March 10, 2011

Tak sempat rai perkahwinan kakak

KUALA LUMPUR - Hasrat seorang pemuda meraikan perkahwinan kakaknya Sabtu ini tidak kesampaian apabila dia maut setelah terjun dari tingkat dua sebuah rumah kedai di sini bagi mengelakkan serangan sekumpulan lelaki.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, pemuda itu Khairul Helmi Kamaruddin, 20, mengunjungi sebuah pusat Internet di Taman Melati awal pagi ini apabila sejurus kemudian sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang, rantai dan batang besi menyerbu masuk ke pusat itu pada 3.00 pagi.

Katanya, oleh kerana ketakutan, Khairul Helmi serta tujuh pelanggan lain bergayut pada tingkap bangunan sebelum terjun bagi menyelamatkan diri.

"Tetapi malangnya Khairul Helmi patah tengkuk dan meninggal dunia di tempat kejadian, dua lagi koma manakala lima lagi sempat melarikan diri.

"Beberapa orang pelanggan lain sempat meluru ke bilik belakang pusat Internet itu dan mengunci pintu ketika suspek menyerang meja kaunter bayaran dan memukul juruwang.

"Manakala seorang pelanggan diserang dengan parang dan seorang lagi ditarik keluar dan dibawa lari,” kata Zainuddin.

Zainuddin berkata, motif serangan itu dipercayai balas dendam ekoran satu pergaduhan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

10 Mac 2011


Maut ketika lari daripada samseng

TEMPAT Khairul Helmi ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan lot kedai ketika cuba menyelamatkan diri daripada diserang lima lelaki di Taman Melati, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pelanggan sebuah pusat Internet maut selepas tengkuknya patah akibat terjun dari tingkat satu bangunan lot kedai empat tingkat di Taman Melati, Wangsa Maju di sini semalam.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa cuba menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa serangan sekumpulan lima lelaki.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, dua pelanggan lain di pusat Internet itu patah kaki kerana terjun dari tingkap di tingkat satu bangunan kedai itu.

Seorang pelanggan pusat Internet itu pula dibawa lari menaiki sebuah kereta dan sehingga petang semalam polis belum mengetahui nasib pelanggan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, sebelum kejadian, pemuda yang terbunuh itu Khairul Helmi Kamaruddin, 22, mengunjungi pusat Internet itu sebelum sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang, batang besi dan juga rantau menyerang premis itu.

Kosmo
11 Mac 2011


4 diserang di kafe siber

KUALA LUMPUR: Angkara dendam, seorang terbunuh, dua koma manakala seorang lagi diculik selepas lima lelaki bersenjatakan parang, besi dan rantai menyerang sebuah kafe siber di Taman Melati, Wangsa Maju, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, Khairul Helmi Khamaruddin, 20, maut di tempat kejadian akibat patah leher selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan kedai ketika cuba menyelamatkan diri daripada serangan berkumpulan itu.

Dua rakannya yang masih belum dikenal pasti identiti terlantar dalam dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), juga akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Seorang lagi mangsa yang berusia 20-an parah selepas ditetak dengan parang sebelum diculik kumpulan lelaki bersenjata itu dan nasibnya masih belum diketahui.

Menurut sumber, serangan itu dikatakan bermotifkan menuntut bela atas perbuatan mangsa dan beberapa rakannya membelasah ahli kumpulan penyerang sehingga koma di Danau Kota di sini, dua minggu lalu.

Sumber itu berkata, sejak dua minggu lalu, mangsa serta rakannya yang menyedari diburu polis tidak pulang ke rumah masing-masing kerana bimbang ditahan atau dicederakan ahli kumpulan berkenaan.

“Berikutan itu, mereka menumpang di sebuah bilik dalam kafe siber itu yang dijadikan tempat persembunyian. Namun, tempat persembunyian itu dikesan musuh mereka yang kemudian melakukan serangan balas dendam,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, siasatan awal polis mendapati kumpulan lima lelaki yang melakukan serangan itu merempuh masuk ke kafe siber terbabit dan mangsa pertama mereka ialah penjaga premis berkenaan yang berada di bahagian kaunter.

“Selepas itu baru mereka menyerang Khairul Helmi dan rakannya yang lain dengan bersenjatakan parang, besi dan rantai. Rakan Khairul Helmi yang gagal melarikan diri ditetak seorang daripada suspek menggunakan parang manakala penjaga kafe siber itu terus dipukul suspek menggunakan besi.

“Khairul Helmi dan enam rakannya yang lain melarikan diri dengan bersembunyi dalam sebuah bilik di belakang premis, namun mereka berjaya dikesan,” katanya.

Zainuddin berkata, selepas memusnahkan beberapa unit komputer, penyerang terbabit memecahkan pintu bilik tempat persembunyian Khairul dan enam rakannya.

“Dalam usaha melarikan diri Khairul Helmi terjatuh dari tingkat satu dan maut di tempat kejadian. Dua lagi rakannya cedera parah selepas terjun melalui tingkap dan dilaporkan kritikal di HKL.

“Rakan Khairul Helmi yang ditetak itu diculik kumpulan terbabit manakala empat lagi rakannya melarikan diri,” katanya. Zainuddin berkata, sehingga kini, polis masih tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa yang diculik.

“Bagaimanapun, tindakan pantas polis selepas menerima laporan mengenai insiden itu membuahkan hasil apabila seorang daripada suspek ditahan di sekitar kawasan berkenaan.

myMetro
11 Mac 2011


Saya terkilan

KUALA LUMPUR: “Saya terkilan adik tidak dapat bersama meraikan perkahwinan saya,” kata Nor Azlin Khamaruddin, 27, ketika mengulas kematian adiknya, Khairul Helmi, 20, ketika cuba menyelamatkan diri apabila diserang lima lelaki bersenjata di kafe siber di Taman Melati, awal pagi semalam.

“Adik saya sepatutnya pulang ke rumah esok (hari ini) bagi membantu saya melakukan persiapan perkahwinan. Malah, kata-kata serta janjinya itu masih terngiang-ngiang di telinga saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Nor Azlin berkata, dia menghubungi adiknya kira-kira dua minggu lalu selepas tidak pulang ke rumah kerana bimbang keselamatannya selepas bergaduh dengan satu kumpulan di Danau Kota.

“Adik mendakwa dalam keadaan selamat selain memberitahu bersembunyi di sebuah kafe siber kerana terbabit dalam satu pergaduhan,” katanya.

myMetro
11 Mac 2011


Seorang lagi mangsa amukan di kafe meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Seorang lagi mangsa serangan kumpulan samseng dalam kejadian amuk sekumpulan lima lelaki bersenjata di kafe siber, di Taman Melati, di sini, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin, manakala rakannya berusia 25 tahun masih tidak sedarkan diri.

Mangsa, Ahmad Wahirin Arsalan, 19, yang koma selepas terjun dari tingkat satu bangunan kafe siber itu ketika melarikan diri daripada kumpulan samseng terbabit disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10 malam.

Menurut sumber, seorang lagi mangsa berusia 25 tahun pula masih tidak sedarkan diri dan keadaannya kritikal biarpun baru selesai menjalani pembedahan di hospital berkenaan.

Menceritakan perkembangan kes berkenaan, sumber itu berkata, pihak berkuasa menahan empat lagi lelaki berusia antara 20 hingga lewat 30-an dipercayai ahli kumpulan penyerang.

“Semua suspek ditahan berasingan di Wangsa Maju dan Setapak oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Keempat-empat suspek ditahan berasingan antara jam 10 hingga 12 tengah malam tadi (kelmarin) sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, keempat-empat suspek akan direman tujuh hari bermula kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan kematian seorang daripada dua mangsa yang dirawat di HKL serta penahanan beberapa lagi suspek yang dipercayai terbabit insiden berkenaan.

“Ahmad Wahirin maut akibat cedera serius pada kepala dan ia dipercayai berlaku ketika dia terjun daripada bangunan kafe siber itu untuk melarikan diri daripada kumpulan penyerang,” katanya.

myMetro
14 Mac 2011

0 comments:

Post a Comment