December 14, 2010

Pegawai polis dibebas daripada tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pegawai polis daripada tuduhan menerima rasuah pada 2007.

Hakim Abu Bakar Khatar membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ASP Sydney Clyde, 48.

Pada 4 Februari 2009, Sydney mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersetuju menerima rasuah wang tunai RM2,000 daripada Mohd Khusaifil Che Rashid, sebagai dorongan untuk melepaskan Hoi Chee Kin, 28, daripada kesalahan menawarkan perkhidmatan seks.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Penolong Penguasa Polis, Tingkat 8, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 3.30 petang, 26 Oktober 2007.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan telah memanggil 14 orang saksi.

Sydney diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Yong Poh Yoke.

Sementara itu, Sydney yang dihubungi berkata beliau amat gembira dengan pembebasan itu dan berterima kasih kepada keluarga yang memberi sokongan kepadanya sepanjang perbicaraan.

"Setelah mahkamah mendengar keterangan saksi ternyata saya tidak terbabit seperti mana dipertuduhkan," katanya.

Beliau yang sebelum ini bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi akan kembali bertugas sebagai pegawai penyiasat di Bukit Aman setelah setahun tidak berkhidmat. - BERNAMA

14 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment