March 11, 2011

Tanggung derita sejak lahir

SUNGAI SIPUT - Pergerakan dan tumbesaran seorang kanak-kanak perempuan Jamatul Syuhaida Omar, berusia setahun tiga bulan di sini agak perlahan dan terbatas akibat penyakit yang dihidapinya sejak lahir.

Bapanya, Omar Yunus, 44, berkata, penyakit jantung berlubang yang dihidapi anaknya sejak lahir semakin berisiko jika terus dibiarkan tanpa melakukan sebarang pembedahan hingga dia dewasa kelak.

Menurutnya, anaknya masih tidak mampu duduk dan meniarap lebih lama berbanding kanak-kanak seusianya berikutan masalah jantungnya dan kerap tercungap jika terlalu lama dibaringkan.

“Walaupun keadaannya begitu, anak saya kurang menangis dan cuma memerlukan tumpuan setiap masa kerana dia akan bergerak dengan memusingkan badannya untuk ke sesuatu tempat.

“Sebelum ini beberapa rawatan susulan sudah dijalankan dan baru-baru ini tiup dimasukkan untuk melihat keadaan jantungnya serta doktor menasihatkan agar pembedahan dilakukan pada 27 Mac ini,” katanya.

Dia berkata, antara masalah yang dihadapinya ialah kos perbelanjaan bagi pembedahan anaknya kerana yakin kos rawatan yang diperlukan amat tinggi dan risau jika pembedahan tidak dapat dijalankan dengan segera akibat kekurangan sumber tersebut.

“Jamatul memang sihat apabila dilihat dari segi tubuh fizikalnya dan sekali pandang tidak menyatakan kesengsaraan yang dialaminya,” katanya.

Menurutnya, terdapat komplikasi terhadap Jumatul akibat penyakitnya itu seperti gusi berwarna biru dan bahagian badannya berlekuk di kedua dua belah perutnya serta degupan jantung yang lebih laju walaupun dalam keadaan normal.

“Setiap dua minggu saya akan mengambil ubat di Hospital Segamat untuk keperluan Jumatul dan setiap bulan, saya akan membawanya membuat pemeriksaan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya.

Sinar Harian
11 Mac 2011

0 comments:

Post a Comment