February 16, 2012

Ibu empat anak dicekup bersama kekasih

KLANG - Seorang ibu empat anak yang dalam proses penceraian dicekup bersama kekasihnya di sebuah bilik hotel bajet di Pelabuhan Klang, awal pagi semalam.

Teman lelaki yang bekerja seorang juruteknik berusia 35 tahun itu baru sahaja memeluk Islam Oktober tahun lalu turut positif dadah berdasarkan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan Klang.

Lelaki yang dikenali sebagai Lim itu mengaku, hanya mahu menemani kekasihnya untuk menghadiri perbicaraan terakhir perceraian dan mendakwa tidak mempunyai wang mencukupi untuk menyewa dua bilik.

Lim juga mengakui sudah lima tahun menjalin hubungan terlarang bersama wanita itu.

Mereka antara 14 pasangan yang dicekup dalam operasi Anti Zina siri ke-6 dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Majlis Perbandaran Klang (MPK), AADK, Jabatan Imigresen dengan bantuan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Klang dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Jurucakap Jais daerah Klang berkata, ketika serbuan dilakukan, Lim yang ketika itu hanya berseluar pendek membuka pintu bilik dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Ketika membuka pintu, pasangan itu kelihatan terkejut dan mengaku tidak melakukan apa-apa, bagaimanapun dia gagal dalam ujian air kencing dan disyaki positif dadah jenis Heroin 5,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Patologi akan menjalankan ujian lanjut terhadap air kencing lelaki berkenaan dan sekiranya disahkan positif, dia bakal didakwa mengikut Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah 1983 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tiga tahun dan tiga sebatan.

Dalam operasi sama, seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun dicekup ketika berduaan bersama seorang duda anak empat.

Penuntut dikenali Rina, 22, berasal dari Perlis berkata, dia berhasrat untuk ke Seremban, Negeri Sembilan bagi mengambil peralatan pembelajaran sebaik cuti semesta dan me­ngam­bil peluang singgah di Klang bertemu kekasihnya.

“Saya terkejut sebaik pintu bilik kami diketuk kerana pada awalnya menyangka pihak hotel, bagaimanapun kaku sebaik melihat anggota Jais dan agensi lain.

“Baru dua jam saya tiba di bilik, ini merupakan pengalaman pahit pertama yang saya lalui dan berjanji tidak akan ulangi perkara sama,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Penguat Kuasa MPK, Sharul Hazri Abd Majid berkata, seramai 14 pasangan terdiri warga tempatan dan asing dicekup dalam operasi yang diadakan secara serentak di 32 hotel bajet di seluruh Klang sempena sambutan Hari Kekasih.

“Kita menyasarkan hotel bajet memandangkan ramai pasangan terutama golongan muda menjadikan lokasi itu sebagai tempat memuaskan nafsu.

“Semua pesalah dihantar ke bilik tahanan sementara milik Jais Klang sebelum diambil keterangan, operasi itu berakhir kira-kira jam 3.30 pagi,” katanya.

Sinar Harian
16 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment