June 23, 2011

Remaja 19 tahun terlibat 10 kes pecah rumah

KULIM - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam 10 kejadian pecah rumah di sekitar bandar ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek ditangkap di rumahnya di Taman Desa Aman oleh anggota Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim diketuai Inspektor Joharumi Mahmud.

Beliau berkata, polis turut merampas enam komputer riba, barang kemas, telefon bimbit, kamera, wang tunai dan beberapa barangan lain bernilai hampir RM25,000.

Bagaimanapun, semua barang yang dicuri itu tidak sempat dijualnya lagi.

“Dari siasatan, suspek, seorang penganggur, tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Modus operandinya ialah memasuki rumah atau premis melalui bumbung atau memecah masuk mengikut pintu belakang di waktu malam.,” katanya.

Menurutnya, remaja itu melalui kegiatan pecah rumah bersendirian sejak Mac 2010 hingga Jun 2011.

Ghuzlan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah di waktu malam.

“Sehingga kini 10 mangsa sudah membuat laporan polis. Mereka yang terlibat perlu datang berjumpa pegawai bertugas untuk mengenal pasti barangan yang dirampas walaupun tidak membuat laporan sebelum ini.

Sinar Harian
22 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment