April 12, 2012

Mati dalam tandas hospital

SHAH ALAM - Seorang doktor pelatih ditemui mati dengan keadaan muka kebi­ruan di dalam tandas Wad Pediatrik, Hospital Kajang, semalam.

Mangsa, Danny Lee, 29, ditemui tidak bergerak oleh seorang jururawat, jam 5.20 pagi, sebelum disahkan mati, 10 minit kemudian.

Menurut sumber, sebelum itu, jururawat berkenaan mencarinya kerana mangsa perlu merawat seorang pesakit.

Katanya, jururawat itu menelefonnya tetapi gagal dan terus mencari di setiap bilik sebelum menemuinya di dalam tandas berkenaan.

Menurutnya, punca sebenar kematian doktor pelatih itu sedang dikenal pasti, namun siasatan awal polis menolak wujudnya unsur jenayah.

“Kita tidak pasti apa yang berlaku kerana dia tidak pernah bercerita tentang masalah dihadapi. Dia seorang yang ceria tetapi baru-baru ini, dilihat dalam keadaan tertekan.

“Dia seorang yang baik dan prestasinya cemerlang sejak bertugas di sini,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sudah berkahwin sepatutnya menamatkan latihan, tahun ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Berdasarkan siasatan, mangsa dilaporkan menyuntik cecair ke dalam tubuhnya. Kita sedang menyiasat jenis cecair tersebut,” katanya.

Sinar Harian 12 Apr 2012


Temui ajal akibat lebihan dos 

KAJANG – Kakitangan Hospital Kajang di sini semalam gempar apabila seorang doktor pelatih yang telah bekerja selama lima hari berturut-turut tanpa cuti ditemui mati di dalam tandas di Wad Pediatrik hospital itu selepas dia disyaki terlebih dos setelah menyuntik sejenis ubat ke dalam badannya.

Mayat Lee Chang Tat, 29, ditemui pada pukul 7 pagi oleh rakan setugasnya dalam keadaan terbaring dan pucat di dalam tandas wad berkenaan. Sebatang picagari turut ditemui di sisi mayat doktor pelatih itu yang telah berkhidmat selama tiga tahun di hospital tersebut.

Belum dipastikan lagi motifnya tetapi ada kemungkinan mangsa bertindak menyuntik cecair itu ke dalam tubuhnya akibat keletihan.

Sebelum kejadian, mangsa yang merupakan pegawai perubatan siswazah bertugas pada syif malam bermula pukul 9 malam di wad tersebut.

Dia telah berkahwin sejak tiga tahun lalu.

Seorang pengawal keselamatan Hospital Kajang memberitahu, dia bergegas ke wad berkenaan sebaik terdengar bunyi kecoh sekumpulan kakitangan yang menyedari mengenai kematian doktor pelatih tersebut. 

Kosmo 12 Apr 2012


Doktor disangka hilang pengsan dalam tandas 


Disahkan meninggal dunia akibat pengambilan ubat berlebihan 

KAJANG: Kehilangan seorang doktor pelatih yang sepatutnya bertugas syif malam di Wad Pediatrik, Hospital Kajang, kelmarin, terjawab apabila dia ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas wad itu pagi semalam, sebelum disahkan meninggal dunia.

Kehilangan Dr Danny Lee, 29, hanya disedari kira-kira jam 5 pagi semalam, sebelum dikejutkan dengan penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakan setugasnya yang mahu menggunakan tandas di wad berkenaan dua jam kemudian.

Mangsa kemudian dikejarkan ke unit kecemasan, namun, gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia jam 7 pagi.

Sumber memberitahu Berita Harian, punca kematiannya masih dalam siasatan, namun, siasatan awal polis menolak wujud unsur jenayah dalam kejadian itu.

“Mangsa disifatkan rakan setugasnya sebagai seorang yang periang dan sentiasa bersemangat menjalankan tugas.

“Mangsa tidak pernah menunjukkan dia menghadapi sebarang masalah kecuali sejak kebelakangan ini kelihatan sedikit murung, tidak banyak bercakap dan lebih banyak menyendiri.

“Mangsa kelihatan agak tertekan minggu lalu tetapi kami tidak pasti sama ada ia akibat beban kerja atau masalah peribadi. Dia jarang bercerita masalahnya kepada kami tetapi suka membantu rakan setugasnya, termasuk jururawat di sini yang dalam kesusahan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang dua tahun bertugas di Hospital Kajang, mangsa menunjukkan prestasi cemerlang dan cukup komited terhadap tugasnya.

“Mengikut perancangan, mangsa sepatutnya menamatkan latihan pegawai perubatan siswazah tidak lama lagi,” katanya mengesahkan mangsa berkahwin tahun lalu dan belum dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kematian mangsa dan kes itu kini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). 

“Berdasarkan laporan diterima, mangsa didapati menyuntik sejenis cecair ke dalam tubuhnya sebelum ditemui mati. Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat pengambilan berlebihan ubat yang sedang dikenal pasti jenisnya.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai SDR, namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengebumian.

Dalam perkembangan berkaitan, pemeriksaan polis di tempat kejadian turut menemui jarum suntikan dipercayai digunakan mangsa untuk menyuntik dirinya.

Berita Harian 13 Apr 2012


Nafi adik bunuh diri 

KAJANG – Keluarga Danny Lee, 29, yang ditemui mati di dalam tandas Wad Pediatrik Hospital Kajang kelmarin menafikan dakwaan mengatakan doktor pelatih itu membunuh diri.

Kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, keluarganya memohon tuduhan itu dihentikan kerana mangsa adalah seorang yang bertanggungjawab. 

Menurutnya, mustahil adiknya membunuh diri kerana tiada tanda-tanda mangsa tertekan dan dia juga sudah mendaftarkan perkahwinan pada 11 November tahun lalu serta merancang mengadakan resepsi.

“Mendiang juga akan tamat latihan Ogos ini dan dia tidak mengambil dadah kerana setiap bulan dia perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan air kencing sebagai sebahagian daripada prosedur wajib hospital,” katanya ketika ditemui semasa menerima kunjungan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di rumahnya, di sini semalam.

Katanya, dakwaan mangsa pernah mencuri ubat di hospital juga tidak benar kerana mangsa dipanggil bekerja seperti biasa sehari selepas siasatan dijalankan polis.

“Adik saya tidak bunuh diri dan kami ingin menuntut keadilan atas kematiannya,” katanya.

Sementara itu, Tiong Lai meminta hospital membuat siasatan segera berikutan kes kematian mendiang Danny Lee.

"Kita juga minta hospital mempercepatkan sekiranya ada bayaran gaji mangsa yang tertunggak.

“Kementerian Kesihatan turut memberi sumbangan kepada keluarga mangsa bagi membiayai kos pengebumian,” katanya.

Beliau dalam pada itu menafikan dakwaan mengatakan beban kerja doktor pelatih bertambah kerana waktu kerja 90 jam seminggu doktor pelatih sebelum ini dikurangkan kepada 60 jam seminggu.

“Kini tiada lagi masalah bebanan tugas memandangkan masa bertugas mereka telah dipendekkan.

“Dimaklumkan bahawa mangsa sebelum ini pernah bertugas selama 36 jam berturut-turut pada 2008 namun semua itu tidak akan berlaku kini setelah pihak kementerian mengurangkan waktu bertugas bagi doktor pelatih,” katanya.

Sinar Harian 13 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment