February 16, 2012

Bukit Bandaraya tidak selamat?

SHAH ALAM – Kurang 24 jam selepas kejadian tanah mendap melibatkan hampir 40 rumah di Jalan Plumbum 7/101A, Seksyen 7 di sini, penduduk Seksyen U11 pula dikejutkan dengan gelinciran tanah di Taman Bukit Bandaraya di sini petang kelmarin.

Setiausaha Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Ashraf Othman, 38, ketika dihubungi berkata, beliau yang berada di tempat kerja ketika kejadian dimaklumkan gelinciran tanah berlaku di antara Jalan Gunung Nuang U11/9B dan Jalan Gunung Nuang U11/9C kira-kira jam 5.30 petang kelmarin ketika hujan lebat.

Menurutnya, langkah segera diambil dengan menemui Pengarah Eksekutif Lebar Daun Bhd, Noorazhar Mohamed Nurdin bagi mendapat penjelasan dan tindakan mereka beberapa jam selepas kejadian.

“En Azhar kata, hari ini (semalam) geotech specialist akan datang membuat kajian tentang tanah bukit itu. Daripada kajian itu, baru boleh dikeluarkan penyelesaian bagaimana nak mengukuhkan tanah tersebut dan berjanji akan cuba menyelesaikannya dalam masa seminggu.

“Oleh itu, kami mahu pemaju bertindak cepat bagi mengelakkan kejadian susulan yang tidak diingini. Apa sahaja tindakan kena cepat, tidak boleh tangguh kerana sekarang musim hujan lebat,” katanya.

Ashraf berkata, sekiranya pemaju gagal menyelesaikan dalam masa terdekat, penduduk terpaksa menggunakan saluran undang-undang.

“Saya menggesa pihak pemaju ambil tindakan segera dengan mengambil ikhtiar meringankan bebanan keluarga terlibat sebab ada keluarga terpaksa menyewa dan sebagainya. Tetapi, kalau perlu ke tahap undang-undang, kita akan teruskan,” katanya.

Beliau yang merupakan antara penghuni terawal di kawasan perumahan tersebut berkata, kebimbangan berlakunya kejadian tanah runtuh pernah disuarakan kepada pemaju ketika mereka mula membeli rumah di situ.

Malah beberapa tahun lalu, penduduk taman berkenaan pernah mengadakan satu sesi dialog bersama pemaju, jabatan-jabatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pihak polis bagi membincangkan isu keseluruhan termasuk isu terbabit.

“Sekiranya pemaju prihatin dengan pembeli, kejadian tersebut itu dapat dielakkan dan mungkin boleh diusahakan di peringkat awal. Masa ambil kunci, masa beli rumah kami semua pernah suarakan perkara tersebut. Cuma yang tidak ada, hitam putih,” katanya dalam nada kecewa kerana perkara yang dibangkitkan mereka tidak dihiraukan pemaju.

Sementara itu, MBSA meminta pemaju melantik pihak perunding teknikal untuk membuat analisa dan kajian berhubung kejadian yang berlaku di kawasan tersebut.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, hasil analisa yang dilakukan ini akan membantu untuk menentukan tindakan-tindakan penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini.

“Sebagai langkah pencegahan untuk jangka masa pendek, pihak pemaju telah menutup kawasan gelinciran tanah tersebut dengan kanvas bagi mengurangkan risiko gelinciran tanah.

“Pada masa yang sama pihak polis juga telah meletakkan pondok polis sementara bagi langkah-langkah keselamatan dan berjaga-jaga,” katanya.

Sinar Harian
16 Feb 2012


Bukit Bandaraya selamat didiami

SHAH ALAM - Penduduk di Taman Bukit Bandaraya kini boleh menarik nafas lega apabila pihak pemaju, Lebar Daun Bhd memberi jaminan, kawasan perumahan itu selamat didiami.

Seorang penduduk, Mohamed Hafiz Mohamed Khatim, 33, berkata, empat keluarga yang sebelum ini diarahkan berpindah akibat gelinciran tanah di Jalan Gunung Nuang U11/9B dan Jalan Gunung Nuang U11/9C, sudah kembali ke rumah masing-masing, kelmarin.

“Mereka pulang ke rumah masing-masing setelah pemaju memberi jaminan kawasan ini selamat untuk didiami.

“Sepanjang seminggu ini, kawasan perumahan di sini dikawal 24 jam sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Mohamed Hafiz berkata, berdasarkan maklumat polis, kejadian itu dipercayai berpunca daripada takungan air dalam tanah akibat hujan berpanjangan, menyebabkan mendapan dan simen retak, sehingga berlaku gelinciran.

“Tindakan pantas pihak pemaju mengarahkan kerja membaik pulih kawasan dapat menghalang gelinciran daripada merebak ke kawasan lain,” katanya.

Bagaimanapun, Moha­med Hafiz menggesa pihak terlibat supaya menyiasat kes itu dengan teliti dan mengambil tindakan proaktif agar insiden sama tidak berulang.

Tinjauan Sinar Harian men­dapati, kerja penyeleng­garaan sedang dilakukan dan difahamkan, kawasan itu akan disimen semula.

Buat masa ini, kanvas dipasang untuk menutup kawasan itu dan batu konkrit diletakkan di kaki bukit, mengelak risiko gelinciran.

Insiden gelinciran tanah itu berlaku 14 Februari lalu kira-kira jam 5.30 petang ketika hujan lebat.

Dalam perkembangan berasingan, tinjauan Sinar Harian di Jalan Plumbum 7/101A, Seksyen 7, di sini mendapati, enam rumah terjejas teruk akibat mendapan tanah itu akan mula dibaiki kontraktor hari ini.

Seorang eksekutif, Mohd Rozaiman Razali, 39, berkata, dia akan berpindah ke penempatan sementara di Hotel De Palma, di sini, yang disediakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sekiranya bahagian dalam rumahnya terlibat dalam kerja pembaikan itu.

“Saya difahamkan, ia tidak melibatkan kawasan dalam rumah. Bagaimanapun, jika diarahkan berpindah, saya terpaksa berbuat demikian,” katanya.

Mohd Rozaiman berkata, insiden mendapan itu bukan kali pertama berlaku di kawasan perumahan itu, sebaliknya, rumahnya antara enam kediaman yang pernah dibaiki akibat masalah sama pada 2006.

Sinar Harian
22 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment