May 31, 2012

24 hektar sawah kering

Kesan petak sawah yang merekah sehingga anak padi yang baru tumbuh hampir mati disebabkan kekurangan air.

KERIAN - Ketiadaan bekalan air mencukupi didakwa menjadi faktor hampir 24 hektar tapak sawah di tiga kawasan termasuk Parit Gabis Bawah, Teluk Seribu 2 dan Parit Ali Kalang, di sini kering kontang sejak hampir sebulan lalu.

Pengerusi Sekretariat Parlimen Bagan Serai, Jamaluddin Hamid berkata, semua lokasi itu terjejas teruk disebabkan air yang sepatutnya disalurkan melalui longkang atau palung kini tidak mempunyai bekalan air mencukupi.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada membekalkan pam, namun ia tidak dapat digunakan akibat mengalami kebocoran.

“Kesannya anak padi yang berumur satu bulan hampir mati kerana tidak mendapat bekalan air mencukupi.

“Saya berharap JPS dan Jabatan Pertanian segera membuat lawatan untuk melihat sendiri keadaan sawah di kawasan ini,” katanya.

Sinar Harian dimaklumkan, keadaan kekurangan bekalan air itu berlaku berpunca daripada perusahaan ternakan ikan di kawasan berhampiran.

Difahamkan, hampir 320 hektar tapak yang dahulunya diusahakan sebagai sawah padi ditukar menjadi kolam ternakan ikan.

Jamaluddin berkata, pengusaha ternakan ikan mengambil air dari tali air untuk disalurkan ke kolam ternakan.

“Setiap satu lot yang mempunyai 40 ke 50 kolam menggunakan empat atau lima batang paip berukuran enam inci yang sentiasa masuk dan di buang ke sungai setiap masa,” katanya.

Sementara itu, seorang petani Razman Hassan, 35, berkata, dia merupakan antara petani yang mempunyai masalah bekalan air sehingga petak sawahnya kini berada dalam keadaan kekeringan termasuk tanah yang sudah merekah.

“Jika hal ini berterusan kita cuma menunggu masa sahaja untuk menukarkan tanaman padi kepada tanaman kelapa sawit kerana itu sahaja jalan keluar yang ada disebabkan petani tidak mahu terus menerus menanggung kerugian berpanjangan,” katanya.

Sinar Harian 30 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment