April 12, 2012

Penculik masuk perangkap polis


KOTA BHARU – Dua penculik tidak sempat berjoli dengan wang tebusan berjumlah RM3,000 yang diperoleh apabila mereka dicekup selepas menerima habuan berkenaan di Kampung Sireh di sini semalam.
Kedua-dua suspek berusia 30 tahun tersebut dicekup pada pukul 7.30 pagi di persimpangan lampu isyarat di situ selepas menculik seorang peniaga kereta, Mohd. Azhan Mohamed Adam, 30, di Kampung Belimbing, Tanah Merah. Mangsa diculik kira-kira 10 jam sebelum itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang minum di sebuah restoran di Kampung Belimbing di sini bersama tujuh rakannya didatangi dua lelaki berkenaan pada pukul 9.30 malam.
Katanya, dua suspek itu kemudian bertengkar dengan mangsa sebelum salah seorang penjenayah mengeluarkan dua pucuk pistol lalu diletakkan di atas meja.
“Mangsa kemudian dibawa menaiki sebuah kereta Perodua Myvi menghala ke Pasir Mas sebelum suspek menghubungi rakan mangsa beberapa jam kemudian untuk meminta wang RM10,000. Bagaimanapun ia dapat dikurangkan kepada RM3,000 selepas berunding.
“Rakan mangsa kemudian membuat laporan polis pada pukul 6.40 pagi sebelum polis melakukan intipan di Kampung Sireh yang menjadi tempat wang itu akan diserahkan,” katanya.
Kosmo 12 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment