May 31, 2012

Rumah hangus: 6 beranak tinggal sehelai sepinggang


DUNGUN - Enam beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Bukit Besi musnah dalam kebakaran di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, ibu tunggal Syarifah Ismail, 48, tiga anaknya Mohd Hafiz Hitam, 28, Mohd Faizal, 20, dan Khatira, 11, serta dua cucu lelaki yang berusia lima dan enam tahun tiada di rumah.

Syarifah berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga berada di rumah seorang lagi anaknya di Kampung Jerangau, kira-kira 25 kilometer dari rumahnya.

Menurutnya anak perempuannya dan dua cucunya ditinggalkan di rumah anaknya itu semasa dia dan dua anak lelakinya menoreh getah tidak jauh dari rumah anaknya itu dan mereka setiap hari berulang-alik.

"Saya dihubungi jiran yang memaklumkan rumah terbakar.  Sebaik tiba, saya lihat api marak dan kami gagal menyelamatkan sebarang harta benda," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba Dan Penyelamat Balai Bomba Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) Nor Hazri Mohd Nor berkata sepasukan empat anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Katanya, kebakaran itu berjaya dipadamkan keseluruhannya dengan mengambil masa selama 30 minit dan jumlah kerugian serta punca kejadian masih disiasat.- Bernama

31 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment