December 14, 2011

Pemandu sengaja tunjuk lagak

PASIR MAS – Sikap biadab dan kurang bertanggungjawab seorang pemandu ketika melalui Jalan di Kampung Berangan Lati kira-kira jam 2.30 petang semalam mengundang rasa marah seorang pemandu Perodua Myvi.

Pemandu Honda berkenaan menghimpit kereta seorang wanita ketika sebuah lori datang dari arah bertentangan.

Bukan itu sahaja, pemandu itu dengan selambanya tersenyum apabila melihat pemandu wanita berkenaan yang dikenali Ema, 25, terperanjat dengan tindakannya itu.

Ema berkata, selepas itu lelaki berkenaan memintas tiga kenderaan lain juga dengan cara merbahaya biar pun banyak kenderaan datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, dia kecewa dan marah dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu itu yang seolah-olah tidak memikirkan tentang keselamatan pemandu lain.

“Lagak dia memandu kereta seperti samseng jalan raya, apa yang saya kesalkan tindakannya bukan sahaja mengundang bahaya kepada diri sendiri malah juga pengguna jalan lain.

“Dia mungkin bertindak demikian untuk menunjukkan kehebatan pemanduannya kepada pemandu perempuan seperti saya,” katanya.

Ema berkata, tindak tanduk penumpang kereta berkenaan juga tidak disenanginya apabila mentertawakannya sebaik melihat dia terperanjat dengan cara pemanduan lelaki berkenaan.

Menurutnya, ketika itu, terdapat perempuan di sebelah pemandu sekitar 40-an kemungkinan isterinya dan tiga lelaki di tempat duduk belakang.

“Kesemua mereka senyum seolah-olah mengejek saya, malah seakan menyokong tindak tanduk samseng jalanan itu.

“Sepatutnya dia tidak boleh berbuat demikian kerana menunjukkan contoh yang tidak baik kepada tiga penumpang belakang yang saya jangkakan anaknya,” katanya.

Ema berkata, pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas elak daripada berleluasa.

Sinar Harian
14 Dis 2011

0 comments:

Post a Comment