January 12, 2011

Penunggang motosikal terbunuh dirempuh jip

KUANTAN: Seorang lelaki terbunuh selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah jip di Kilometer 36, Jalan Kuantan-Maran, berhampiran Bukit Gambang Resort City, di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu mengakibatkan mangsa, Sidney Anak Regok, 35, dari Kampung Orang Asli Gedong Siam, Kilometer 48 Paya Bungor meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, berkata siasatan awal mendapati, pemandu jip terbabit yang dalam perjalanan menghala ke Maran dari Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, pada masa sama, mangsa yang menunggang berseorangan datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan jip berkenaan mengakibatkan dia tercampak.

Katanya, akibat pertembungan berkenaan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk bedah siasat dijalankan.

Zulkifli berkata, pemandu jip terbabit yang dikatakan mengalami kecederaan ringan turut dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.

“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat mangsa dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan di hospital berkenaan, petang semalam,” katanya.

myMetro
12 Jan 2011

0 comments:

Post a Comment