December 25, 2011

Jenazah selamat dikebumikan

PASIR MAS – Adun Tendong, Dr Muhammad Md Daud, 64, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Perangkap, Bunut Susu, jam 12.50 malam, semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Wahidah Nik Abdullah, 51, dan enam anak berumur 16 hingga 26 tahun.

Wahidah berkata, arwah suaminya sempat tidur beberapa jam dan bangun semula kerana menyambut kepulangan anak perempuannya dari Kuala Lumpur.

“Dia mengadu sesak nafas dan saya sempat mengambil minyak angin dan melulurkan belakangnya, namun selepas arwah batuk beberapa kali, dia tiba-tiba rebah atas katil,” katanya, semalam.

Menurutnya, arwah suaminya tidak mempunyai sebarang penyakit, meninggal sejurus selepas bersama anak-anak pada malam itu.

Wahidah berkata, arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap kerana sentiasa aktif berkhidmat kepada rakyat di Tendong.

Allahyarham sempat meluangkan masa bersama penduduk kawasan itu ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Haji Daud KampungPerangkap, selepas solat Isyak, semalam.

Allahyarham memenangi kerusi Dun Tendong ketika pilihan raya umum ke 12, pada 2008 lalu selepas mengalahkan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Fauzi Mohamad. Allahyarham merupakan anak jati Pasir Mas, pernah memegang jawatan sebagai anggota Majlis Syura Dewan Ulama Pas Pusat dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, ibunya, Hanimah Abd Rahman, 82, berkata, tidak sangka anak sulung daripada sembilan beradik itu, meninggal dulu.

“Selepas solat Isyak semalam, arwah datang ke rumah, kemudian memotong bubur Asyura dan mengagihkannya kepada saudara-mara di sini,” katanya.

Menurutnya, memandangkan rumahnya dengan rumah arwah terletak bersebelahan, arwah sentiasa meluangkan masa bersama setiap kali selepas menunaikan solat di Masjid Haji Daud Kampung Perangkap.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Mohd Nasaruddin Daud berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kematian Allahyarham, Isnin ini.
Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Perangkap jam 2 petang semalam.

Turut hadir, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa; Exco Kerajaan Kelantan yang juga abang iparnya, Datuk Nik MohdAmar Nik Abdullah dan Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad.

Sinar Harian
25 Dis 2011


ADUN Pas Tendong meninggal dunia

PASIR MAS 24 Dis. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Dr. Mohamad Md. Daud meninggal dunia di rumahnya di Lorong Haji Daud, Kampung Perangkap, di sini hari ini akibat serangan jantung.

Allahyarham yang berusia 64 tahun dan baru sepenggal menjadi wakil rakyat menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1 pagi.

Adik bongsu Allahyarham, Abdul Gahfur, 39, berkata, abangnya sempat mengimamkan solat Maghrib dan Isyak di madrasah berhampiran rumahnya malam tadi.

"Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sehinggalah pada pukul 12.50 tengah malam tadi saya menerima panggilan telefon mengatakan beliau tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Allahyarham yang merupakan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meninggalkan seorang isteri, Nik Wahdah Nik Abdullah, 50 dan enam anak, Ahmad Fathi, 26; Bahrudin, 25; Ahmad Kamil dan Ahmad Kamal, 24, (kembar); Nuha, 20, dan Huda, 16.

Ahmad Fathi mengimamkan solat jenazah yang turut disertai Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Exco kerajaan Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Zohor di tanah perkuburan Islam kampung tersebut.

Mohamad yang mewakili Pas pada pilihan raya umum 2008 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Fauzi Mohamad dengan majoriti 1,657 undi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali serta keluarga mengucapkan takziah kepada isteri dan keluarga Allahyarham.

"Saya turut merasa dukacita dan adik saya, Asri sebagai wakil peribadi yang juga Pengarah DUN Tendong telah menziarahi keluarga Allahyarham," katanya.

Utusan
25 Dis 2011

0 comments:

Post a Comment