April 5, 2011

Pelajar dituduh mencuri cedera dibelasah

KUANTAN - Seorang pelajar semester pertama sebuah institut kemahiran di Pekan cedera di bahagian hidung apabila diserang secara membabi-buta sekumpulan pelajar senior gara-gara dituduh mencuri telefon bimbit milik seorang daripada mereka, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 1.45 petang Jumaat lalu berlaku ketika mangsa berusia 19 tahun itu berada di dalam asrama sebelum didatangi kumpulan pelajar terbabit yang mensyakinya mencuri sebuah telefon bimbit.

Mangsa yang menafikan tuduhan itu dibelasah kumpulan pelajar terbabit termasuk dipukul dengan batang penyapu hingga cedera berdarah hidung.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan/Perundangan), Superintendan Mohd Haris Daud berkata, menyedari mangsa mengalami kecederaan, kumpulan itu segera beredar kerana bimbang perbuatan mereka dilihat pelajar lain.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan bagaimanapun dia hanya dirawat sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.

“Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis dan susulan daripada laporan tersebut, polis berjaya mengesan dan menahan sepuluh pelajar terbabit pada malam Ahad lalu bagi membantu siasatan.

“Kumpulan pelajar terbabit difahamkan tidak pulang ke asrama selepas kejadian dan dipercayai balik ke rumah masing-masing kerana cuti hujung minggu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mohd Haris berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Kelantan itu dituduh mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang daripada pelajar yang membelasahnya.

Beliau berkata, kumpulan pelajar senior terbabit bertindak mengerumuni mangsa sebelum memukulnya kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang trauma dengan kejadian itu difahamkan pulang ke kampung halamannya.

Sinar harian
5 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment