January 12, 2011

Guru agama ditahan cabul gadis terkena sihir di bilik mandi

NIBONG TEBAL - Seorang guru agama ditahan polis selepas didakwa mengubati penyakit seorang gadis berusia 14 tahun dengan kaedah rawatan pelik iaitu mandi bersamanya pada Ahad lalu.

Mangsa dan ibunya dikatakan datang ke rumah suspek di sini kira-kira pukul 8.30 pagi kerana dikatakan terkena sihir dan kerap bergaduh dengan adik-beradiknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, sebelum rawatan dijalankan di dalam sebuah bilik tidur, suspek telah meminta ibu mangsa supaya menunggu di luar bilik.

Kosmo
12 Jan 2011


Ramai mangsa

Lelaki bergelar ustaz yang didakwa mencabul kehormatan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ketika mangsa menjalani rawatan pemulihan ilmu sihir, Ahad lalu, mungkin sudah melakukan perbuatan sama kepada lebih ramai mangsa, namun enggan membuat aduan polis.

Ia berdasarkan kepada rekod dan siasatan polis yang mendapati suspek berusia 43 tahun itu sebelum ini turut didakwa melakukan perkara sama ketika mengubati pesakitnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, sehingga kini, belum ada laporan dibuat mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa tindakan rakus lelaki berkenaan.

“Kami percaya suspek mungkin melakukan perkara sama seperti dilakukannya terhadap mangsa terbaru yang kini masih trauma dengan kejadian itu.

“Polis masih berusaha mengumpul maklumat lanjut mengenai kes itu dan memohon kerjasama individu yang pernah menjadi mangsa suspek untuk membuat aduan polis segera,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahad lalu, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mendakwa dicabul seorang lelaki bergelar ustaz ketika mendapatkan rawatan penyakit buatan orang yang dihidapinya di rumah lelaki berkenaan di Sungai Bakap.

Suspek ditahan pada hari sama aduan dibuat selepas dipercayai mencabul mangsa ketika melakukan proses rawatan dalam bilik air rumahnya.

Beliau berkata, lelaki yang mempunyai anak lima itu dipercayai baru sebulan melakukan khidmat penyembuhan dalam bilik air berbanding sebelum ini.

Menurutnya, suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan serta sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

myMetro
13 Jan 2011


Kes cabul pelajar dibicara semula


GEORGETOWN - Seorang ustaz diperintah dibicarakan semula di Mahkamah Jawi, Seberang Perai Selatan atas tuduhan mencabul kehormatan pelajar tingkatan tiga dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani Abdul Rahim memerintahkan Ismail Shafiee, 45, dibicara semula di hadapan majistret lain.

Zamani berkata keputusan majistret yang dibuat tanpa mempertimbangkan hujahan pembelaan di akhir pendakwaan adalah satu tindakan tidak adil dan melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan artikel berkenaan, setiap tertuduh mempunyai hak untuk dibicarakan secara adil di mana seseorang majistret perlu mendengar atau mempertimbangkan hujahan pihak pembelaan di akhir pendakwaan dan pembelaan.

“Dalam semakan kehakiman ini, saya memutuskan bahawa kes Ismail dibicarakan semula di hadapan majistret lain di mahkamah sama,” katanya.

Pada 28 Disember lalu, Ismail diperintah membela diri atas dakwaan mencabul kehormatan seorang pelajar berusia 15 tahun di sebuah rumah di Sungai Bakap, kira-kira jam 9 pagi, 9 Januari, 2011.

Mohamed Aznin membuat keputusan itu tanpa mengambil kira hujahan yang dikemukakan pihak pembelaan di akhir penghujahan kes.

Difahamkan, pihak pembelaan menghantar hujahan lewat dari tarikh yang ditetapkan oleh majistret berkenaan. Ia diserahkan dan diterima dua minggu sebelum majistret membuat keputusan.

Ketua Unit Pendakwaan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Suhaimi Ibrahim mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada lima anak itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit manakala Ismail diwakili Jagdeep Singh Deo.

Sinar Harian 14 Mac 2013

0 comments:

Post a Comment