May 5, 2011

Kereta rempuh rumah awal pagi

BEGINILAH keadaan rumah pasangan warga emas di Jalan Magazine, George Town selepas dirempuh sebuah kereta awal pagi semalam.

GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri warga emas nyaris maut selepas kediaman mereka di Jalan Magazine di sini dirempuh sebuah kereta awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, pasangan berusia 70-an yang sedang menonton televisyen di ruang tamu itu dikejutkan dengan satu rempuhan yang kuat dari bahagian hadapan rumah mereka.

"Tiba-tiba sahaja sebuah kereta berada dalam rumah tidak jauh dari tempat kami menonton televisyen.

"Mujur kami sempat melarikan diri sebaik mendengar rempuhan itu dan tiada kemalangan mahupun cedera ringan yang berlaku ke atas saya dan juga suami," kata wanita yang enggan dikenali itu di rumahnya di sini semalam.

Akibat rempuhan yang kuat katanya, bahagian bawah tingkap rumah berusia kira-kira 150 tahun yang berhias dengan jubin bercorak klasik itu rosak teruk manakala dinding rumah retak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata, kejadian rempuhan itu melibatkan sebuah teksi dan kereta Perodua Myvi termasuk sebuah kereta Proton Saga yang diletakkan di hadapan rumah terbabit.

Kosmo
5 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment