January 16, 2011

Tergamak tinggal anak

ALOR GAJAH: Keengganan seorang wanita hamil yang cedera dalam nahas jalan raya di Kilometer 198.8, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, pagi semalam, menaiki ambulans biarpun dipujuk anggota perubatan dan nekad menghilangkan diri, membongkar rahsia dia memandu kereta dilaporkan hilang Selasa lalu di Pandan, Indah Kuala Lumpur.

Malah, menurut pekerja Plus yang enggan dikenali, wanita itu sanggup membiarkan anak lelakinya berusia empat tahun yang turut cedera menanggung kesakitan, dipercayai bagi mengelak disiasat polis jika dirawat di hospital.

Dalam kejadian jam 7 pagi, wanita berusia 30-an dan anaknya nyaris maut apabila kenderaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik di dalam longkang.

Menurut Pegawai Penyiasat Polis Trafik Alor Gajah, Inspektor Razali Samin, kemalangan berpunca apabila tayar belakang kereta yang menghala ke selatan itu pecah, menyebabkan pemandu gagal mengawalnya lalu menggelongsor 30 meter ke sisi kiri jalan dan melanggar pokok lalu terbalik.

Mangsa dan anaknya bagaimanapun bernasib baik apabila hanya cedera ringan.

“Siasatan awal polis dan hasil maklumat orang awam difahamkan wanita terbabit dan anaknya masih di tempat kejadian ketika ambulans tiba. Namun, beliau enggan menaiki ambulans walaupun dipujuk sebelum dilihat menelefon seseorang dan kemudian menghilangkan diri.

“Polis memaklumkan semua hospital dan klinik kerajaan dan swasta di negeri ini jika menerima pesakit seperti dinyatakan untuk menghubungi IPD Alor Gajah dengan segera bagi membantu siasatan,” katanya.

myMetro
16 Jan 2011

1 comment:

  1. Kurang paham sikit cerita ni. Perempuan tu tergamak tinggalkan anak dia di mana? Dalam ambulans ke? Maklumat macam tak lengkap.

    ReplyDelete