January 19, 2011

Bantulah adik saya - Maryuni

KLANG – Dalam keadaan sakit menahan bisa melecur akibat terkena renjatan kabel elektrik dua bulan lalu, Muhamad Hairuman Miskon, 23, hanya mampu mengalir air mata apabila doktor menasihatkan agar kedua-dua pergelangan tangannya dipotong atas faktor perubatan.

Menurut kakak Muhamad Hairuman, Maryuni Miskon, 32, doktor yang merawat adiknya memaklumkan saraf pada pergelangan tangan adiknya telah mati dan kemungkinan boleh mendatangkan mudarat pada anggota badan lain.

Justeru, doktor meminta persetujuan untuk memotong kedua-dua pergelangan tangan Muhamad Hairuman.

“Badannya melecur 35 peratus akibat kejadian tersebut dan setiap hari dia mengerang kesakitan.

“Apabila doktor meminta persetujuan untuk potong pergelangan tangannya, adik saya menangis tetapi apa daya saya kalau itu yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Maryuni, mereka masih mengharapkan pandangan beberapa pihak lagi sebelum persetujuan diberi.

“Saya buntu kerana kami bukannya arif dalam bidang perubatan tetapi saya mengharapkan pandangan pihak lain sebelum membuat keputusan.

Kosmo
19 Jan 2011


Serba salah tentu nasib adik

SAKIT...sebahagian badan Muhammad Hairuman melecur teruk terkena renjatan letrik voltan tinggi.

KLANG: “Hari ini (semalam) saya terpaksa buat keputusan sama ada nak benarkan doktor potong kedua-dua tangan adik saya atau tunggu alternatif daripada pakar lain untuk selamatkan organ adik saya,” kata, Maryuni Miskon, 32, kakak kepada Muhd Hairuman Miskon, 22, ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, semalam.

Maryuni berkata, sukar untuknya membuat keputusan dan doktor tiada pilihan lain kecuali memotong kedua-dua tangan adiknya kerana selnya sudah mati, manakala kedua-dua kakinya kemungkinan akan dipotong kerana sudah mula mereput dan kehitaman.

Mengimbas kejadian dua bulan lalu di Masjid Baroh, Tanjung Karang, dekat sini, Maryuni berkata, adiknya yang juga anak kesembilan daripada 10 beradik terkena renjatan elektrik ketika mengambil upah membersihkan ladang kelapa sawit bersama seorang rakannya.

Ketika kejadian sekitar jam 9 pagi, 26 November lalu katanya, adiknya cuba mengait pelepah kelapa sawit.

Katanya, malam sebelum kejadian, hujan lebat mengakibatkan pelepah daun kelapa sawit basah.

“Saya difahamkan Muhamad Hairuman yang mengait pelepah kelapa sawit terkena kabel elektrik bervoltan tinggi menggunakan galah besi.

“Tiba-tiba satu dentuman kuat menyebabkan adik saya terpelanting kira-kira lima meter dan badannya mengeluarkan asap,” katanya.

Rakannya, Mohd Zikri Dri, 24, yang berada 100 meter tidak cedera cuba memberikan bantuan pernafasan tetapi gagal apabila Muhd Hairuman masih tidak sedarkan diri lalu memanggil ahli keluarga serta jiran sebelum melaporkan kepada polis.

Akibat kejadian itu, Muhamad Hairuman yang juga bekas pelajar Kolej Intra, Kuala Selangor dimasukkan ke Hospital Tanjung Karang (HTK) apabila hampir 35 peratus badannya terbakar dan melecur sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

Bagaimanapun kelmarin dia dipindahkan ke HTAR, di sini, bagi urusan memotong tangan.

Maryuni berkata, hatinya sebak melihat penderitaan ditanggung adiknya itu dan kerap mengadu kulitnya seperti mahu tercabut kerana panas dan apabila berpeluh dia mengerang kesakitan.

“Sejak hari pertama adik terkena renjatan elektrik, tiada satu pihak pun tampil memberi sumbangan.

“Malah, saya terpaksa mengeluarkan simpanan kira-kira RM15,000 untuk perbelanjaannya,” katanya.

Maryuni berkata, Muhd Hairuman anak yatim piatu dan bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta.

Katanya, dia juga sudah membuat tinjauan di ladang kelapa sawit itu dan mendapati kawasan itu memang berbahaya berikutan tidak diselenggara manakala pagarnya sudah rosak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Rakan Muda, Majlis Belia Malaysia (MBM), Abdul Rizam Mohd Akhir yang melawat mangsa berkata, sehingga kini pihaknya masih mencari agensi yang sudi tampil memberikan sumbangan kepada Muhd Hairuman kerana dia memerlukan perbelanjaan besar untuk meneruskan hidup sebagai orang kurang upaya (OKU).

Orang ramai ingin menghulur bantuan boleh menghubungi Ketua Aduan Belia, Majlis Belia Malaysia HM Rizan di talian 012-2853630.

myMetro
19 Jan 2011

Nasib mangsa renjatan kabel elektrik

MUHAMAD HAIRUMAN yang diperhatikan kakaknya, Maryuni termenung mengenangkan nasibnya selepas kedua-dua tangannya dipotong di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang semalam.

SHAH ALAM - Mangsa renjatan kabel elektrik, Muhamad Hairuman Miskon, 22, menitiskan air mata selepas mendapati kedua-dua tangan paras siku dan ibu jari kaki kirinya sudah tiada lagi setelah dipotong melalui pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang malam kelmarin.

Kakaknya, Maryuni Miskon, 32, berkata, setelah selesai pembedahan dijalankan pada pukul 11 malam itu, adiknya dilihat menangis mengenang nasibnya.

"Apabila saya melihat dia menangis, saya cepat-cepat pujuk dan memberi sokongan moral kerana saya faham dugaan yang dihadapinya terlalu berat," kata Maryuni ketika ditemui di sini semalam.

Maryuni memberitahu, adiknya kini perlu banyak berehat kerana masih penat setelah menjalani pembedahan hampir tujuh jam bermula pukul 4.45 petang kelmarin. Beberapa jam sebelum dimasukkan ke dewan bedah HTAR, dia juga terpaksa berpuasa.

Muhamad Hairuman hanya boleh menganggukkan kepala tanpa mengeluarkan sepatah pun perkataan apabila soalan diajukan kepadanya. Keadaannya terlalu lemah selepas menjalani pembedahan.

Dia yang merupakan anak yatim piatu terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa sawit di Jalan Masjid Baru, Tanjong Karang, pukul 9 pagi pada 26 November tahun lalu.

Akibat kejadian itu, bekas pelajar Kolej Intra, Kuala Selangor itu dimasukkan ke Hospital Tanjong Karang apabila hampir 35 peratus badannya terbakar sebelum dipindahkan ke HTAR pada Isnin lalu.

Kosmo
21 Jan 2011


Tangan, ibu jari kaki kiri Hairuman terpaksa dipotong

KLANG 20 Jan. - Selepas dua bulan menderita sakit akibat melecur hampir keseluruhan badan terkena renjatan elektrik, Muhammad Hairuman Miskon akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa kedua-dua tangannya perlu dipotong selepas anggota itu tidak boleh diselamatkan lagi.

Tidak cukup dengan itu, doktor juga akan memotong ibu jari kaki kirinya bagi mengelak kesan jangkitan yang boleh memudaratkan anggota badan lain.

Keputusan membenarkan doktor memotong kedua-dua tangan dan ibu jari kaki kiri pemuda berusia 22 tahun itu dibuat secara bersama oleh ahli keluarganya yang setia memberi semangat kepada anak yatim piatu itu.

Muhammad Hairuman dibawa masuk ke dewan bedah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) tepat pukul 4.45 petang semalam dan hari ini keadaannya agak stabil selepas menjalani pembedahan dan telah sedarkan diri.

Menurut kakaknya, Maryuni Miskon, walaupun dia dan ahli keluarganya berasa berat hati untuk membenarkan pihak hospital memotong tangan adiknya, mereka terpaksa akur kerana ia adalah keputusan terbaik untuk pemuda itu.

"Semasa doktor memaklumkan kepada saya yang tangan adik terpaksa dipotong, fikiran saya buntu terutama ketika memikirkan masa depannya.

"Namun, dengan sokongan orang ramai saya yakin adik saya mampu berdikari dan meneruskan kehidupannya seperti biasa," katanya ketika ditemui di HTAR di sini hari ini.

Muhammad Hairuman melecur teruk di seluruh badannya selepas terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika mengait kelapa sawit bersama rakannya di sebuah kebun di Sungai Tengi Kanan Darat, Kuala Selangor dekat sini.

Dalam kejadian pada 26 November lalu, mangsa tercampak kira-kira lima meter dengan seluruh badannya berasap setelah galah aluminium yang digunakannya 'terkait' wayar elektrik voltan tinggi.

Sementara itu, Kelab Putera 1Malaysia berjanji menyumbang sepasang tangan palsu untuk Muhammad Hairuman bagi meringankan beban yang ditanggung pemuda itu.

Selepas melawat Muhammad Hairuman di HTAR, Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya juga bersetuju untuk menjadikan Muhammad Hairuman sebagai adik angkat kepada Kelab Putera 1Malaysia bagi memudahkan pemantauan dilakukan.

"Ini adalah kali pertama Kelab Putera 1Malaysia mengambil adik angkat dan untuk itu kita akan memantau segala rawatan susulan yang diperlukannya.

"Kami akan terus memberi semangat kepada Muhammad Hairuman supaya dia dapat meneruskan kehidupannya seperti rakan-rakannya yang lain," jelasnya.

