April 14, 2012

Jalan runtuh dipandang sepi



BAHAU – Penduduk dari Kampung Kepis Hilir dekat sini terpaksa berdepan risiko kemalangan apabila separuh daripada jalan utama mereka runtuh ekoran hujan lebat yang melanda sejak Oktober lalu.

Menurut penduduk, lal­uan utama mereka keluar masuk dari kampung itu juga merupakan laluan alternatif yang menghubungkan Kampung Kepis Baru.
Difahamkan, sekiranya hujan lebat melanda, penduduk kampung akan terus terputus hubungan.
Seorang penduduk, Abdul Rahman Muslim, 46, berkata, jalan runtuh itu bukan sahaja memberi kesulitan kepada penduduk yang mahu mengeluarkan hasil getah dan menghantar anak ke sekolah, malah boleh mengancam nyawa.

“Disebabkan jalan semakin sempit, saya terpaksa menggunakan motosikal memandangkan kenderaan lain tidak boleh melaluinya.

“Kini, saya dan penduduk kampung sudah tidak dapat bertahan lagi. Hampir setahun kami menunggu pihak berkenaan bertindak namun hingga kini masalah ini masih dipandang sepi.

“Walaupun kejadian ini disebabkan bencana alam, namun kami berharap kepayahan kami ini dapat diberi perhatian memandangkan lebih 30 penduduk menjadikan laluan ini sebagai laluan utama,” katanya.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat laluan alternatif lain namun agak jauh dan menyukarkan penduduk.

“Kami juga mengalami kesukaran apabila ladang getah yang menjadi punca rezeki terletak berdekatan tanah runtuh. Ini sekali gus menyebabkan lori yang mengambil hasil getah terkandas.

“Kita terpaksa menggunakan motosikal dan berulang-alik mengangkut hasil getah untuk dijual,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kepis Hilir, Ahad Amin berkata, beliau memohon pihak berkenaan supaya dapat menyegerakan kerja membaik pulih jalan terbabit demi kepentingan penduduk.

“Saya bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi masalah ini perlu diberi perhatian kerana melibatkan keselamatan orang kampung.

“Kita bimbang jika tidak dibaik pulih segera, akan berlaku lagi runtuhan pada masa akan datang,” katanya.
Sinar Harian 14 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment