July 20, 2012

Anggota polis maut kereta rempuh rumah kedai


KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis maut setelah kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh sebuah rumah kedai di Jalan Sultan Mahmud, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, L/Kpl Shahrizal Muhammad, 30, yang berasal dari Kampung Banggol, Tok Jiring di sini dalam perjalanan ke tempat bertugas di Seri Iman iaitu kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Batu Burok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Abdul Halim Ishak berkata, dalam perjalanan dari Balai Polis Kuala Terengganu, mangsa dikatakan tertinggal barang di rumah sewanya di Kampung Kuala Ibai sebelum berpatah balik ke rumahnya.

Beliau berkata, apabila tiba di tempat kejadian, kereta Proton Inspira yang dipandu mangsa hilang kawalan dan merempuh sebuah rumah kedai berhampiran.

"Akibat rempuhan kuat itu nyaris meragut nyawa keluarga pemilik rumah kedai itu yang sedang nyenyak tidur.

"Mangsa yang tersepit kira-kira 45 minit dalam kereta berjaya dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Halim berkata mangsa yang cedera parah di kepala dan badan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, namun disahkan meninggal dunia kira-kira 5.25 pagi tadi. – BERNAMA

20 Jul 2012


Pelik suami tak kejut tidur

Kereta Shahrizal (gambar kecil) yang remuk ditarik keluar dari ruang dapur kedai menjual keropok dalam kemalangan di Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai, pagi semalam.

Lelaki maut kereta rempuh pembahagi jalan sebelum terperosok dalam kedai 

Kuala Terengganu: Ramadan tahun ini paling pilu buat keluarga seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang maut apabila kereta dipandunya terbabas dan merempuh tiang elektrik di Jalan Sultan Mahmud, di sini, semalam.

Mohd Shahrizal Muhammad, 30, dari Kampung Wakaf Tembusu, di sini, meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat kecederaan parah pada kepala dan bahagian dalaman badan, kira-kira dua jam selepas kejadian sekitar jam 3.05 pagi.

Kejadian itu turut merosakkan lima kenderaan iaitu dua kereta dan tiga motosikal di tempat kejadian.



Tinggal barang 

Mangsa yang memandu Proton Inspira dalam perjalanan dari rumahnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk bertugas sebelum tiba-tiba berpatah balik ke rumahnya di Kampung Tok Adis, dipercayai mahu mengambil barang yang tertinggal.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin, berkata kereta dipandu mangsa terbabas dan merempuh pembahagi jalan lalu melanggar tiang elektrik dan terperosok ke dalam kedai makan.

“Mangsa meninggal dunia di HSNZ ketika menerima rawatan kecemasan dan kejadian disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Isteri mangsa, Wan Ezereen Wan Jaafar, 30, berkata, beliau pelik apabila suaminya tidak mengejutkannya sebelum keluar rumah untuk bertugas jam 3 pagi.

“Biasanya beliau mengejutkan saya sebelum meninggalkan rumah. Saya tahu mengenai kejadian menimpa suami selepas menerima panggilan polis yang memaklumkan kejadian.

“Kejadian ini satu dugaan besar buat saya dan dua anak, Muhammad Adam Danial, 7, dan Amanda Lia Hana, 3, apatah lagi ketika umat Islam bersedia menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi,” katanya.

Ibu mangsa, Rabuah Mohd Noor, 58, yang ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Tembesu tidak menyangka hasrat untuk meraikan kedatangan Ramadan bersama arwah dan keluarganya tidak kesampaian.

Berita Harian 21 Jul 2012


Dentuman gegar dapur

TERBABAS...kereta mangsa remuk selepas terperosok di ruang dapur kedai makan di Jalan Sultan Mahmud. Gambar kecil, Mohd Shahrizal, maut.

KUALA TERENGGANU: “Saya dengar bunyi dentuman dan terkejut apabila melihat kedai makan ayah runtuh serta ada sebuah kereta terperosok dalam dapur,” kata Abdul Hadi Hamzah, 21, anak pemilik kedai makan yang dirempuh kereta seorang anggota polis di Jalan Sultan Mahmud di sini, awal pagi, semalam.

Mangsa, Mohd Shahrizal Muhammad, 30, terbunuh selepas kereta Proton Inspira dipandunya merempuh kedai makan berkenaan di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai, di sini, pada jam 3.05 pagi semalam.

Kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman itu meranapkan kedai makan itu dan gerai menjual pisang goreng selain merosakkan lima kenderaan iaitu dua kereta dan tiga motosikal.

Menurut Abdul Hadi, bunyi rempuhan itu amat kuat menyebabkan mereka sekeluarga terjaga daripada tidur lalu bergegas keluar rumah selepas bekalan elektrik terputus.

Penuntut kimpalan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, Marang, itu berkata ketika kejadian bapanya, Hamzah Harun, 51, dan ibu, Zainon Abdullah, 51, serta kakak tidur dalam bilik manakala dia dan dua adik tidur di ruang tamu. katanya.

myMetro 21 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment