April 14, 2012

Tergantung satu jam



MALANG...pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa maut akibat renjatan elektrik.

KENINGAU: “Saya terdengar bunyi dentuman dan melihat kawan saya terpelanting selain percikan api turut kelihatan. Sejurus kemudian, saya lihat dia terkulai di atas tangga,” kata Michael Gubongo, 32, mengenai kematian rakan sekerjanya akibat terkena renjatan elektrik, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa, Gilbert Santos Alani, 39, yang juga juruteknik penyelenggaraan menyelenggara sambungan lampu jalan di pencawang berhampiran Tamu Apin-Apin, di sini.

Mangsa mati di tempat kejadian dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berkuasa tinggi dan mayat mangsa dibiarkan tergantung hampir sejam sebelum pasukan penyelamat tiba dan menurunkannya.

Michael berkata, sebelum itu, orang ramai yang berada di tempat kejadian tidak berani menurunkan mayat mangsa kerana takut terkena renjatan elektrik yang dipercayai masih mengalir di pencawang berkenaan.

“Saya berada berhampiran mangsa ketika kejadian dan menyedari sesuatu tidak kena apabila melihat dia seperti ‘ditendang’ arus kuat. Ketika kejadian dia cuba menyambung wayar lampu jalan ke kabel utama di pencawang itu,” katanya.

Michael berkata, dia cuba membantu, tetapi membatalkan hasrat itu apabila melihat percikan api pada tangga digunakan mangsa. 

“Walaupun sedih, saya hanya mampu melihat badannya terjuntai di atas tangga tanpa mampu memberi sebarang bantuan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sudah berkahwin dan memiliki tiga anak, menetap di Kampung Biah Tengah, di sini.

myMetro 14 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment