December 20, 2010

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Dihukum Penjara

Jel 56 tahun, denda RM620,000


KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Ketua Pengarah 1 Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar (gambar) dijatuhi hukuman penjara 56 tahun dan denda RM620,000 selepas didapati bersalah terhadap 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM121,500 bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warga China dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Abu Bakar Katar memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan keterangan pihak pendakwaan bahawa Yusof, 56, bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu pada Khamis lalu.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara minimum di antara dua tahun dan denda RM10,000 serta maksimum enam tahun dan denda RM92,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Abu Bakar memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dan itu bermakna Yusof hanya perlu menjalani hukuman selama enam tahun bermula daripada tarikh beliau dijatuhi hukum.

Kosmo
21 Dis 2010



Pak Usop kena 6 tahun

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengarah 1 Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar yang didapati bersalah terhadap 14 pertuduhan rasuah membabitkan RM121,500, lima tahun lalu, dikenakan hukuman enam tahun penjara dan denda RM620,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan dihadapi Yusof, 56, yang diputuskan Khamis lalu.

Bagi kesalahan itu, beliau dikenakan hukuman penjara antara dua tahun sehingga enam tahun dan denda RM10,000, sehingga RM92,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Beliau bagaimanapun memerintahkan keseluruhan hukuman 56 tahun penjara bagi 14 pertuduhan itu berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan iaitu pada 16 Disember lalu.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi dengan syarat tambahan, notis rayuan itu difailkan hari ini sebelum atau pada jam 9 pagi dan wang jaminan dinaikkan RM20,000.

Mengikut pertuduhan, Yusof didakwa menerima rasuah antara RM500 dan RM18,500 daripada pengurus jualan sebagai dorongan meluluskan lanjutan pas lawatan warga China Kesalahan dilakukan di pejabatnya di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya dan di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang, serta di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu, antara 21 Mac dan 25 Jun 2005.

Semua tuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama, jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun, dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu peguam Yusof, Mohammed Azmi Mohd Said memohon hukuman terhadap anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah mempunyai kuasa dan budi bicara menangguhkan hukuman ini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria membantah permohonan itu dengan alasan pihak perayu gagal menunjukkan kepada mahkamah satu keadaan istimewa atau luar biasa bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman.

Seramai 15 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dikemukakan sepanjang prosiding kes.

myMetro
21 dis 2010

0 comments:

Post a Comment