalu rapat seperti adik-beradik kerana sering bersama keluar mencari rumbia. Saya tidak dapat melupakan peristiwa yang berlaku di depan mata saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Saifuddin Mustafa berkata, polis melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

“Operasi dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta bantuan penduduk kampung, namun setakat ini mangsa belum ditemui,” katanya.

Ini kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas seorang wanita, Siah Munsong, 42, yang juga isteri Tuai Rumah Panjang Sungai Anak, maut dibaham buaya ketika mandi di sungai itu, 19 Jun lalu.

myMetro 6 Jul 2012


Lelaki disambar buaya ketika hendak cuci tangan

PUSA: Akibat kempunan menjamah nasi untuk ber- sarapan, Drahman Chali, 55, yang berasal dari Kampung Beladin, Pusa telah menjadi mangsa terbaharu serangan buaya.

Mangsa telah disambar reptilia ganas itu ketika hendak mencuci tangan di sungai di kawasan kampung tersebut semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakannya, Mohd Nor Bujang, 51, hendak mencari batang rumbia di kawasan sungai berke- naan kira-kira jam 8 pagi semalam.

Menurut Mohd Nor, sebelum kejadian itu berlaku, dia bersama mangsa hendak bersarapan terlebih dahulu di tebing sungai tempat mereka mengambil batang rumbia tersebut.

“Sebelum makan, dia turun ke sungai untuk membasuh tangannya.

“Namun, sebelum sempat saya melarangnya dia telah tergelincir dan terus disambar buaya.

“Saya cuba untuk menyelamatkannya tetapi buaya ter-sebut telah menariknya ke dasar sungai dan terus hilang dari pandangan,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Mohd Nor berkata dia masih menunggu mangsa kira-kira setengah jam di kawasan itu dengan harapan mangsa masih selamat dan timbul di permukaan air.

“Namun begitu, mangsa tidak timbul dan saya mengambil keputusan untuk meminta pertolongan penduduk kampung,” katanya.

Pada masa yang sama Mohd Nor turut menemui kesan telapak kaki buaya tersebut yang dalam anggaran sebesar telapak tangan lelaki dewasa dan sebelah kasut mangsa tidak jauh dari kawasan kejadian.

Dia yang telah berpuluh tahun menjalankan kerja tersebut bersama-sama mangsa tidak menyangka perkara tersebut akan berlaku kepada mangsa.

Sementara itu, pihak polis dari Balai Polis Pusa menjelaskan, setelah menerima laporan daripada Mohd Nor pada jam 2 petang, operasi mencari terus dijalankan.

Operasi mencari tersebut turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan penduduk bagi mencari mangsa yang masih belum ditemui.

“Operasi bermula sejurus setelah menerima laporan dan ia tertumpu di sekitar lokasi kejadian, termasuk di beberapa lubuk sungai berkenaan.

“Ini kerana mangsa mungkin dibawa ke kawasan lubuk sungai tersebut. Setakat ini operasi masih diteruskan untuk mencari mangsa,” katanya.

Utusan Borneo 6 Jul 2012


Indet tidak mahu ditipu lagi


LATIFAH bersama anaknya, Mohd. Khusairi Drahman setia menunggu ketika operasi mencari suaminya giat dijalankan di Batang Saribas, Betong semalam.  Gambar Utusan Borneo

BETONG - Pawang buaya terkenal, Indet Sanabong yang berjaya membunuh Bujang Sebelak di Roban baru-baru ini kini sedia membunuh seekor lagi buaya yang dipercayai telah membaham seorang pengumpul batang rumbia di Sungai Meruang, Batang Saribas dekat sini kelmarin.

Bagaimanapun Indet, 49, sedia berbuat demikian jika upahnya berbaloi memandangkan dia dan dua pembantunya bertarung nyawa setiap kali berdepan dengan reptilia ganas itu.

Menurutnya, dia pernah dipanggil untuk menangkap seekor buaya yang telah membunuh seorang penduduk di Sungai Seruai dekat Batang Saribas beberapa tahun lalu tetapi upah yang diterimanya hanya RM300.

Beliau berkata, semua pihak perlu sedar pekerjaan menangkap buaya ganas bukan kerja main-main kerana ia melibatkan nyawa manusia.

"Penduduk di Sungai Seruai dekat Batang Saribas pernah minta tolong saya tangkap buaya dan saya berjaya menangkapnya tetapi upah yang diberi untuk kerja tiga hari hanya RM300.

"Jumlah itu memang tidak berbaloi kerana saya dan pembantu terpaksa bertarung nyawa dengan buaya berkenaan. Saya tidak mahu dipermainkan lagi,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Kosmo 6 Jul 2012


Jumpa jam tangan

BELADIN: Operasi mencari dan menyelamat Derahman Chali, 55, sehingga jam 6 petang semalam, hanya menjumpai jam tangan mangsa kira-kira 300 meter dari lokasi dia dibaham di Tanjung Lilin, Pusa di sini.

Jam tangan berkenaan ditemui seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Satar Daong, 43, apabila memberhentikan bot dinaiki di tebing sungai selepas ternampak kesan tapak kaki buaya yang besar.

“Sebaik turun bot, kami tiba-tiba ternampak seutas jam tangan. Kami membawa jam tangan itu kepada isteri mangsa (Latifah Nen, 53,) dan dia mengesahkan ia milik suaminya,” katanya.

Seramai 50 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Rela terbabit dalam gerakan mencari mangsa mulai jam 7 pagi hingga lewat petang semalam.

Derahman dilibas Bujang Saribas ketika membasuh tangan untuk menjamah bekalan makanannya pada kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

Sementara itu, Penghulu Kampung Beladin, Neng Kunding yang ditemui berkata, 8,740 penduduk di kawasan itu kini dilanda kebimbangan dan ketakutan akibat serangan buaya di situ.

myMetro 7 Jul 2012


Harap temui jasad suami

BELADIN: Isteri penebang rumbia yang menjadi keganasan buaya di Sungai Saribas di sini, kelmarin reda dengan nasib malang yang menimpa keluarganya, namun berharap jasad suaminya dijumpai dalam keadaan sempurna untuk dikebumikan.

Semalam, selepas 24 jam suaminya hilang dibahan buaya di sungai berkenaan, Latifah Nen, 53, tetap berdoa semoga jasad suaminya, Derahman Chali, 55, dari Kampung Hulu di sini, dijumpai.

“Walau apa keadaan sekali pun, saya menerima kejadian ini sebagai takdir, tetapi amat berharap jasad suami saya akan ditemui,” kata ibu kepada enam anak itu.

Namun, Latifah berkata jauh di sudut hatinya tersimpan perasaan terkilan kerana suaminya tidak sempat menikmati bekalan mi segera dan kuih yang dibekalnya ke tempat kerja.

“Sebelum turun ke tempat kerja kira-kira jam 7 pagi semalam (kelmarin), suami saya cuma sempat meneguk air kopi yang disediakan dan membawa bekal mi segera dan kuih.

“Dia pergi menebang rumbia dan mengikatnya di sungai sebelum dibawa ke kilang dan saya dimaklumkan dia disambar buaya ketika mahu membasuh tangan untuk makan bekalan yang dibawa itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Menurut Latifah, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 10 pagi oleh rakan suaminya, Mohd Noor Bujang, 51, yang menyaksikan kejadian.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Norasiah, 24, berkata dua hari sebelum kejadian, dia berasa pelik apabila melihat ayahnya asyik termenung dan tidak mahu bermain dengan cucu tunggalnya seperti kebiasaan.

“Sebelum ini, ayah suka bermain dengan anak saya, Nuraina Nadirah yang baru berusia setahun empat bulan. Sejak dua hari lalu, dia banyak termenung dan tidak banyak bercakap.

“Ketika makan pun dia termenung. Kami tak sangka rupanya akan ada bencana menimpa ayah,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Derahman yang berpendapatan antara RM30 hingga RM40 sehari upah menebang rumbia, cuma bekerja pada musim tertentu antara dua ke tiga minggu sebulan untuk menyara isteri dan enam anak berusia antara tujuh hingga 24 tahun.

Dua daripada anaknya sudah bekerja, melakukan kerja kampung, berikutan mereka tidak bersekolah tinggi dan keciciran dalam pelajaran.

Manakala hanya anak bongsunya, Mohd Kushairy, 7, yang masih bersekolah di Tahun Satu. Sementara itu, Pembantu Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong, Fakrulrani Ahmad Anuar berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan bagi pertimbangan menyalurkan bantuan. Katanya, jika memenuhi semua kelayakan ditetapkan dan ada pengesahan pihak berwajib, keluarga mangsa boleh menerima bantuan Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (TSBB) maksimum RM20,000.

myMetro 7 Jun 2012


2 nelayan jumpa mayat

BELADIN: Selepas tiga hari operasi pencarian dilakukan, akhirnya mayat mangsa serangan buaya, Drahman Chali, 55, ditemui dalam keadaan mengerikan apabila kepala mangsa hampir putus dan hanya tinggal bahagian kiri badan, manakala bahagian kanan dari paras bahu ke bawah, termasuk tangan kanan serta kaki kanan, hilang.

Mayat mangsa ditemui dua nelayan jam 7 pagi semalam di seberang Sungai Kampung Medang, Spaoh, 20 kilometer dari tempat kejadian.

Menurut Samsurul Bujang, 40, dia dan rakannya, Ramli Bujang, 31, ternampak objek pelik terapung di permukaan air ketika melalui sungai itu.

Katanya, mereka menyangkakan objek itu sampah dan ingin beredar tetapi apabila teringatkan kejadian serangan buaya Khamis lalu, mereka berpatah balik.

“Apabila tiba ke situ, saya terkejut mendapati ia mayat manusia dalam keadaan mengerikan dan kami yakin ia mangsa serangan buaya dan bergegas pulang untuk memaklumkan ketua kampung,” katanya.

Ramli berkata, sebelum ini mereka menggunakan laluan hulu sungai untuk pergi memotong kayu, tetapi semalam kali pertama melalui laluan itu dan tidak menyangka berjumpa mayat mangsa.

Jam 10 pagi, polis Betong dengan bantuan Jabatan Pertahanan Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mengeluarkan mayat mangsa dari tempat kejadian.

Mayat dihantar ke Hospital Betong untuk bedah siasat dan penemuan terbabit turut dimaklumkan kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Sarifuddin Mustafa ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit oleh penduduk kampung jam 7 pagi semalam.

Katanya, keluarga mangsa turut mengesahkan mayat terbabit milik Drahman Chali, 55 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Beladin, petang semalam.

myMetro 8 Jul 2012


Tidak dendam

JUMPA... anggota Rela dan polis mengangkat mayat Drahman yang ditempui nelayan di seberang Sungai Kampung Medang.

BELADIN: “Kami sekeluarga anggap kejadian ini sebagai ujian Allah dan tidak menyimpan dendam mahupun memburu buaya yang membaham suami saya,” kata Latifah Nen, 53, isteri kepada Drahman Chali, 55, mangsa serangan buaya di tebing Sungai Medang, Khamis lalu.

Pendirian Latifah turut disokong keenam-enam anaknya, Nor Hasiah Derahman, 24; Norafidah, 22; Mohd Asrul 20; D Ramlee, 19; Mohd Qusyairi Arifin, 7, dan Jamalludin, 1.

Bersyukur kerana akhirnya sebahagian jasad arwah suaminya ditemui jam 7 pagi semalam, Latifah berkata, tiada gunanya mereka berdendam pada buaya kerana itu takdir Allah.

“Sampai bila manusia dan buaya mahu saling berdendam, sebaik-baiknya kita sama-sama berdoa supaya tiada lagi manusia menjadi mangsa serangan buaya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Latifah menafikan laporan mengatakan dia mahu mendapatkan khidmat bomoh seperti disiarkan beberapa akhbar, semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga juga tidak pernah terfikir mahu mengupah bomoh buaya seperti didakwa akhbar terbabit.

myMetro 8 Jul 2012


Mayat Drahman ditemui menyayat hati

PUSA: Mayat mangsa serangan buaya yang diberi jolokan Bujang Saribas pada 4 Julai lepas, Drahman Chali, 55, dijumpai terdampar di kawasan Sungai Engkaras, seberang Kampung Medang di sini, pagi semalam.

Mayat Drahman ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh penduduk Kampung Medang pada kira-kira jam 7.30 pagi di lokasi yang mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan menggunakan bot laju dari lokasi serangan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke jeti Kampung Seberang Pusa sebelum dihantar ke Hospital Betong.

Menurut sumber, pasukan mencari dan menyelamat menerima panggilan daripada penduduk Kampung Medang yang mengatakan bahawa mereka menjumpai mayat terapung di kawasan Sungai Engkaras.

Anggota penyelamat membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) bergegas ke lokasi berkenaan bagi mendapatkan mayat tersebut.

“Mayat mangsa dalam keadaan yang amat menyedihkan ketika ditemui. Memang jelas bahawa mangsa telah diserang oleh buaya,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, rakan beliau Mohd Nor Bujang yang turut berada di jeti Kampung Seberang Pusa berasa amat sedih dengan nasib yang menimpa rakannya.

“Saya memang berada di sini sepanjang dua hari lepas, menanti dan menunggu sekiranya (mangsa) dijumpai dan ingin mengetahui keadaan beliau,” katanya.

“Saya turut dimaklumkan mengenai keadaan anggota badannya yang telah dibaham oleh buaya tersebut.

“Sedih juga mengenangkan nasib rakan yang tidak disangka-sangka menemui ajal dalam keadaan begini, sedangkan telah berpuluh-puluh tahun bersama beliau membuat kerja ini (mengumpul batang rumbia,” jelas beliau.

Utusan Borneo 8 Jul 2012


‘Iboh gago hal keluarga’

BELADIN: “Iboh gago hal keluarga kamek gik (Jangan sibuk hal keluarga saya lagi)“. Itulah amaran diluah Latifah Nen, 53, kepada segelintir pihak yang cuba menghasutnya supaya memburu buaya yang membaham suaminya, Derahman Chali, 55, di tebing Sungai Medang, Khamis lalu.

Baginya, apa yang penting jasad suaminya sudah ditemui serta dikebumikan dengan sempurna dan mereka sekeluarga boleh menziarahi kubur itu pada bila-bila masa.

“Beberapa kali saya nyatakan yang kami sekeluarga menganggap kejadian ini sebagai ujian Allah dan tidak menyimpan dendam mahupun ingin memburu buaya yang membaham arwah.

“Kami sekeluarga tetap dengan pendirian tidak mahu memanjangkan lagi masalah ini, malah enam anak lain turut bersetuju dan saya merayu supaya mereka yang tidak berkaitan, tidak masuk campur dalam hal keluarga kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Latifah mengakui ada segelintir pihak mencadangkan supaya mereka menggunakan khidmat bomoh buaya bagi menangkap buaya itu dan membunuhnya sebagai tindakan balas dendam.

Namun, baginya ia bukan jalan penyelesaian kerana sebagai umat Islam, dia percaya kepada qada dan qadar.

“Siapa saya untuk melawan atau mencabar takdir Allah dan seandainya buaya itu ditangkap serta dibunuh, arwah suami tetap tidak akan kembali lagi.

“Jika ada pihak ingin memburu buaya berkenaan, silakan, itu terpulang kepada mereka dan kami sekeluarga tidak mahu mencampuri urusan berkenaan,” katanya.

Latifah berkata, dia akan meneruskan hidup seperti biasa dengan mengambil upah menjahit langsir bagi menyara keluarganya.

Dalam kejadian pagi Khamis lalu, Derahman dilaporkan maut dibaham Bujang Saribas ketika mahu membasuh tangan untuk menikmati sarapan pagi.

Bagaimanapun, tiga hari selepas kejadian, mayatnya ditemui jam 7 pagi kelmarin oleh dua nelayan di tebing Sungai Medang, Saribas, 20 kilometer dari lokasi kejadian di Tanjung Lilin, Pusa.

Mayatnya hanya tinggal bahagian kepala dan kiri badan, manakala bahagian kanan dari paras bahu ke bawah termasuk tangan kanan dan kaki kanan hilang.

myMetro 9 Jul 2012











0 comments:

Post a Comment