March 30, 2012

Ibu hilang tengah sungai

SRI AMAN: “Ibu tenggelam secara tiba-tiba. Saya tidak sempat menyelamatkannya kerana saya sendiri hampir lemas,” kata seorang remaja yang terkilan kerana gagal menyelamatkan emak tersayang selepas perahu mereka karam dipukul ombak besar di Sungai Sinjur, Batang Lupar di sini, kelmarin.

Embang anak Mendi @ Bunyan, 48, dikhuatiri lemas selepas perahu dinaiki terbalik akibat dipukul ombak besar, jam 3.30 petang.

Menceritakan insiden menyedihkan itu, Alexson Inggam Jantan, 15, berkata, ketika kejadian dia dan ibu serta adik, Bradney, 12, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai mengerjakan sawah padi di seberang sungai berkenaan.

“Ketika dalam perjalanan, ribut melanda secara tiba-tiba menyebabkan berlaku ombak di sungai menyebabkan perahu terumbang-ambing di tengah sungai.

“Keadaan menjadi lebih buruk apabila perahu dimasuki air dan terbalik. Semuanya terlalu pantas menyebabkan kami semua panik,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Alexson berkata, dia dan Bradney nekad berenang ke tebing sungai walaupun menghadapi kesukaran kerana keadaan sungai bergelora.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, dia terpandang kelibat ibunya yang tenggelam timbul serta nekad berusaha mencapai tangannya, tetapi tidak berjaya sebelum wanita itu tenggelam dan hilang.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sri Aman, Asisten Superintendan Ang Tuan Peck, berkata polis melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, operasi terpaksa dihentikan kira-kira jam 6 petang kelmarin berikutan cuaca tidak mengizinkan dan disambung semula esoknya.

“Operasi membabitkan 14 anggota dan tiga bot Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) itu, turut dibantu Polis Marin Kuching yang tiba di lokasi kejadian petang ini (semalam).

“Sehingga jam 5 petang tadi (semalam), mangsa belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat digerakkan di sepanjang sungai, tetapi tiada tanda menunjukkan mangsa ditemui,” katanya.

Difahamkan, penduduk, termasuk dari rumah panjang berdekatan turut bersama dalam operasi itu menggunakan perahu masing-masing sebaik berita dilaporkan.

myMetro
30 Mac 2012


Mayat mangsa ditemui

SRI AMAN: “Mujurlah mayat ibu ditemui dalam keadaan sempurna. Sejak dilaporkan hilang, kami gelisah kerana bimbang ibu dimakan buaya atau sebagainya,” kata Alexson Inggam Jantan, 15, sebaik dimaklumkan mayat ibunya, Embang anak Bunyam, 48, ditemui pagi semalam.

Katanya, keluarganya dimaklumkan mengenai penemuan itu kira-kira jam 11.15 pagi sebelum bergegas ke lokasi berkenaan untuk membuat pengecaman. “Kami terima pemergian ibu sebagai suratan takdir walaupun ia terlalu sukar untuk menerimanya. Kami sedih dan kecewa kerana gagal menyelamatkan ibu pada hari kejadian,” katanya.

Mayat Embang dari Rumah Japar Anssam, Sinjur Undop, Sri Aman yang dikhuatiri lemas di kawasan Sungai Sinjur, Sri Aman sejak petang Rabu lalu ditemui terapung kira-kira 300 meter dari pangkalan rumahnya oleh sepasukan anggota mencari dan menyelamat selepas dilaporkan hilang.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Embang dilaporkan lemas selepas perahu dinaiki bersama dua anaknya, Inggam dan Bradney, 12, terbalik akibat dipukul ombak besar di sungai berkenaan. Tragedi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai mengerjakan sawah di seberang sungai sebelum dipukul ombak akibat angin kencang.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila perahu dinaiki tiga beranak itu dimasuki air sebelum terbalik namun dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing. Pada masa sama, dua beradik terbabit hanya mampu melihat ibunya terkapai-kapai kelemasan namun tidak mampu menghulurkan bantuan berikutan mereka juga hampir lemas.

Polis yang menerima laporan itu menggerakkan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan 14 anggota dan tiga bot Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selain dibantu Polis Marin Kuching.

Bagaimanapun, operasi terpaksa dihentikan jam 6 petang hari kejadian berikutan cuaca tidak mengizinkan dan disambung semula keesokan hari. Sementara itu, jurucakap polis ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, mayat mangsa ditemui tanpa sebarang tanda gigitan buaya sebelum dihantar ke Hospital Sri Aman bagi untuk bedah siasat.

myMetro
2 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment