January 11, 2011

Inkues kematian pengawal istana bermula

TUMPAT 10 Jan. - Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad akibat ditembak pada Mei tahun lalu bermula hari ini di Mahkamah Koroner di sini.

Sebanyak enam saksi termasuk balu Ramli dan anak sulung mereka dipanggil memberi keterangan pada hari pertama prosiding tersebut yang didengar oleh Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Ramli, 50, bapa kepada lima anak meninggal dunia selepas 19 hari dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akibat cedera parah ditembak penyerang yang tidak dikenali dekat Palekbang pada 1 Mei tahun lalu.

Ketika kejadian, Ramli berseorangan menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kok Keli selepas selesai bertugas di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Raja Norshuzianna dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussein dan peguam Ahmad Sham Ahmad Salam.

Pada prosiding hari ini, balu mangsa, Maznah Mustafa, 50, memberitahu, kali terakhir dia bertemu suaminya adalah pada 30 April tahun lalu selepas Asar ketika suaminya hendak ke tempat kerja.

Menurutnya, dia kemudian telah diberitahu oleh anak lelakinya, Mohd. Faris bahawa Ramli telah ditembak pada sebelah malamnya iaitu kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Maznah memberitahu, sebelum kejadian itu, suaminya pernah mendakwa ketika bertugas di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, iaitu hospital Sultan Kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra dirawat, dia pernah berselisih faham dengan pengawal istana yang dilantik dari syarikat swasta.

''Sepanjang Sultan Kelantan (ketika itu) dirawat di sana, suami saya sering berulang alik mengikut jadual yang disediakan. Dia pernah memberitahu tentang perselisihan faham itu namun tidak memberitahu puncanya.

''Arwah seorang yang pendiam dan hanya bercakap perkara penting tetapi saya perasan sebelum kejadian dia banyak menerima panggilan telefon yang kadang kala tidak dijawab tetapi tidak tahu siapa yang menelefon dan motifnya,'' ujar saksi ketiga itu.

Sementara itu, anak sulung Ramli, Nurhidayah, 28, memberitahu, semasa bertugas di Singapura, bapanya hampir setiap hari menelefonnya dan pernah menceritakan mengenai perselisihan faham dengan pengawal istana swasta di sana.

''Arwah beritahu mereka (pengawal swasta) seperti mahu menghalang tugas, seolah-olah mahu mengusirnya daripada terus berada di sana. Sehinggakan arwah memberitahu, pertelingkahan tersebut telah dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) di hospital berkenaan,'' ujarnya.

Sebelum itu, saksi keempat, Mohd. Farhan Ramli, 26, memberitahu, dia antara empat orang yang pertama menemui mangsa di tepi jalan yang disangkakan mangsa kemalangan.

''Dia minta diangkat kerana sesak nafas dan ketika itu ada memberitahu saya, dia kena tembak sambil menunjukkan dada sebelah kanan.

''Seorang rakan menahan sebuah kereta Perodua Viva dan saya memangkunya di bahagian tempat duduk belakang kenderaan tersebut menuju ke Hospital Tumpat di Kelaboran.

''Saya memang mengenali mangsa dan memanggilnya dengan panggilan abang Lan kerana keluarga kami saling mengenali sebelum ini,'' katanya.

Terdahulu, Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Zahari Noor yang bertanggungjawab melakukan bedah siasat ke atas mayat Ramli memberitahu, kematian mangsa disebabkan kegagalan organ, jangkitan kuman dan darah kesan tembakan yang turut mengenai paru-parunya.

Zahari yang berkhidmat sebagai pakar perunding forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) ketika kejadian berkata, satu das tembakan dari arah depan yang dilepaskan telah terkena dada kanan mangsa.

''Satu das tembakan mengenai kanan dada, pada jarak kira-kira satu meter bukan tembakan dekat (dan) bersesuaian dengan maklumat, mangsa masih menunggang motosikal dan mungkin pembunuh pada aras atas sedikit (dari kedudukan mangsa),'' katanya.

Prosiding bersambung esok.

Utusan
11 Jan 2011


Bapa tidak suka sikap orang di istana

TUMPAT 11 Jan. – Anak bongsu kepada pengawal Istana Negeri, Ramli Mohamad yang ditembak mati pada Mei tahun lalu, mendakwa bapanya tidak menyukai perangai beberapa orang di istana tersebut.

Mohd. Faris Ramli, 20, memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa bapanya memaklumkan perkara itu kepadanya ketika dibawa ke istana tersebut tetapi beliau tidak pernah menyebut siapa yang dimaksudkannya itu.

Dia yang kini menuntut di sebuah universiti tempatan berkata, sejak kecil, ayahnya sering membawanya ke istana tempat beliau bertugas terutama semasa diadakan majlis-majlis keraian atau berlaku kematian.

Saksi ke-14 itu berkata demikian pada hari kedua inkues yang dijalankan bagi menyiasat punca kematian Ramli, 50, akibat ditembak penyerang yang tidak dikenali dekat Palekbang, di sini pada 1 Mei tahun lalu.

Ketika kejadian, Ramli berseorangan menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kok Keli selepas selesai bertugas di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Inkues tersebut didengar di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussein dan peguam Ahmad Sham Ahmad Salam.

Menurut Mohd. Faris, kali terakhir dia bertemu ayahnya adalah di rumah mereka iaitu pada sebelah petang sebelum kejadian itu berlaku.

Pemuda itu berkata, dia mengetahui kejadian tembakan tersebut setelah menerima panggilan daripada kakak sulungnya, Nurhidayah selepas tengah malam.

‘‘Saya bergegas ke sana tetapi sekali lagi menerima panggilan telefon Nurhidayah memberitahu ayah telah dibawa ke Hospital Tumpat di Kelaboran dan saya terus mengambil bapa saudara yang tinggal berhampiran sebelum ke hospital,’’ ujarnya.

Ketika di wad kecemasan, menurutnya, ayahnya mengadu tidak selesa dan dia menggosok-gosok tubuh lelaki itu sebelum menemaninya di dalam ambulans ketika dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) di Kota Bharu.

‘‘Ketika dalam wad, ayah senyap tetapi sesekali mengerang seperti kesakitan dan saya gosok tubuhnya sambil bertanya siapa yang buat dan dia jawab tidak tahu,’’ katanya.

Sementara itu, saksi ke-13, Pakar Perubatan Forensik HPRZ II , Dr. Wan Mohamad Zamri Wan Nawawi mengesahkan peluru yang ditunjukkan Wan Abdul Razak adalah peluru yang dikeluarkan daripada tubuh mangsa.

Menurutnya, peluru tersebut dikeluarkan semasa pembedahan oleh pakar ortopedik pada 5 Mei tahun lalu yang diserahkan kepadanya.

Beliau berkata, bedah siasat pula dijalankan pada 19 Mei tahun lalu mulai pukul 5.40 petang sehingga 8 malam dan diketuai oleh pakar perunding forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) ketika itu, Datuk Dr. Zahari Noor.

‘‘Sebelum pembedahan dilakukan, saya difahamkan mangsa terlibat dengan kes tembakan di Tumpat dan dimasukkan ke hospital pada 1 Mei di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 19 hari sebelum meninggal.

‘‘Daripada pemeriksaan, mangsa meninggal dunia kerana tembakan pada dada kanan yang menembusi belakang dan mengenai tulang belakang kelima (ruas). Kesan tembakan itu terdapat satu ruang mengakibatkan pendarahan.

‘‘Kesan daripada tembakan tersebut menyebabkan jangkitan kuman dan kecederaan parah serta kuman telah memasuki ke seluruh tubuhnya termasuk di bahagian buah pinggang dan limpa menyebabkan kegagalan fungsinya,’’ katanya.

Terdahulu, Mohd. Sani Nawi, 28, dari Kampung Kelong, Tumpat memberitahu, dia bersama tiga lagi rakannya dengan menaiki dua motosikal melintasi tempat kejadian menuju ke Kampung Laut pada malam tersebut.‘‘Saya yang mula-mula sedar ada orang mengerang meminta pertolongan ketika melintas di tempat kejadian dan melihat tubuh seorang lelaki ditindih sebuah motosikal di sebelah kanan bahu jalan,” katanya.

Prosiding bersambung esok.

‘‘Saya yang membonceng motosikal menyuruh rakan-rakan berpusing kerana menyangka mangsa kemalangan. Ketika saya mengangkat motosikal yang menindihnya, mangsa masih sedar dan memakai topi keledar,’’ katanya.

Ketika diangkat oleh salah seorang rakannya, ujar saksi itu, dia mendengar mangsa mengadu sukar bernafas dan memberitahu telah ditembak.

Dia kemudian bersama seorang lagi rakannya telah ke Balai Polis Palekbang untuk membuat aduan.

Prosiding bersambung esok.

Utusan
12 Jan 2011


Kakitangan istana tunjuk senarai senjata api – Saksi

TUMPAT 12 Jan. - Seorang kakitangan Istana Mahkota dikatakan pernah menawarkan senjata api kepada kakitangan lain termasuk tiga pengawal peribadi dari Singapura yang diupah oleh bekas Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Pemandu istana berkenaan, Mat Salleh @ Abdul Ghani Ismail, 61, memberitahu, kakitangan itu yang dikenali sebagai Chef Dee membuat tawaran tersebut selepas menunjukkan senarai senjata api kepadanya dan beberapa kakitangan lain, tetapi tidak mengingati bila perkara itu berlaku.

Dia bagaimanapun memberitahu tidak begitu mengenali Chef Dee yang merupakan tukang masak istana yang kerap menyediakan makanan kepada Tengku Muhammad Fakhry Petra pada ketika itu masih bergelar Tengku Temenggong Kelantan. (Gelaran Tengku Temenggong ditarik balik pada 30 September tahun lalu)

"Saya pernah lihat Chef Dee tunjuk katalog senjata api di hadapan saya dan rakan lain termasuk tiga pengawal peribadi swasta yang diupah Tengku Temenggong iaitu Man, Bob dan Shah. Dia kata siapa yang hendak beli bolehlah tetapi saya tidak tahu jika ada yang membeli atau tidak," katanya.

Saksi ke-20 itu berkata demikian pada hari ketiga inkues yang dijalankan bagi menyiasat punca kematian pengawal Istana Negeri, Ramli Mohamad akibat ditembak penyerang yang tidak dikenali di Palekbang di sini, pada 1 Mei tahun lalu.

Ketika kejadian, Ramli berseorangan menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kok Keli selepas selesai bertugas di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Inkues tersebut didengar di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussein.

Menurut Mat Salleh, seminggu sebelum kejadian, dia juga pernah ditanya oleh Chef Dee mengenai nombor plat motosikal Ramli tetapi memberitahu tidak ingat.

"Saya ada bertanya kepada Chef Dee kenapa tanya nombor motosikal arwah, Chef Dee menjawab dia ada mendengar Ramli mahu menjual motornya itu," katanya.

Dalam pada itu, dia turut memberitahu, pernah mendengar daripada rakan-rakan sekerja mengenai perselisihan faham antara Ramli dengan pengawal-pengawal Tengku Muhammad Fakhry Petra di Singapura.

Sementara itu, saksi ke-19, isteri Chef Dee, Haliza Hashim, 45, menafikan penglibatan suaminya dalam kes tersebut dengan alasan pada malam kejadian, mereka sekeluarga berada di Apartmen Suria, Bukit Merah, Taiping, Perak.

Haliza yang juga seorang guru memberitahu, mereka pergi ke Taiping pada 30 April tahun lalu dengan menaiki kenderaan Toyota Tiger Truck yang dibeli suaminya di Thailand dan menggunakan plat pendaftaran Yala.

Rombongan mereka turut disertai oleh lapan rakannya bersama keluarga masing-masing dan pulang ke Kelantan 2 Mei tahun lalu, ujarnya.

Haliza memberitahu, dia dan suami hanya mengetahui kes berkenaan selepas dimaklumkan seorang tukang masak Istana Mahkota, Siti Hawa Taib yang turut bercuti di Bukit Merah.

Dalam pada itu, Wan Abdul Razak memberitahu mahkamah, sepina kepada Chef Dee gagal diserahkan.

Perbicaraan bersambung pada 20, 21 dan 22 Februari ini.

Utusan
13 Jan 2010

ARTIKEL YANG BERKAITAN Pengawal Istana Kelantan Ditembak

0 comments:

Post a Comment