May 21, 2011

Dulu hanya buruh kontrak

KUANTAN – Bermula sebagai pekerja buruh kontrak, Ponniran Mat Anuar, 50, kini mampu mengukir senyuman apabila syarikat Ponniran Azwan Enterprise yang diusahakannya sekarang tidak putus-putus menerima projek.

Lebih membanggakan, dia yang menjalankan perkhidmatan kontraktor kelas F di Felda Keratong 9, Rompin, sejak tahun 2002 berjaya meraih pendapatan mencecah RM 250,000 pada tahun 2010.

“Saya mula terlibat sebagai buruh kontrak pada tahun 1985. Bagaimanapun, selepas beberapa tahun menimba pengalaman, saya berasa yakin untuk mengendalikan syarikat sendiri dan mendapat sokongan daripada bekas Pengurus Felda di sini.

“Dialah yang banyak memberikan kata-kata semangat serta dorongan untuk saya pergi jauh dalam bidang ini. Tanpanya, saya mungkin tidak akan berada di tahap sekarang,” katanya yang menerima Anugerah Usahawan Felda Cemerlang.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak pada Majlis Perasmian Simposium dan Ekspo Usahawan Felda Wilayah Kuantan (SIMEX 2011) baru-baru ini.

Katanya, untuk tahun ini, syarikatnya sedang menyiapkan tiga projek di mana dua daripadanya merupakan projek bagi tahun 2011 dan satu lagi projek 2010.

“Selain tiga projek itu, saya sedang berusaha mendapatkan projek-projek baru. Saya juga sudah menghantar sebut harga di 20 tempat dan berharap akan mendapat beberapa projek untuk tahun ini dan seterusnya,” katanya.

Ponniran turut menjadikan anak ketiganya, Mohd Azwan Ponniran, 24, sebagai rakan kongsi yang juga bakal mewarisi perniagaannya pada masa akan datang.

“Kalau boleh, saya mahu anak saya belajar dari bawah. Walaupun sudah mempunyai pekerja, namun saya tetap turun ke tapak projek untuk mengajar Azwan supaya dia mahir dalam bidang ini.

“Saya tidak mahu nanti apabila dia mengambil alih perniagaan ini, dia tidak tahu apa-apa. Sebab itulah saya menggalakkannya bermula dari bawah sekurang-kurangnya dia dapat memahami perjalanan kerja dalam bidang ini,” katanya.

Tambahnya lagi, selepas menyerahkan syarikat tersebut kepada anaknya, Ponniran turut merancang untuk mengusahakan burung walit pada masa akan datang.

“Perusahaan ini turut mendatangkan pendapatan lumayan jika kita benar-benar mengusahakannya dengan cara yang betul. Daripada membiarkan tanah sedia ada begitu sahaja, tidak salah jika kita memanfaatkannya untuk kepentingan keluarga.

“Bagaimanapun, semuanya masih dalam perancangan. Kini, biarlah saya tumpukan perhatian kepada projek-projek sedia ada kerana tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya.

Sinar Harian
21 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment