January 15, 2012

RM500 untuk sambut raya Cina

Guat Ean tinggal sebatang kara pernah rawat askar Melayu, tentera British

KEPALA BATAS: Bekas jururawat yang pernah merawat askar Melayu dan tentera British ketika Perang Dunia Kedua adalah antara insan paling gembira menyambut Tahun Baru Cina kali ini apabila menerima baucar tunai RM500 menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), semalam.

Lim Guat Ean, 97, bekas kakitangan Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) menyifatkan baucar tunai itu sebagai pengiktirafan Kerajaan Pusat terhadap sumbangannya sepanjang berkhidmat untuk negara selama 50 tahun.

Warga tua itu kini hidup sebatang kara di rumahnya di Bertam di sini, kerana anak lelakinya sudah meninggal dunia, manakala anak perempuannya pula berhijrah dan menetap di Singapura sejak beberapa dekad lalu.

Guat Ean berkata, dia akan menggunakan wang sumbangan itu untuk membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina dan menjemput jiran yang selalu mengambil berat ke atas dirinya menghadiri majlis makan besar di rumahnya.

“Saya mempunyai empat cucu yang sekarang tinggal dengan anak perempuan saya di Singapura... tetapi mereka langsung tidak mempedulikan saya dan membiarkan saya bersendirian bertahun-tahun lamanya,” katanya kepada pemberita selepas menerima baucar BR1M di sini, semalam.

Guat Ean adalah antara 67 penerima BR1M bagi Parlimen Kepala Batas yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Zabariah Wahab pada Majlis Pemberian Ang Pau dan Bantuan Kepada Warga Emas Sempena Tahun Baru Cina 2012 di sini, semalam.

Guat Ean berkata, golongan muda di negara ini perlu bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana menjaga kebajikan rakyat terutama yang kurang bernasib baik sepertinya.

“Saya mula bekerja di HPP pada 1938 ketika Malaya masih di bawah pentadbiran British dan melihat sendiri bagaimana susahnya hidup rakyat ketika itu berbanding sekarang... semuanya disediakan kerajaan.

“Pengalaman paling tidak dapat dilupakan ialah merawat askar Melayu yang mempertahankan Malaya dari serangan Jepun," katanya.

Seorang lagi penerima, Fong Hoong Weng, 60, berkata dia mahu menggunakan wang BR1M untuk membeli barangan persiapan menyambut Tahun Baru Cina bersama isteri dan dua anak lelakinya.

“Saya bekerja di kilang plastik di Bertam dengan pendapatan RM500 sebulan. Isteri saya tidak bekerja dan anak pula masih tinggal dengan saya walaupun sudah bekerja.

“Kalau diikutkan, memang tidak cukup untuk menampung semua perbelanjaan tetapi saya tetap berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan Kerajaan Pusat kerana prihatin dan duit ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saya," katanya.

Sementara itu, Zabariah berkata, BR1M adalah bukti kerajaan BN prihatin dengan keperluan rakyat terutama golongan warga emas dan berpendapatan rendah dan BN sentiasa komited mengurangkan beban kumpulan ini.

Berita Harian
15 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment