May 29, 2012

Kenderaan curi diisytihar lampin bayi


SUBANG JAYA: Kontena diisytiharkan mengandungi lampin bayi pakai buang, tetapi muatan sebenarnya adalah kenderaan pacuan empat roda untuk diseludup ke luar negara.

Menggunakan taktik itu, satu sindiket curi kereta di Kampung Baru Subang di sini dikesan sudah menyeludup sekurang-kurangnya 64 kenderaan pacuan empat roda bernilai lebih RM1.5 juta ke Thailand dan Singapura sejak tiga bulan lalu.

Difahamkan, setiap kenderaan curi itu dijual pada harga RM100,000 hingga RM150,000 bergantung kepada keadaan dan modelnya serta dikatakan mendapat sambutan menggalakkan di pasaran gelap di kedua-dua negara jiran berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika mendedahkan kegiatan sindiket itu berkata, pihaknya menahan lima suspek di sebuah bekas kilang perabot di Kampung Baru Subang, Khamis lalu yang dijadikan stor mengumpul kenderaan curi sebelum dimuatkan ke dalam kontena untuk diseludup ke luar negara.

“Hasil maklumat risikan, kita menyerbu kilang itu jam 8.45 malam dan menahan lima lelaki berusia 21 hingga 30 tahun. Ketika ditahan, semua suspek dalam perjalanan memasuki bekas kilang itu menaiki sebuah Toyota Hilux, juga dipercayai kenderaan curi.

“Pemeriksaan dalam kilang itu menemui dua kontena yang diisytiharkan mengandungi lampin bayi tetapi memuatkan enam Toyota Hilux dan Toyota Fortuner. Siasatan mendapati kedua-dua kontena itu sudah siap untuk dihantar ke Singapura dan Thailand berdasarkan dokumen ditemui,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, siasatan juga mendapati semua kenderaan curi itu cuba diseludup keluar melalui Pelabuhan Klang, malah semakan rekod menunjukkan sindiket terbabit sudah mengeksport 18 kontena yang setiap satu boleh memuatkan tiga kenderaan pacuan empat roda melalui Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat.

Kelima-lima suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan direman sehingga 30 Mei ini untuk siasatan lanjut, termasuk mengenalpasti rangkaian operasi mereka di Thailand dan Singapura.

“Kita sudah berhubung dengan pihak berkuasa di kedua-dua negara terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Tun Hisan berkata, berdasarkan modus operandi digunakan, kegiatan itu dirancang rapi dengan hanya mensasarkan kenderaan pacuan empat roda yang mendapat pasaran luas, terutama di Thailand.

“Urusan penyewaan dan penghantaran kontena (ke negara destinasi) dipercayai dikendalikan sebuah agensi penghantaran yang berpejabat di Sentul. Kita sedang berusaha mengesan agensi terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Berita Harian 29 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment