June 15, 2011

Bunuh bos selepas tak dibayar gaji

KESAN darah dipercayai milik Anbalagan ditemui di kuil selepas dia mati ditetak seorang pekerjanya di Kapar, Klang kelmarin. 

Peguam mati ditetak pekerja

KLANG 14 Jun - Akibat tidak dibayar gaji dan dendam, seorang pekerja sanggup menetak hingga mati majikannya yang merupakan peguam dan ahli perniagaan, Datuk R. Anbalagan, 56, di Kuil Sri Ramalingeswarari, Kampung Perepat, Kapar, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, mangsa ditemui berlumuran darah dengan kesan luka di belakang badan, muka, bahu dan kedua-dua belah tangannya.

Difahamkan, serangan bermula pukul 9.30 malam ketika mangsa sedang berbincang dengan sami kuil di ruang tamu banglo yang terletak di dalam ladang kelapa sawit miliknya.

Mangsa yang cuba menyelamatkan diri berlari ke dalam kuil di hadapan banglo itu tetapi suspek yang mengejarnya terus menetaknya berkali-kali sebelum dia jatuh dan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Ketika kejadian, pembantu rumah mangsa, seorang wanita warga Indonesia, Siti Aminah Mohamad Amran, 29, seorang sami kuil dan seorang lagi pekerja ladang berada di tempat kejadian.

Suspek yang merupakan warga India dikenali sebagai Rajangam, 26, kemudian melarikan diri bersama barang kemas, senjata dan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang bernombor pendaftaran BHC 9299 milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, suspek berjaya diberkas kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian pukul 10 pagi ini di Jalan Bukit Kapar di sini bersama semua bahan bukti.

"Siasatan percaya suspek membunuh mangsa kerana dendam dan tidak dibayar gaji. Mayat mangsa pula telah dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan dituntut keluarganya untuk dibawa pulang ke rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam dekat sini," katanya di sini hari ini.

Katanya, mangsa meninggalkan seorang anak perempuan, A. Sri Anantha Vali, 11, dan isterinya, Toh Puan A.Thelagam,48, yang juga seorang peguam.

Tambah beliau, suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan ditahan reman esok.

Utusan
15 Jun 2011


Nampak suspek kejar majikan dengan parang

SHAH ALAM 14 Jun - "Saya nampak suspek kejar Datuk hingga ke kuil sambil memegang parang. Kemudian saya dengar bunyi prap... prap... prap... dan suara jeritan," kata pembantu rumah, Siti Aminah Mohamad Amran, 29.

Menurut Siti Aminah, beberapa minit selepas itu, dia nampak suspek yang memegang sebilah parang berlumuran darah masuk ke dalam banglo dan keluar semula sebelum melarikan diri dengan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm milik majikannya.

"Saya berteriak meminta tolong selepas nampak Datuk terbaring dalam keadaan tertiarap dengan belakang terbelah dan berlumuran darah kerana ditetak dengan parang.

"Datuk mempunyai tiga pekerja yang tinggal di rumah itu iaitu dua pekerja ladang termasuk suspek dan seorang pekerja kuil," katanya ketika ditemui di rumah Anbalagan di Seksyen 7, di sini, petang ini.

Siti Aminah memberitahu, dia mengikut Anbalagan ke banglo tersebut pada pukul 2.40 petang semalam dan ketika kejadian dia sedang menunggu majikannya berhampiran Mitsubishi Storm untuk pulang ke Shah Alam.

Sementara itu, di rumah mangsa di Seksyen 7 di sini, suasana bertukar pilu apabila mayatnya tiba dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pukul 4.30 petang.

Isterinya, Toh Puan A.Thelagam, 48, anak perempuan tunggal, A. Srianantha Valli, 11, dilihat menangis ketika mangsa diturunkan daripada kenderaan mayat.

Thelagam yang juga seorang peguam berasa tidak percaya dengan kejadian yang menimpa suaminya itu.

"Kami sudah berkahwin selama 12 tahun dan saya tidak percaya semua ini berlaku," katanya teresak-esak.

Anak perempuannya, Sri Anantha pula kelihatan tenang dan sempat memberitahu, bapanya berpesan supaya dia sentiasa menjaga diri pada malam terakhir pertemuan mereka iaitu pada Ahad lalu.

Difahamkan, mayat Anbalagan akan disemadikan di Taman Peringatan Nirvana di Seksyen 21, di sini petang ini.

Utusan
15 Jun 2011


Ibu peguam mati dibunuh lepas geram

KLANG: Ibu kepada peguam, Datuk R. Anpalagan yang mati dibunuh mengambil kesempatan pada prosiding sebutan kes tersebut di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, untuk melepaskan rasa marah kepada warga India yang didakwa melakukan kesalahan tersebut.

Tertuduh, R. Marayanan, 24, hanya menundukkan kepalanya semasa dia dimarahi oleh wanita yang berusia di dalam lingkungan 70-an itu dalam bahasa Tamil.

Wanita itu sekali lagi melepaskan geram semasa tertuduh dibawa keluar daripada mahkamah oleh anggota polis mahkamah selepas tamat prosiding, namun dapat ditenangkan oleh seorang ahli keluarga yang turut hadir.

Menurut seorang wartawan akhbar Tamil, wanita terbabit berasa marah dengan perbuatan tertuduh membunuh anaknya, yang telah dijaga sehingga berjaya menjadi seorang peguam.

Pada prosiding itu, Majistret Azlinda Mohd Sharif menetapkan sebutan semula kes pada 26 Ogos ini selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim ekoran laporan bedah siasat dan kimia masih belum siap.

Sementara itu, peguam Datuk V. Sithambaram memohon agar tertuduh, yang merupakan pekerja kepada mangsa dibawa ke hospital kerana terdapat sembilan kes jahitan ditangannya, yang disyaki terjadi sebelum dia ditahan.

Azlinda membenarkan permohonan tersebut.

Narayanan didakwa menetak Anpalagan, 56, yang juga merupakan seorang ahli perniagaan pada pukul 9.30 malam, 13 Jun lalu di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221, Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat, di sini.

Dia didakwa di mahkamah pada 17 Jun lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori.

Pada 14 Jun lalu, media melaporkan Anpalagan ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan luka di bahagian belakang badan, muka, bahu dan kedua-dua belah tangan.

Difahamkan, serangan itu berlaku apabila mangsa sedang berbincang dengan sami di kuil yang terdapat di ruang tamu banglo di dalam kebun kelapa sawit miliknya.

Kejadian tersebut berlaku di hadapan pembantu rumah mangsa, Siti Aminah Mohamad Amran, 29, yang merupakan warga Indonesia.

Suspek pembunuhan itu berjaya ditangkap kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian selepas melarikan diri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm milik mangsa.

Mangsa meninggalkan seorang isteri, Toh Puan A. Thelagam, 48, juga seorang peguam dan seorang anak perempuan, A. Srianantha Valli, 11.

Mayat mangsa disemadikan di Taman Peringatan Nirvana di Seksyen 21, Shah Alam, dekat sini.

mStar
20 Jul 2011


Warga India ke tali gantung kerana bunuh peguam

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga India selepas dia didapati bersalah membunuh majikannya, peguam Datuk R. Anpalagan di sebuah kuil di Kampung Perepat, Klang, dua tahun lepas.

Hakim Datuk, Mohd. Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap R. Narayanan, 25, melampaui keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, beliau menolak alasan pihak pembelaan bahawa provokasi merupakan punca berlakunya kejadian bunuh itu.

Sebaliknya, Mohd. Sofian berkata, tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan dan kematian mangsa.

Sepanjang perbicaraan, 17 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azari Harun dan Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi sementara tertuduh diwakili peguam S. Selvam. - BERNAMA

26 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment