May 30, 2012

3 warga Indonesia dihukum penjara, sebat kerana rompakan bersenjata


KUALA TERENGGANU: Tiga warga Indonesia dihukum penjara tujuh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan bersenjata awal bulan ini.

Mawardi Dimak, 29, didakwa melakukan rompakan itu bersama Sahrun, 25, dan Hamdi Keson, 24, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Tanah, Kampung Raja, Besut sekitar jam 2 pagi, 8 Mei lalu.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh ketiga-tiga tertuduh ditangkap iaitu pada jam 8 malam hari yang sama di rumah kongsi ladang kelapa sawit Seri Alam, Kampung Bukit Jeruk, Kampung Raja Besut.

Mengikut fakta kes, ketiga-tiga tertuduh iaitu pekerja kontrak ladang berkenaan memecah masuk rumah pengadu, Shafie Mohamad, 46, dan meletakkan parang di leher mangsa dan isterinya serta mengugut akan membakar rumah sebelum melarikan barang kemas bersama wang tunai dianggarkan bernilai RM8,000.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 397 kanun yang sama, membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, Hamdi Keson dan Sahrun turut mengaku salah terhadap dakwaan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Kedua-duanya didakwa bersama tujuh lagi rakan senegara iaitu Anton Idin, 20; Muhamad Jalaludin Keson, 25; Muhtar, 24; Mus, 20; Sadeli, 25; Suhardan, 32 dan Suwinton, 20,wa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama.

Mereka yang turut mengaku salah, ditahan ketika hadir memberi keterangan berhubung kejadian rompakan berkenaan di perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah Besut, Kampung Raja, Besut pada jam 5 petang, 22 Mei lalu.

Mereka dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan dua sebatan oleh Hakim Wan Fadhilah Nor. - BERNAMA

30 Mei 2012


Penyamun dipenjara 7 tahun


KUALA TERENGGANU – Tiga suspek yang menyamun sepasang suami isteri dengan bertindak menghunus parang di leher dalam kejadian samun di Kampung Bukit Tanah, Besut, awal bulan lalu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga mereka yang merupakan warga Indonesia mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan bersenjata, 8 Mei lalu.

Tertuduh, Mawardi Dimak, 29, Sahrun, 25, dan Hamdi Keson, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Mereka mengaku melakukan rompakan berkumpulan bersama seorang lagi yang masih bebas dengan menggunakan senjata terhadap mangsa, Shafie Mohamad, 46, dan isterinya Hasniah Hassan, 39, di sebuah rumah tidak bernombor di Lorong Setia, Kampung Bukit Tanah, Besut, kira-kira jam 2.10 pagi, 8 Mei lalu.

Ketiga-tiga mereka turut mengaku melarikan seutas rantai emas, dua utas rantai leher emas, seutas rantai leher berloket emas, enam telefon bimbit dan tunai RM500, serta menggunakan senjata yang boleh mendatangkan kecederaan atau kematian iaitu dua parang dan sebatang kayu.

Manakala bagi tertuduh, Sahrun dan Hamdi turut berdepan pertuduhan tidak memiliki permit sah untuk tinggal sementara di negara ini iaitu kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1953/1969 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama.

Bagi kesalahan itu, kedua mereka dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan dua sebatan, bagaimanapun, Wan Fadhilah Nor memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak dari tarikh mereka ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Zulfazliah dalam pendakwaannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran dan meninggalkan keinsafan kepada mereka kerana banyak kes rompakan dan kecurian dilakukan warga asing sejak belakangan ini seperti dilaporkan dalam akhbar, selain mengambil kira kesan trauma dihadapi mangsa.

Manakala Wan Fadhilah Nor dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira ketiga-tiga tertuduh adalah warga Indonesia yang mencari kerja dan membantu keluarga di kampung, tetapi sebaliknya melakukan jenayah.

Terdahulu dalam rayuannya, ketiga-tiga mereka memohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana mendakwa orang susah, terdesak dan berpenyakit.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri berdepan pengalaman mencemaskan selama kira-kira 30 minit apabila leher mereka dihunus parang panjang oleh tiga lelaki yang menyamun rumah mereka di Kampung Bukit Tanah, Besut.

Menurut Shafie, salah seorang penyamun yang bertutur loghat Indonesia mengarahkan dia dan isterinya diam dengan mengugut akan menyembelih sekiranya bising.

Berikutan kejadian itu, mangsa bukan sahaja trauma malah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM8,000 setelah barang berharga dan tunai mereka dilarikan.

Sinar Harian 31 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment