December 14, 2011

11 suspek samun dicekup

JOHOR BAHRU 13 Dis. - Polis berjaya menahan 11 lelaki dipercayai terlibat dalam empat kes samun di sekitar negeri ini dan merampas pelbagai barang berharga di semua lokasi itu dalam tempoh seminggu.

Dengan penangkapan kesemua suspek berusia antara 17 hingga 36 tahun, polis percaya berjaya menyelesaikan lebih 10 kes samun di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, empat daripada suspek ditahan di sebuah flat Kangkar Tebrau pada 9 Disember lalu kerana disyaki terlibat dalam tiga kes samun di Tampoi, Taman Universiti dan Skudai.

"Hasil penangkapan mereka, kita merampas dua bilah parang, tiga telefon bimbit, wang tunai dan dua motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehari sebelum itu, katanya, polis menangkap tiga lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes samun bersenjatakan parang ke atas pemilik sebuah kenderaan di Jalan Hang Lekiu, Taman Skudai kira-kira pukul 10 malam.

Polis merampas sebuah kenderaan yang dilaporkan hilang di Johor Jaya, dua bilah parang, tiga bilah pisau, lapan telefon bimbit dan sebatang cota besi, katanya.

"Dalam satu lagi kejayaan, sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Tanjung Resort, Pasir Gudang telah menahan dua lelaki yang menaiki sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan pada 7 Disember lalu.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki mereka, polis menemui sebilah pedang, parang panjang, satu kuku kambing dan dua topeng yang dipercayai digunakan untuk kegiatan samun sekitar Pasir Gudang," katanya.

Utusan
14 Dis 2011

0 comments:

Post a Comment