June 15, 2011

Minta sedia ruang ambil wuduk

KUAH - Ketiadaan tempat khas mengambil wuduk untuk menunaikan solat bagi peniaga dan pelancong sekitar pekan Kuah amat mendukacitakan.

Bangunan sedia ada yang menempatkan gerai makan bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pernah dicadangkan supaya dijadikan stesen teksi selain berdekatan tapak pasar malam yang diadakan setiap dua kali seminggu, sentiasa menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Namun ketiadaan kemudahan asas yang sempurna di kawasan berkenaan amat dikesali.

Rosmizan Razmi, 36, berkata, ketiadaan ruang khas untuk mengambil wuduk perlu diberi perhatian pihak berwajib kerana kawasan sekitar itu sentiasa dipenuhi orang ramai, termasuk pelancong.

“Setiap pengunjung terutama pelancong menikmati makanan di gerai ini termasuk mahu mendirikan solat di surau. Namun ketiadaan kemudahan asas yang penting seperti tempat ambil wuduk tiada, bukankah memalukan status pulau ini sebagai pulau pelancongan,” katanya.

Menurutnya, setiap kali mahu mendirikan solat, mereka terpaksa menggunakan saluran paip dari dalam tandas.

“Keadaan amat menjijikkan kerana terpaksa menghadap lubang tandas setiap kali mahu ambil wuduk,” katanya.

Rosmizan berkata, sepanjang tempoh itu mereka pernah melakukan aduan kepada pihak berwajib selain mengusulkan perkara itu kepada ahli majlis secara lisan namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

“Apabila peniaga-peniaga pasar malam memulakan perniagaan di hadapan bangunan ini, hanya surau ini tempat mereka untuk bersolat. Mereka juga ada mengadu kurang selesa sebab tiada tempat khas untuk ambil wuduk tetapi kami tak mampu buat apa-apa,” katanya.

Sabri Hamid, 55, berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera agar perkara itu dapat diatasi.

“Saya percaya untuk menyediakan tempat berwuduk bukanlah perkara yang besar dan tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Kami hanya mohon wujudkan ruang khas kepada para jemaah untuk menunaikan solat di surau ini,” katanya.

Katanya, setiap kali pelancong datang menjamu selera dan bersolat di surau ini, peniaga di sini terpaksa memberitahu pelanggan supaya menggunakan air paip dalam tandas kerana tiada sumber air lain.

“Keadaan ini sedikit sebanyak akan menjejaskan perniagaan dan nama baik Langkawi sebagai tempat tumpuan pelancong. Saya mohon pihak berkenaan ambil perhatian dan wujudkan ruang khas supaya terjamin kebersihan dan lebih selesa,” katanya.

Sinar Harian
15 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment