December 14, 2010

ASP nafi liwat remaja

KLANG: Seorang anggota polis berpangkat asisten superintendan (ASP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan meliwat seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di dalam sebuah tandas, di sini, akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, Ruslan Ibrahim, 52, yang bertugas di Pasukan Gerak Am (PGA), Ulu Kinta, Perak, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan di luar tabii di tandas dewan makan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, kira-kira jam 10.05 malam, 27 Disember 2009.

Bagi pertuduhan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada Alwi menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin atas alasan kesalahan yang dilakukan manakala usia mangsa yang terbabit dalam kes itu masih muda.

Siti Syuhada berkata, ikat jamin tinggi perlu diberikan kerana dakwaan itu membabitkan anggota pasukan keselamatan negara. Slamat kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

myMetro
14 Dis 2010

0 comments:

Post a Comment