Dalam lawatan itu, Abdul Azeez turut menyumbang bantuan RM1,500 dan hamper makanan kepada keluarga Muhammad Hairuman.

Abdul Azeez menambah, pihaknya juga akan membantu menyediakan latihan vokasional kepada Muhammad Hairuman supaya pemuda itu mampu berdikari selepas sembuh kelak.

"Sebagai adik angkat kepada Kelab Putera 1Malaysia, kami juga akan membantu Muhammad Hairuman memulihkan semangatnya," katanya.

Utusan
21 Jan 2011


"Tiba-tiba rasa badan terbakar"

MUHAMAD HAIRUMAN menerima kunjungan bekas rakan kolejnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang semalam.

KLANG - "Tiba-tiba saya rasa seluruh badan terbakar sebelum terpelanting jauh dalam kebun kelapa sawit."

Itu detik-detik yang masih diingati oleh mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhamad Hairuman Miskon, 22, yang buat pertama kali ditemu ramah selepas insiden ngeri yang berlaku kepadanya pada 26 November tahun lalu.

Menurut Muhamad Hairuman, dia sudah mengait lima hingga enam pokok kelapa sawit dan ketika mengait pokok yang seterusnya, dia tidak perasan kabel elektrik di kawasan berkenaan.

Lagi pun, katanya, ini bukan kali pertama dia pergi ke kebun kelapa sawit rakannya yang terletak di Kampung Masjid Baruh, Tanjung Karang itu.

Sebelum ini dia sudah empat kali mengait sawit di kebun itu.

Dia juga mengakui sudah biasa melakukan kerja-kerja mengait dan mengutip buah kelapa sawit bagi menambah sumber pendapatan bersama abangnya, Muhamad Firdaus, 24.

"Selama ini, itulah kerja-kerja kami bagi mencari wang kepada keluarga terutama bagi menyara seorang kakak kami yang mempunyai masalah kesihatan," ceritanya.

Menurutnya, selepas tamat kolej dua tahun lalu, dia selalu mengambil upah melakukan kerja-kerja pendawaian dan pernah terkena kejutan elektrik tetapi kejadian di kebun kelapa sawit tahun lalu itu merupakan yang terburuk.

"Sampai sekarang saya masih rasa panas dan kerap minum air sebab selalu rasa dahaga,'' katanya lagi.

Muhamad Hairuman sudah mula menunjukkan perubahan positif apabila sudah boleh bercakap dan melemparkan senyuman kepada setiap pelawat termasuk bekas rakan-rakannya yang menziarahinya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam.

Kosmo
24 Jan 2011


'Hilang sakit bertemu Amy'

SHAH ALAM: “Saya begitu kagum dengan Amy (Search). Tak sangka permintaan saya bertemu dengan Amy dipenuhi. Malah, segala penderitaan dan kesakitan yang saya alami hilang sebaik lihat dia (Amy),” kata Muhammad Hairuman Miskon, 22, ketika ditemui di Wad 8, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), semalam.

Lagenda rock tersohor negara itu berbesar hati melawat mangsa yang melecur teruk hampir 35 peratus tubuh akibat terkena renjatan kabel elektrik bervoltan tinggi selain menghulurkan sumbangan peribadi kepada mangsa.

Muhammad Hairuman turut berterima kasih di atas sumbangan yang diterima daripada semua pihak dan dia tidak menyangka masih ramai yang sayangkannya. “Saya mahu menyanyi lagu ‘Isabella’ dan ‘Fantasia Bulan Madu’ bersama Amy. Beliau sumber inspirasi saya.

“Kehadiran Amy hari ini (semalam) sangat saya hargai,” katanya menambah dia kini memikirkan masa depannya dan tidak mahu lagi memikirkan perkara negatif walaupun terpaksa menerima hakikat dia ‘kini’ orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, Muhammad Hairuman ditawarkan mengikuti pendidikan dengan pembiayaan penuh di Kolej Poly-Tech MARA pada sesi kemasukan Jun tahun depan.

Beliau yang juga EXCO Pemuda UMNO berkata, pihaknya sedia membantu mangsa meneruskan pengajian daripada peringkat sijil ke diploma dalam bidang elektrikal bagi menjamin masa depannya.

“Penderitaan ditanggungnya memang hebat. Justeru, kami berbesar hati menawarkan tempat kepadanya bagi mengubah masa depan dan membina kehidupan baru.

“Kami juga beri kebebasan kepadanya memilih bidang diminati. Isya-Allah jika dia sembuh sepenuhnya, Jun tahun depan dia boleh memulakan pembelajaran dan kami akan sediakan surat tawaran,” katanya yang turut memberi sumbangan peribadi kepada Muhammad Hairuman.

Muhammad Hairuman, pelajar sebuah kolej swasta di Kuala Selangor itu terkena renjatan elektrik ketika mengambil upah mengait kelapa sawit di ladang sawit di Jalan Masjid Baru, Tanjung Karang, dekat sini, pada 26 November lalu.

myMetro
25 Jan 2011


Hairuman bakal hilang kaki kiri pula

HAIRUMAN kelihatan sugul selepas mengetahui kaki kirinya pula akan dipotong di HTAR, Klang semalam.

KLANG - Mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhamad Hairuman Miskon yang baru kehilangan kedua-dua belah tangannya minggu lalu, bakal berdepan satu lagi dugaan apabila doktor mengesahkan salah satu daripada kakinya akan dipotong.

Ketua Aduan Majlis Belia Malaysia, HM Rizan ketika dihubungi berkata, pihaknya mendapat berita sedih itu petang semalam.

"Saya sendiri terkejut apabila doktor memaklumkan Muhamad Hairuman akan dimasukkan ke dewan bedah petang esok (hari ini) bagi membolehkan kaki kirinya dipotong.

"Kami rasa sangat sedih dan terkejut tetapi doktor memberitahu perkara itu terpaksa dilakukan atas faktor perubatan," katanya ketika dihubungi di sini petang semalam.

Kosmo
26 Jan 2011


Kaki kiri Hairuman dipotong


KUALA LUMPUR - Kaki kiri mangsa renjatan kabel elektrik bervoltan tinggi, Muhamad Hairuman Miskon telah dipotong dalam satu pembedahan lebih tujuh jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam.

Dia yang memasuki dewan bedah HKL tepat pukul 9.30 pagi itu terpaksa menjalani pemotongan kaki tersebut atas faktor perubatan.

Menurut kakaknya, Maryuni Miskon (gambar), 32, pembedahan yang dijalankan memakan masa lebih daripada tujuh jam.

"Setelah kaki Hairuman dipotong, pembedahan plastik pula dilakukan bagi menutup bahagian luka di kaki kanan dengan kulit yang masih elok.

"Faktor itu menyebabkan pembedahan yang dilakukan mengambil masa yang lama dan sepanjang pembedahan kami sekeluarga sentiasa berdebar-debar," katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo
30 Jan 2011


Hairuman mahu belajar agama

HAIRUMAN yang kini semakin sihat ketika ditemui di HKL kelmarin berazam mahu mendalami limu-ilmu agama selepas keluar hospital.

KUALA LUMPUR - Mangsa renjatan kabel elektrik bervoltan tinggi, Muhammad Hairuman Miskon melahirkan hasrat untuk mendalami ilmu keagamaan di sebuah sekolah tahfiz apabila keluar daripada hospital kelak.

Kata Hairuman, 22, dia tertarik untuk memasuki sekolah tahfiz kerana mahu meningkatkan keyakinan diri setelah menyedari terpaksa berhadapan dengan masyarakat dalam keadaan dirinya yang kini tidak sempurna.

"Apabila saya keluar hospital, saya akan menerima pelbagai ujian dan pandangan masyarakat terhadap saya juga mungkin sudah berbeza berbanding dahulu.

"Mudah-mudahan melalui ilmu agama, sedikit sebanyak kehidupan saya akan menjadi lebih tenang," katanya ketika ditemui di Unit Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini kelmarin.

Namun, Hairuman belum memutuskan sekolah tahfiz mana yang akan dipilihnya sebaik sahaja keluar dari HKL.

Kosmo
26 Feb 2011


Mangsa renjatan elektrik terima pampasan Perkeso

KUALA LUMPUR — Mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhammad Hairuman Miskon hari ini menerima pampasan berupa Faedah Hilang Upaya Sementara dan Perubatan bernilai RM15,650 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Pengarah Pejabat Perkeso Negeri Selangor, Zainal Ismail berkata jumlah pampasan itu meliputi bayaran ganti belanja untuk rawatan dan ubatan sepanjang beliau menerima rawatan di tiga hospital kerajaan sebelum ini.

"Hairuman juga layak mendapat bantuan pemulihan daripada Perkeso dan peralatan yang berkaitan akan dibekalkan sejurus selepas pertubuhan ini menerima maklum balas daripada doktor pakar rehabilitasi yang merawatnya mengenai spesifikasi peralatan yang sesuai untuknya.

"Perkeso juga akan menanggung segala kos perubatan dan pemulihan terkini beliau di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek pampasan berkenaan kepada Muhammad Hairuman di Unit Rehabilitasi HKL, di sini. — Bernama

13 Apr 2011


‘Saya bertuah’


SLIM RIVER: Biarpun dugaan dihadapinya maha hebat apabila kedua-dua tangan dan kaki kiri dipotong akibat terkena renjatan elektrik November tahun lalu, Muhamad Hairuman Miskon ternyata anak muda berjiwa kental apabila tetap berkeyakinan tinggi untuk meneruskan kehidupannya.

“Saya tidak menganggap dunia sudah berakhir, sebaliknya berasa diri bertuah kerana masih ‘dipinjamkan’ Allah sebelah kaki lagi untuk meneruskan kehidupan.

“Saya juga tidak rasa bernasib malang kerana sedar ramai lagi insan di dunia ini nasib mereka lebih malang,” katanya.

Mengimbas tragedi yang menimpanya, anak muda berusia 23 tahun itu terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika mengambil upah mengait kelapa sawit di Jalan Masjid Baru, Tanjung Karang, Selangor untuk mencari wang bagi membiayai persekolahan adiknya.

Akibat tragedi yang berlaku pada 20 November tahun lalu itu, doktor mengesahkan kedua-dua tangan serta kaki kirinya terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman ke anggota badan lain dan anak yatim piatu itu juga terlantar hampir tiga bulan di Hospital Kuala Lumpur.

TABAH...Muhamad Hairuman kini menggunakan kerusi roda.

Muhamad Hairuman, anak kesembilan daripada 10 beradik kini tinggal bersama kakaknya, Maryuni, 32, di Klant Halt 2 di sini dan seperti umat Islam lain, dia memanfaatkan sepenuhnya kehadiran Ramadan untuk menambah amal ibadah serta mendekatkan diri dengan Allah.

“Walaupun sukar, Alhamdulillah saya mampu bersolat Tarawih dan terima kasih saya kepada jemaah masjid di sini yang menyediakan ruang khas.

“Selain itu, saya banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Quran dan yang pasti, tidak meninggalkan rawatan fisioterapi pada setiap hari sambil dibantu kakak,” katanya.

Muhamad Hairuman berkata, ketika ini pergerakannya banyak bergantung kepada kerusi roda, namun dia tetap memasang azam dan keyakinan tinggi untuk berjalan seperti biasa pada masa depan.

“Sekarang mungkin saya berjalan terhincut-hincut dengan sebelah kaki, tapi doktor kata, saya boleh pasang kaki palsu pada masa depan dan jika itu dilakukan, saya yakin saya boleh berjalan seperti biasa semula,” katanya.

Malah, bekas pelajar sebuah kolej swasta di Kuala Selangor itu berkata, dia kini giat melakukan rawatan fisioterapi di rumah bagi mengimbangkan tubuhnya berdiri dengan kaki kanan supaya dapat menyesuaikan diri dengan kaki palsu yang bakal digunakan kelak.

Muhamad Hairuman berkata, dia juga bersyukur kerana dikurniakan kakak dan abang ipar yang bekerja keras untuk memastikan dirinya mendapat rawatan dan pulih seperti sedia kala.

“Selepas ibu dan ayah meninggal, kakak dan abang banyak membantu saya untuk menguruskan diri. Saya tahu mereka ada tanggungjawab untuk keluarga, tapi saya tidak pernah rasa terpinggir apabila duduk serumah dengan mereka.

“Saya gembira apabila kakak tidak pernah lupa sediakan saya susu kacang soya ketika sahur sebab dia tahu minuman itu baik untuk proses pemulihan saya. Walaupun saya tak dapat berbakti kepada kakak dan abang, saya sentiasa doakan hidup mereka diberkati,” katanya.

Sementara itu, Maryuni berkata, dia dan suami, Ahmad Faidz Hafidz, 38, kagum dengan ketabahan dan kegigihan adiknya dan semangat itu yang membuatkan dia semakin tabah untuk menjaga Muhamad Hairuman.

“Untuk kulitnya yang terbakar pulih sepenuhnya mengambil masa agak lama, tapi saya lihat dia bersabar dengan keadaannya dan itu yang buat saya terharu serta bersemangat,” katanya. Menurutnya, keadaan kulit Muhamad Hairuman belum pulih dan sentiasa berair kerana sistem badannya agak lambat untuk memberi tindak balas positif.

“Kulit yang diambil di paha kiri untuk ditampal di bahagian yang tiada kulit belum sembuh sepenuhnya. Kadang-kadang saya lihat dia menahan gatal di bahagian badan yang ditampal, tapi dia tak pernah merungut apatah lagi meminta yang bukan-bukan,” katanya.

Pada masa sama, Maryuni mengucapkan terima kasih dia atas keprihatinan pelbagai pihak yang sentiasa memberi bantuan serta sokongan kepada Muhamad Hairuman.

“Alhamdulillah, bantuan yang kami terima tak pernah putus, malah kami baru saja terima sumbangan baju dan duit raya daripada seorang insan prihatin dari Johor,” katanya.

myMetro
11 Ogos 2011


Kehidupan Hairuman semakin ceria

HAIRUMAN kini mampu menjalani kehidupan normal selepas memiliki kaki dan tangan palsu di rumah keluarga angkatnya di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Seorang pemuda, Muhammad Hairuman Miskon yang kudung kedua-dua belah tangan dan kaki kiri akibat terkena renjatan kabel elektrik bervoltan tinggi pada 26 November 2010 kini sudah mampu menjalani kehidupan seperti insan normal lain.

Hairuman, 23, sudah boleh berjalan dengan kaki palsu yang dipasang pada Disember tahun lalu tanpa perlu menggunakan kerusi roda sepanjang masa.

Malahan dia yang sudah memiliki sepasang tangan palsu pada Februari lalu juga boleh makan dan berlatih menguruskan dirinya tanpa bantuan orang lain.

Bekas pelajar Kolej Intra, Kuala Selangor dalam jurusan sijil pendawaian itu yang kini kelihatan berisi berkata, dia sudah memohon untuk belajar dalam bidang komputer di Pusat Latihan, Perindustrian dan Pemulihan di Bangi tetapi belum menerima sebarang jawapan.

"Saya memang berniat untuk meneruskan pengajian tetapi bukan dalam bidang elektrik seperti sebelum ini kerana sedar akan kesukaran yang terpaksa dilalui dengan keadaan saya sekarang.

"Saya mahu mengubah nasib diri dan berdikari. Saya malu untuk meminta-minta bantuan daripada orang ramai," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Buat masa ini, anak kesembilan daripada 10 beradik yang meminati kelab bola sepak Arsenal itu menetap di rumah keluarga angkatnya di Kayangan Heights, Seksyen U9 di sini.

Hairuman yang kematian ibubapa sebelum ini tinggal bersama kakaknya di Slim River, Perak tetapi kini memilih untuk tinggal bersama keluarga angkatnya itu.

Dia yang bekerja sambilan di sebuah pusat panggilan swasta di Petaling Jaya dekat sini dengan pendapatan RM4 sejam turut dihantar ke tempat kerja oleh ibu angkatnya.

Ketika ditanya mengenai puasa tanpa ahli keluarga, Hairuman menambah, perasaan sayu memang terasa tetapi ia dapat diubati apabila dapat berbuka bersama jemaah Masjid Istiqamah, Kayangan Heights setiap hari.

Bagaimanapun, dia akan berkumpul dengan adik-beradiknya di Tanjong Karang pada hari raya nanti.

Kosmo 12 Ogos 2012


Mangsa renjatan elektrik sambung pelajaran di PLPP

SHAH ALAM: Mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhammad Hairuman Miskon bakal menyambung pelajarannya ke peringkat sijil kemahiran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di Bangi pada Januari depan.

Ketua 1Belia 1Kemahiran Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohammad Rizan Hassan, berkata impian pemuda itu dapat direalisasikan selepas perbincangan pihaknya dengan PLPP. "Beliau (Muhammad

Hairuman) menyatakan hasrat untuk sambung belajar dalam bidang kemahiran. PLPP adalah tempat terbaik untuknya dan selepas beberapa perbincangan, PLPP bersetuju menerimanya sebagai pelatih.

"MBM berharap ini akan menjadi platform kepada Muhammad Hairuman untuk menjadi inspirasi kepada semua yang senasib dengannya," katanya di sini.

Beliau berkata Muhammad Hairuman memilih bidang Sains Komputer sebagai pilihan utama di PLPP di Sungai Merab, Bangi.

PLPP memberi latihan kemahiran dalam pelbagai kursus dan latihan vokasional serta program pemulihan sesuai dengan ketidakupayaan orang kurang upaya (OKU).

Muhammad Hairuman, 23, terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi semasa mengait buah kelapa sawit di kebun di Sungai Tengi Kanan Darat, Tanjong Karang dekat sini pada 26 November 2010.

Akibat kejadian itu, kedua-dua tangan dan kaki kirinya terpaksa dipotong apabila doktor mendapati anggota berkenaan tidak boleh diselamatkan.

Muhammad Hairuman yang kini menetap dengan keluarga angkatnya di Shah Alam, gembira kerana cita-cita untuk menyambung pelajarannya bakal menjadi realiti.

"Saya gembira dan bersyukur," katanya yang kini bekerja sebagai operator telefon untuk menyara hidupnya.

Beliau juga berhasrat untuk bergiat dalam sukan renang menerusi Majlis Paralimpik Malaysia. - BERNAMA

16 Okt 2012


Hairuman tekad ubah nasib

HAIRUMAN sedang meneliti jadual orientasi yang akan dilaluinya selepas mendaftar di PLPP di Sungai Merab, Bangi semalam.

KAJANG – Mangsa renjatan kabel elektrik, Muhamad Hairuman Miskon yang mengalami kecederaan parah ketika mengait buah kelapa sawit di Kuala Selangor kira-kira dua tahun lalu kini berhasrat untuk merubah nasib dirinya apabila melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Pemulihan dan Perindustrian (PLPP) Sungai Merab di sini semalam.

Dia yang sebelum ini terlantar di katil hospital kira-kira tujuh bulan bagi merawat bahagian badannya yang melecur teruk selain kedua-dua belah tangan serta kaki kanannya terpaksa dipotong akibat kejadian itu, mendaftar bersama 130 orang kelainan upaya (OKU) fizikal yang lain dalam bidang komputer di pusat latihan itu.

“Saya berhasrat untuk memperbaiki kehidupan pada masa depan dengan menuntut ilmu di sini.

“PLPP telah memberikan saya harapan untuk berdikari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu PLPP di sini semalam.

Hairuman, 24, pemuda yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor itu pernah menggemparkan negara apabila dia mengalami kecederaan parah selepas terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa sawit di sebuah kebun di Kuala Selangor pada 26 November 2010.

Kosmo 15 Jan 2013


Wang sumbangan RM140,000 lesap

SHAH ALAM – Mangsa renjatan kabel elektrik, Muhamad Hairuman Miskon, 24, kesal apabila wang sumbangan orang ramai berjumlah RM140,000 hilang daripada akaun bank peribadinya.

Dia mendakwa, wang tersebut dilesapkan oleh salah seorang ahli keluarganya sendiri melalui berpuluh-puluh pengeluaran secara tunai dalam tempoh setahun.

Menurutnya, perkara itu disedarinya apabila dia membuat semakan ke atas akaun berkenaan awal Jun tahun lalu dan mendapati bakinya hanya tinggal RM48.

“Sepanjang saya terlantar sakit akibat kejadian renjatan itu, ahli keluarga berkenaan menguruskan akaun bank tersebut serta beberapa lagi sumbangan yang diberikan pelbagai pihak.

“Saya kini membekukan akaun bank berkenaan awal Julai tahun lepas dan cuba untuk mendapatkan ahli keluarga berkenaan untuk penjelasan, tetapi dia gagal dihubungi dan ditemui hingga kini malah nombor telefonnya turut ditukar,” dakwanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Hairuman yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor sebelum ini menggemparkan negara apabila mengalami kecederaan parah selepas terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa sawit di sebuah kebun di Kuala Selangor pada 26 November 2010.

Mengulas lanjut, menurutnya, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Karang, Selangor pada bulan sama dia membekukan akaun bank miliknya.

Katanya, pihak polis memaklumkan bahawa mereka tidak dapat berbuat apa-apa walaupun dia memberikan penyata bank penuh sebagai bahan bukti.

“Menurut pegawai yang menerima laporan itu, siasatan tidak dapat diteruskan berdasarkan penyata tersebut semata-mata kerana mereka memerlukan bukti melalui rakaman video mesin pengeluaran automatik antara bulan April hingga Ogos 2011.

“Malangnya video berkenaan hanya mempunyai jangka hayat selama enam bulan sebelum dilupuskan. Dalam tempoh tersebut, pengeluaran wang dalam jumlah besar telah dilakukan,” ujarnya.

Menurut Hairuman, dia telah memohon bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial untuk mendapatkan pekerjaan dan telah dipanggil untuk temu duga di Kuala Lumpur awal Julai tahun lalu.

“Sepanjang tempoh tersebut, saya hanya bergantung kepada wang simpanan dalam akaun lain hinggalah diambil bekerja sebagai operator panggilan di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya, Selangor pada Ogos,” ujarnya.

Sejak temu duga itu, dia memberitahu, ibu angkatnya telah menjemputnya untuk tinggal bersamanya di Kayangan Heights di sini hingga sekarang.

Hairuman kini melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Pemulihan dan Perindustrian Sungai Merab, Kajang dalam bidang pengkomputeran sejak Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd. Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dikemukakan oleh Hairuman.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya meminta Hairuman membuat laporan baharu berhubung kes tersebut.

“Mungkin laporan sebelum ini tidak lengkap dan mengemukakan penyata pengeluaran keluar masuk wang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 12 Feb 2013

8 comments:

  1. Ya Allah, Kuatkanlah semangat beliau berdua... InsyaAllah, pasti akan berjaya suatu hari nanti. Kullun amr waanta/i bikhair.

    ReplyDelete
  2. semoga beliau tabah dan percaya bahawa Allah sayangkan nya lebih dr insan lain..sebab itulah beliau terpilih menerima dugaan ini..Ya Allah kuatkan jiwanya..

    ReplyDelete
  3. kuatnya smgt beliau..smga Allah beri kekuatan pdnya tuk meneruskan hidupnya..

    ReplyDelete
  4. Assalammualaikum wbt. Saya Maryuni Miskon, kakak kpd Hairuman amat-amat mengharapkan bantuan yang berterusan untuk menampung hidup dan menampung kos perbelanjaan perubatan hairuman. Bantuan telah terhenti sedangkan ubatan masih lagi diperlukan untuk menyembuhkan kesakitannya. Apatah lagi untuk merancang perjalanan kehidupan hairuman yang masih jauh. Hairuman OKU seumur hidup. Sekarang ini dia menjadi pesakit luar di hospital. Keadaan kulit yang melecur blm lagi sembuh, masih pedih, berair dan gatal. Manakala 3 kerat anggotanya telah dipotong, yang tinggal hanyalah 1 kerat iaitu kaki kanan, tetapi masih dalam pemulihan, tidak boleh digunakan untuk berdiri apatah lagi berjalan, kerana kelecuran yang teruk menyebabkan banyak saraf kaki yang rosak. Ini menyukarkan dia untuk menguruskan dirinya sendiri apatah lagi membuat aktiviti, terpaksa mengharapkan bantuan untuk bergerak. Harapan saya dapatlah kalian terus menyebarkan berita tentang hairuman kerana ramai juga yang tidak tahu tentang kisahnya bila berselisih dengan hairuman di tempat awam. Ada juga org awam yang prejudis dan seakan mengejek2 tanpa tahu apa sebenarnya dia jadi begitu. Harap ada insan-insan yang mulia sudi menghulurkan bantuan untuk menampung kos perubatannya. Tak tertanggung rasanya dengan derita dan kesedihan yang melanda. T.kasih atas sumbangan kalian semua. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas kita semua. Amin….

    Untuk sebarang sumbangan bolehlah disalurkan ke :
    MARYUNI BT MISKON
    MAYBANK A/C : 162030632448
    CIMB A/C : 12570000203529
    atau
    MUHAMAD HAIRUMAN B. MISKON
    CIMB A/C : 12570005386520

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam saudari Maryuni. Saya doakan semoga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada saudari dan saudara Hairuman.

    Berlinang airmata kami setiap kali membaca kisah saudara Hairuman. Kisah saudara Hairuman membuatkan kami insaf jika kami mengeluh apabila menghadapi kesulitan.

    Di laman blog ini, saya telah menyiapkan satu "banner" kisah saudara Hairuman yang telah saya letakkan di ruang kanan blog ini dan saya mengizinkan mana-mana pihak yang ingin menggunakannya untuk disebarkan di mana-mana laman web mereka.

    Diharap, banner ini dapat membantu saudara Hairuman dan saudari Maryuni.

    Wahai pembaca-pembaca yang budiman, marilah kita sama-sama membantu saudara Hairuman.

    ReplyDelete
  6. Assalammualaikum wbt.

    Terima kasih tidak terhingga kpd saudara admin, kerana prihatin dan sudi membantu. Saya terasa amat terharu ats kebaikan anda. Tidak lupa juga jutaan Terima kasih kpd anda sekalian pembaca-pembaca blog yang prihatin dan menghulurkan bantuan. Semoga Allah memberikan rahmat kepada kita semua. Amin....

    ReplyDelete
  7. Assalammualaikum wbt. Saya puan Maryuni Bt Miskon, kakak kepada Hairuman Bin Miskon. Ingin berkongsi bahawa Hairuman telah dimasukkan ke wad Rehabilitasi di HKL bagi meneruskan rawatan perubatan dan pemulihannya pada 22.2.2012 untuk jangkamasa yang tidak diketahui lagi, semuanya bergantung kepada apa kata doktor. Yang pasti ia akan memakan masa berbulan-bulan lamanya, dan yang pasti ia memerlukan kos yang agak besar, sama seperti keadaan sebelum ini. Begitu perit dan jerih ranjau yang perlu dilalui, namun terpaksa ditempuhi juga demi sebuah kehidupan dan kelangsungan hidup. Kepada pembaca-pembaca sekalian, jutaan terima kasih atas keperihatinan anda. Kami mengharapkan doa, harapan dan sokongan anda semua. Sumbangan dan derma juga amat kami alu-alukan demi meringankan beban dan kos perubatan Hairuman sepanjang di rawat di HKL. Semoga Allah memberi rahmat ke atas kita semua. Amin….

    Untuk sebarang sumbangan bolehlah disalurkan ke :
    MARYUNI BT MISKON
    MAYBANK A/C : 162030632448
    CIMB A/C : 12570000203529
    atau
    MUHAMAD HAIRUMAN B. MISKON
    CIMB A/C : 12570005386520

    ReplyDelete
  8. Salam, saya Dian dari MHI TV3..

    Puan Maryuni Miskon, diharap dapat menghubungi saya semula, kami difahamkan Hairuman kini sedang mencari pekerjaan.. Kami ingin membantu.. Bagaimana pula dgn rawatan? Adakah Hairuman masih dan perlu menjalani rawatan?

    Boleh hubungi saya melalui email, dz_mysara@yahoo.com atau maisarah@primeworks.com.my

    ReplyDelete