May 31, 2012

Murid tahun tiga maut kena renjatan elektrik

Har Cheow (dua, kanan) menunjukkan lokasi kejadian, semalam. Gambar kecil: Mariam

MELAKA - Seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain dalam takungan air di bawah tiang elektrik di hadapan rumahnya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai di sini hari ini.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa Mariam Najwa Massari, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai itu sedang bermain dengan adiknya Muiz Asyraf, 3, di takungan air tersebut kira-kira 20 meter dari rumahnya sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.
 
Bapa mangsa Massari Muhammad, 35, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu apabila dimaklumkan oleh jiran yang melihat anaknya terbaring di takungan air tersebut.
 
Katanya ketika kejadian dia berada dalam rumah manakala isterinya Norazlin Azmi, 32, membawa anak kelima mereka berjumpa doktor kerana tidak sihat.
 
Beliau berkata Muiz kemudiannya masuk ke rumah dan mengadu sakit kaki.
 
"Saya ingat Muiz digigit serangga lalu menyapu ubat di kakinya dan pada masa sama saya memanggil nama Mariam namun tidak bersahut," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, hari ini.
 
Massari berkata dia bergegas ke tempat kejadian apabila dimaklumkan jiran tentang keadaan anak keempatnya daripada enam beradik itu dan cuba mengangkatnya namun tidak berdaya disebabkan aliran arus elektrik yang turut dirasainya.
 
Beliau berkata setelah berjaya mengangkat Mariam keluar dari takungan air tersebut, dia membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Bukit Rambai untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
 
"Tukang masak di sebuah hotel di bandar raya ini turut melahirkan rasa kesal atas kejadian yang menimpa anaknya itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika punca kematian akibat renjatan elektrik yang terhasil daripada tiang elektrik berkenaan.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- Bernama

Sinar Harian 31 Mei 2012


Lembik disambar karan



BERTAKUNG...Md Afizi menunjukkan tempat mangsa ditemui.


PILU...Massari ditenangkan ahli keluarga selepas keluar dari bilik mayat Hospital Melaka, semalam.

MELAKA: “Melihat tubuhnya lembik dengan air liur meleleh, saya mengerah kudrat mengangkatnya keluar dari situ (takungan air) biarpun pada awalnya saya juga tidak bermaya kerana turut disambar renjatan (elektrik) sebelum memangkunya di atas jalan.”

Begitu cerita Massari Muhammad, 35, bapa Mariam Najwa, 9, yang meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain dalam takungan air berhampiran tiang elektrik kira-kira 20 meter di depan rumahnya.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari semalam di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai berkenaan bersama adiknya, Muiz Asyraf, 3, bermain di tempat air bertakung itu sebelum rebah dipercayai terkena renjatan elektrik.

Massari berkata, dia mengetahui insiden malang menimpa anak perempuan tunggalnya itu selepas dimaklumkan jiran yang melihat anaknya terbaring dalam air.

Katanya, sebelum itu dia berada di dalam rumah didatangi Muiz yang berlari mengadu sakit kaki sebelum menyapu ubat di kakinya.

myMetro 31 Mei 2012


Terasa getaran ketika cuba selamat mangsa

MELAKA: “Sebaik ternampak dua beradik itu bermain dekat tiang elektrik yang ditakungi air ketika hendak keluar mengambil perut ayam di Bukit Rambai, saya menyuruh mereka pulang. Namun, selang kira-kira lima minit kemudian sejurus pulang semula saya ternampak mangsa terlentang dan tidak bergerak.

“Saya mendapatkannya untuk membantu, namun apabila pijak air bertakung itu, saya terasa getaran pada kaki,” kata Md Afizi Senin, 40, mengenai kejadian seorang kanak-kanak perempuan, Mariam Najwa Massari, 9, yang meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Gedung Lalang 1, Bukit Rambai, di sini, semalam.

Menurut Md Afizi, ketika itu dia nampak muka kanak-kanak terbabit sudah biru.

Katanya, sebaik gagal melangkah masuk dalam air yang bertakung itu, dia memanggil bapa mangsa di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian.

“Bapa mangsa bergegas keluar dan ketika memeluk anaknya, dia turut rebah, tetapi terus menariknya ke tepi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, jiran, Safree Mahat, 33, berkata, dia yang berehat di rumah terkejut selepas diberitahu mengenai kejadian itu oleh anak lelakinya, Shahrul Aiman, 11.

Menurutnya, ketika bergegas keluar, dia melihat bapa mangsa memeluknya sambil meminta bantuan menghubungi ambulans.

“Melihatkan keadaan kanak-kanak terbabit, saya dan beberapa orang mengangkatnya masuk ke dalam kereta saya sebelum ke Klinik Kesihatan Desa Bukit Rambai.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di bilik kecemasan klinik terbabit doktor mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia memandangkan matanya sudah membengkak manakala perjalanan darahnya pada urat saraf terhenti,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang juga anak ke-empat dari lima beradik adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga berkenaan.

myMetro 31 Mei 2012



Bapa mahu saman
         
MELAKA: Bapa kanak-kanak yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain dalam takungan air di depan rumahnya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, dekat sini, kelmarin, bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.

Massari Muhammad, 35, berkata, tindakan itu dibuat selepas hasil laporan bedah siasat terhadap jenazah anak keempatnya, Mariam Najwa, 8, mendapati mangsa maut akibat kejutan elektrik.

Menurutnya, tindakan itu sebagai pengajaran kepada pihak terbabit yang didakwa cuai menyebabkan satu-satunya anak perempuannya maut.

“Laporan bedah siasat di Hospital Melaka petang semalam (kelmarin) menyatakan Mariam maut akibat kejutan elektrik.

“Saya akan melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab sejurus selepas semua perkara berhubung insiden itu selesai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, dia kesal dengan kecuaian pihak terbabit hingga meragut nyawa anak perempuan tunggalnya.

Menurutnya, dia dimaklumkan jiran bahawa pihak bertanggungjawab datang ke lokasi sejurus selepas insiden bagi menggantikan kabel elektrik pada tiang berkenaan.

“Saya tidak tahu kenapa mereka segera menggantikan kabel pada tiang itu, malah pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan isteri, pegawai syarikat itu berkunjung ke rumah kami.

“Namun, saya kesal apabila dimaklumkan mereka seolah-olah menafikan kemalangan itu berpunca akibat kesilapan dan kecuaian mereka,” katanya.

Massari berkata, anak ketiganya, Muiz Asyraf, 3, yang nyaris menjadi mangsa kini masih trauma apabila melihat lopak air dan takut ke lokasi yang meragut nyawa kakaknya.

myMetro 1 Jun 2012



Kabel talian bocor
         
MELAKA: Kebocoran arus elektrik mungkin menjadi punca berlaku kemalangan maut mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak perempuan ketika bermain dalam takungan air berhampiran tiang elektrik di depan rumahnya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, dekat sini, kelmarin.

Pengarah Penguatkuasaan dan Penyelarasan Kawasan, Suruhanjaya Tenaga, Othman Omar berkata, siasatan awal mendapati kebocoran itu berpunca akibat kerosakan kabel talian atas.

“Siasatan awal mendapati kerosakan kabel talian atas menyebabkan kebocoran arus melalui tiang elektrik sebagai punca kemalangan maut di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, semalam (kelmarin).

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mematikan bekalan elektrik ke tiang berkenaan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

myMetro 1 Jun 2012



Periksa tiang elektrik secara berkala

KUALA LUMPUR: Syarikat bekalan elektrik dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diingatkan supaya melakukan pemeriksaan serta penyelenggaraan secara berkala ke atas tiang utiliti elektrik yang dipasang di seluruh negara bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, perkara itu tidak boleh dipandang sambil lewa sebaliknya perlu sentiasa diberi perhatian kerana sedikit kecuaian boleh mendatangkan kecelakaan kepada pihak lain.

“Jika tiada penyelenggaraan pada tempoh tertentu dan pemeriksaan sewajarnya bagaimana kita nak pastikan bekalan elektrik yang disalur menerusi tiang utiliti ini tidak mengalir keluar akibat bocor di bahagian tertentu” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

myMetro 1 Jun 2012


0 comments:

Post a Comment