July 15, 2011

Lima Lelaki Amerika Latin Ditahan Dipercayai Suspek Kes Curi Berlian

SHAH ALAM: Polis menahan lima lelaki rakyat Amerika Latin dipercayai suspek bagi dua kes curi berlian dan barangan kemas bernilai RM1.66 juta di kawasan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata mangsa dalam dua kes itu membabitkan enam lelaki dari Hong Kong merupakan pemilik barangan kemas dan berlian, yang baru selesai mengadakan pameran di Kuala Lumpur pada 7 hingga 10 Julai lepas.

Beliau berkata kes pertama berlaku pada kira-kira 8 pagi, 11 Julai lepas, ketika empat lelaki pemilik barangan berharga itu sedang menunggu masa untuk berlepas balik ke negara mereka dan singgah sebentar di sebuah tandas.

"Tiga daripada lelaki itu masuk ke dalam tandas manakala seorang rakan mereka menunggu di luar bersama tiga buah beg yang mengandungi barangan kemas dan berlian bernilai RM257,040 yang diletakkan di atas sebuah troli.

"Tiba-tiba datang seorang lelaki warganegara Amerika Latin menepuk bahu mangsa dan berpura-pura bertanyakan sesuatu, beberapa saat kemudian mangsa yang tidak faham dengan pertanyaan itu mendapati dua beg di atas troli telah hilang," katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Jumaat.

Mohd Adnan berkata kes kedua berlaku pada kira-kira 8.45 pagi pada hari yang sama membabitkan seorang lelaki juga dari Hong Kong yang sedang menunggu rakannya yang memesan makanan di sebuah restoran makanan segera di Balai Berlepas KLIA.

Beliau berkata mangsa yang sedang duduk di restoran meletakkan dua bagasi berisi barangan kemas dan berlian bernilai RM1.4 juta di sebelah kirinya apabila secara tiba-tiba ditegur seorang wanita warganegara Amerika Latin menggunakan modus operandi yang sama dengan kes pertama.

Katanya, selang beberapa minit selepas wanita itu berlalu mangsa tersedar satu daripada bagasinya telah ditukar dengan beg lain yang mengandungi beberapa helai pakaian dan rambut palsu.

"Sebaik menerima laporan daripada kesemua mangsa, gerakan terus dijalankan dan polis berjaya menahan lima lelaki dipercayai anggota sindiket yang sama dan suspek bagi kedua-dua kes terbabit," katanya.

Mohd Adnan berkata tangkapan pertama dilakukan pada 12 Julai kira-kira pukul 6.20 petang di depan sebuah pasar raya di Petaling Jaya membabitkan empat lelaki warganegara Amerika Latin berumur antara 25 dan 50 tahun yang menaiki kereta yang disewa oleh mereka. Keesokannya, polis menahan seorang lelaki juga warganegara Amerika Latin berusia 32 tahun pada kira-kira 12.30 pagi di sebuah restoran di Sunway, katanya. "Kita masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kesemua suspek dan beberapa lagi rakan mereka yang dipercayai terbabit dalam kes itu masih diburu. Sehingga kini polis belum menemui barangan curi terbabit," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman sehingga Ahad ini untuk siasatan.

Sementara itu, Mohd Adnan berkata polis menahan empat lelaki berasal dari Sabah dipercayai terbabit dalam kes samun kargo di sebuah gudang beras di Jalan Bawal, Pandamaran dekat sini pada kira-kira 5.45 pagi, Selasa lepas.

Beliau berkata kesemua lelaki terbabit bersenjatakan parang dan memakai topeng muka bertindak mengikat kaki dan tangan dua orang pengawal keselamatan di gudang terbabit dan melarikan sebuah treler yang membawa empat kontena berisi beras yang dimport dari Pakistan bernilai RM174,800.

Katanya, sebaik mendapat aduan, polis terus menjalankan gerakan dan berjaya menahan seorang lelaki berumur 31 tahun di Pulau Indah, Pelabuhan Klang dan menemui semula kesemua empat kontena yang setiap satu berisi 460 guni beras.

"Polis juga berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 48 tahun pada hari yang sama di kawasan berhampiran," katanya.

Katanya polis sedang mencari seorang lelaki Mohd Amin Ismaon, 41, alamat terakhir di Jalan Bukit Belimbing, Seksyen 26 Shah Alam dipercayai ada kaitan dengan kes terbabit.

Mohd Adnan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Tok Beng Yeow di talian 019-7133777 atau mana-mana balai polis. -BERNAMA

15 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment