March 31, 2011

Malek Noor diserang sakit jantung ketika bermain bola sepak

Malek Noor rebah di padang bola

MALEK dipimpin oleh doktor dan anggota pertahanan awam selepas diserang sakit jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di Ipoh malam kelmarin.

IPOH – Bekas juara bina badan Mr. Asia enam kali, Datuk Malek Noor dikejarkan ke sebuah hospital swasta di sini selepas mengalami sesak nafas akibat serangan sakit jantung malam kelmarin.

Ketika kejadian, beliau sedang menyertai perlawanan bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak di sini.

Malek yang bermain di posisi penjaga gol tiba-tiba berpaut pada tiang gol dan menahan kesakitan pada bahagian dadanya selepas lima minit perlawanan bermula.

Bekas atlet berusia 56 tahun itu kemudian diberikan bantuan kecemasan oleh seorang pegawai perubatan sebelum dipindahkan ke Hospital Permaisuri Bainun di sini.

Pengurus Keahlian Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Aminuddin Mohd. Nasir berkata, ahli bina badan itu kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pantai Ipoh.

“Malek sangat teruja untuk menyertai perlawanan itu bahkan pada sesi pemanas badan sebelumnya, dia sangat cergas.

“Tiada langsung tanda-tanda dia diserang sakit jantung sehinggalah dia menjerit memanggil saya dan mengadu sesak nafas,” ceritanya.

Menurut Aminuddin, keadaannya kini semakin stabil dan beliau berharap semua pihak mendoakan bekas jaguh bina badan negara itu pulih.

Kosmo
1 Apr 2011


Malek Noor rebah


IPOH: Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, 56, yang ‘tumbang’ akibat serangan jantung malam kelmarin, dipercayai ada kaitan dengan buah durian kampung yang dimakan bersama rombongan rakan atlet lain.

Difahamkan, Malek sempat menjamah jamuan buah durian selepas makan tengah hari dan melawat ladang rock melon milik koperasi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di Tanjung Tualang di sini sebelum menyertai perlawanan bola sepak bersama pasukan pilihan Menteri Besar Perak, malam kelmarin.

Pengerusi Eksekutif Yakeb, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar berkata, Malek sebelum itu dilihat ceria dan bersemangat untuk menyertai perlawanan berkenaan yang berlangsung jam 8.40 malam kelmarin.

MAHU PITAM...Malek memegang tiang gol sebelum dipapah dan diusung untuk dibawa ke hospital.

Menurutnya, Malek masuk ke padang untuk melakukan sesi pemanas badan dan berjalan menuju ke arah tiang gol stadium untuk memulakan perlawanan.

“Namun, lima minit selepas wisel perlawanan ditiupkan, Malek dilihat seolah-olah rebah namun sempat bergayut pada jaring di pintu gol berkenaan.

“Ketika itulah pengurus keahlian Yakeb, Aminuddin Mohd Nasir, segera meluru masuk ke dalam padang bersama doktor pakar yang disediakan pihak penganjur,” katanya.

Menurutnya, Malek hanya memberitahu pening lalu dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Hospital Pantai, Ipoh.

“Saya terkejut dengan kejadian itu kerana Malek sempat berseloroh petang kelmarin, menasihati saya supaya jangan terlalu kuat bekerja kerana bimbang diserang penyakit jantung,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin yang ditemui berkata, Malek mulanya menyangka dia hanya diserang angin dalam tubuh dan tidak mahu dihantar ke hospital.

“Ketika dirawat di hospital, Malek berulang kali memberitahu serangan mendadak dialami berpunca dari panas dan angin dalam badan. Namun, selepas doktor mengesahkan ia berpunca daripada penyakit jantung, Malek terus tergamam dan terkejut.

“Saya percaya dia sendiri tidak tahu dia ada penyakit itu, namun saya bersyukur kerana doktor kedua-dua hospital cepat memberi bantuan kecemasan kepadanya,” katanya selepas melawat Malek di wad ICU, Hospital Pantai, di sini.

Menurutnya, Malek baru saja pulang dari mengerjakan umrah 19 Mac lalu dan banyak menghabiskan masa bersama anak angkatnya, Nik Nuramalin Aisyah Nik Mahmod, setahun tujuh bulan.

Sementara itu, tinjauan mendapati Malek yang juga Pengarah Eksekutif Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd dilihat masih bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

Pakar perunding kardiologi Hospital Pantai Ipoh, Doktor Chan Chong Guan yang ditemui berkata, keadaan Malek akan dipantau rapi sepanjang tempoh 48 jam bagi memastikan dia kembali stabil.

Menurutnya, penyakit jantung dialami Malek akibat saluran darah koronari tersumbat tapi belum di tahap serius dan tidak memerlukan pembedahan segera.

“Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana diberikan bantuan kecemasan dan segera dibawa ke hospital. Ketika kejadian denyutan jantungnya terlalu perlahan dan hanya peralatan di hospital dapat menyelamatkan nyawanya.

“Pemeriksaan perubatan dilakukan mendapati tahap kolesterolnya tidak terlalu tinggi dan dia dijangka keluar dari wad ICU selewat-lewatnya esok sebelum dipindahkan ke wad biasa,” katanya.

myMetro
1 Apr 2011


Malek tidak henti menangis

IPOH - Suasana sedih menyelubungi Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai Ipoh (HPI) di sini semalam apabila bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor tidak henti-henti menangis sejurus beliau sedar tengah hari semalam.

Mr. Asia sebanyak enam kali itu amat terharu apabila mendapati beliau dikelilingi beberapa orang adik-beradiknya yang datang dari Johor untuk melawat beliau sejak malam kelmarin.

Menurut adik bongsu Malek, Mohd. Salleh, 49, abang ketiganya itu mula sedar pada pukul 12.15 tengah hari selepas diberi ubat penenang bagi rawatan jantung yang dijalaninya.

Kosmo
2 Apr 2011


Malek Noor keluar ICU

IPOH: Selepas tiga hari ‘ditahan’ di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pantai Ipoh (HPI) akibat serangan jantung pada malam Rabu lalu, bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor dipindahkan ke wad biasa, petang semalam.

Keadaan kesihatannya kini kembali stabil, namun doktor menasihatkannya supaya tidak banyak bergerak dan lebih banyak berehat.

Malek diserang sakit jantung selepas lima minit sepak mula perlawanan bola sempena Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak, di sini, sebelum dikejarkan ke HPI untuk menerima rawatan kecemasan.

Adik bongsu Malek, Mohd Salleh Mohd Noor, 49, ketika dihubungi semalam, berkata abangnya kini dipindahkan dari wad ICU ke wad biasa hospital sama kira-kira jam 3.30 petang semalam selepas dia (Malek) menunjukkan reaksi positif terhadap ubat dan rawatan yang diberi.

Bagaimanapun, katanya, doktor menasihatkan dia (Malek) tidak banyak bergerak dan berehat sepenuhnya bagi membolehkan kesihatan pulih seperti biasa.

“Doktor memantau keadaannya dan sejak semalam (kelmarin), dia boleh bercakap dan duduk. Namun, masih kelihatan lemah.

“Jika tiada aral melintang, dia akan dibenarkan keluar dari wad esok (hari ini) atau Isnin,” katanya.

myMetro
3 Apr 2011

0 comments:

Post a Comment