May 12, 2012

Suami isteri maut, 17 cedera nahas lori-bas


IPOH: Sepasang suami isteri terbunuh, manakala 17 cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspress dan lori di KM45.2 Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat Kampung Gua Badak hari ini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Abdul Manab Bahrum, berkata, pemandu lori Ong Khian Hock, 51, dan isterinya, Loh Weng Chan, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Mereka berasal dari Taman Pengkalan Makmur, Taiping.

"Mayat mereka dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita.

Abdul Manab berkata, nahas berlaku pada jam 6 pagi ketika bas tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gerik dikatakan bertembung dengan lori yang dipandu Ong Khian Hock yang sedang dalam perjalanan dari Gerik ke Lenggong.

Abdul Manab berkata, mereka yang cedera parah ialah pemandu bas Azmi Abdul Rahman, 48 dan dua penumpangnya Norliza Che Moh, 40, Fadilah Mahmud, 43 dan dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Seramai 14 lagi penumpang dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Gerik.

Mereka adalah antara 38 ahli Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gerik yang dalam perjalanan pulang ke Gerik selepas menghadiri majlis ulang tahun UMNO ke-66 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Akibat kejadian itu kedua-dua kenderaan itu remuk di bahagian hadapan dan penumpang bas yang terperangkap dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat Lenggong. - BERNAMA

12 Mei 2012


Mesej terakhir sebelum isteri kemalangan

LENGGONG - “Beberapa minit sebelum kejadian saya menerima mesej terakhir daripada isteri saya, Naliza Che Moh, 40, memaklumkan lokasi bas dinaiki. Kemudian dia senyap sehingga bas yang saya naiki tiba di lokasi kejadian.”

Cerita Osman Ibrahim, 57, iaitu suami kepada salah seorang mangsa yang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan lori, di kilometer 45.2 Jalan Kuala Kangsar-Gerik, dalam kawasan Kampung Gua Badak, di sini, awal pagi semalam.

Osman berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan ketika bas yang dinaikinya berhenti di lokasi kemalangan.

Menurutnya, isterinya menaiki bas Wanita Umno pada masa kejadian sementara dia menaiki bas berasingan.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian saya segera turun untuk melihat apa yang berlaku, tetapi belum mengetahui isteri saya mengalami kecederaan parah.

“Seorang penumpang lain memaklumkan saya tentang keadaan Naliza dan dia dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Osman memaklumkan yang dia juga telah bergegas ke HKK untuk memastikan isterinya berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe memaklumkan, beliau telah bergegas ke HKK untuk melihat keadaan mangsa sebaik sahaja dimaklumkan berkenaan kemalangan itu.

“Saya terima panggilan pada kira-kira jam 7 pagi dan terkejut apabila dikhabarkan bas yang dinaiki rombongan Wanita Umno Bahagian Gerik terlibat dalam kemalangan.

“Selepas melawat mangsa yang cedera di HKK, saya juga melawat ke Hospital Gerik untuk melihat keadaan mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu,” katanya.

Beliau turut bersimpati atas kehilangan nyawa sepasang suami isteri yang terbabit dalam kemalangan itu dan merasa lega kerana hanya tiga individu mengalami cedera parah, sementara 17 yang lain dalam keadaan selamat.

Pasangan suami isteri, Ong Khian Hock, 51 dan Loh Weng Chan, 46 yang menaiki lori berisi muatan barangan runcit maut di tempat kejadian setelah kenderaan mereka dirempuh dan diseret sejauh kira-kira 30 meter oleh bas berkenaan.

Sinar Harian 13 Mei 2012


Asap penuhi bas


REMUK... anggota polis memeriksa keadaan lori dan bas rombongan ahli Wanita Umno yang bertembung di Kampung Gua Badak, Lenggong, semalam. Gambar kecil, Jamilah, berusaha keluar melalui tingkap

LENGGONG: “Saya menjerit berulang kali supaya pintu dibuka segera kerana tidak dapat bernafas akibat asap yang mula memasuki ruang dalam bas,” kata Jamaliah Kassim, 54, penumpang bas yang menceritakan detik cemas ketika terbabit dalam kemalangan sebuah bas yang bertembung dengan lori di Kilometer 45.2, Jalan Kuala Kangsar - Gerik di sini.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, bas dinaiki 38 penumpang Wanita Umno Bahagian Gerik bertembung dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang daripada perhimpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena Ulang Tahun Umno ke-66, malam kelmarin.

Menurut Jamaliah, dia yang berada di tempat duduk penumpang bas terkandas hampir sejam akibat kemalangan itu. Namun, dia bersyukur kerana terselamat.

“Saya dan penumpang lain tidak boleh keluar kerana pintu bas tertutup tetapi dalam keadaan kelam kabut itu, beberapa wanita nekad terjun melalui bahagian cermin depan bas yang pecah.

“Tidak lama kemudian, beberapa penduduk kampung datang dan cuba memecahkan cermin tingkap bas dengan batu, tetapi gagal,” katanya.

myMetro 13 Mei 2012





0 comments:

Post a Comment