November 21, 2010

Tragedi timpa keluarga ubah hidup Noratikah

ARKIB : 18/08/2010

MELAKA 17 Ogos - Kisah kemalangan yang meragut nyawa ibu, ayah dan kakaknya kira-kira enam tahun lalu pernah dipaparkan akhbar ini.

Kemalangan yang berlaku di Kilometer 24, Jalan Kuantan-Kemaman pada 20 Jun 2005 itu menyebabkan Noratikah Ibrahim, 10, dan enam adik-beradiknya menjadi yatim-piatu sekelip mata.

Ketika itu, Noratikah baru berusia lima tahun dan tidak memahami kemalangan tragis yang telah menimpa keluarganya.

Kehilangan ibu bapa yang juga seorang pemilik syarikat binaan, Ibrahim Yaakob dan Saadiah Osman serta kakak tersayang, Norasyikin, benar-benar mengubah kehidupan Noratikah enam beradik sejak kejadian itu.

Noratikah kini menjadi salah seorang penghuni Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah, Bukit Katil di sini yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah peninggalan ibu bapanya di Jalan Tebing Tinggi di sini.

Menurut Noratikah, selang tiga tahun selepas kematian ibu bapa dan kakaknya, dia menghuni rumah anak yatim di situ agar hidupnya lebih terurus.

"Saya bukan minta untuk hidup begini tetapi saya rela berpisah dengan adik-beradik yang lain kerana tidak mahu hidup saya membebankan mereka.

"Bagi memastikan hidup saya dan adik-adik lebih terjamin, saya sanggup menjalani kehidupan di rumah anak yatim dan saya yakin, cita-cita untuk menjadi saintis akan tercapai," katanya.

Noratikah ditemui pada majlis meraikan 76 anak yatim Malam Amal Mesra anjuran Hotel Naza Talyya di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.35 pagi lima tahun lalu, lima terbunuh termasuk ibu dan bapa tujuh beradik terbabit selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres.

Kemalangan itu turut mengorbankan satu lagi pasangan suami isteri yang juga ibu bapa angkat Ibrahim dan Saadiah iaitu Dat Yon dan Shamsiah Senin.

Kematian Ibrahim dan Saadiah menyebabkan abang sulung Noratikah, Mohd. Al Hafiz, 27, menjadi ibu bapa kepada adik beradiknya yang lain iaitu Noorhuda, 25, Noor'ain, 22, Sofia, 18, Mohamad Ali, 14, dan Mohd. Lukman Hakim, 9.

Menurut Noratikah, abang sulungnya kini tinggal di Bukit Rambai dan mereka dijaga oleh dua kakak, Noorhuda dan Noor'ain di rumah peninggalan bapa di Jalan Tebing Tinggi.

Noor'ain kini bertugas di Telekom Malaysia (TM) MITC Ayer Keroh selepas tamat persekolahan. Allahyarham kakaknya, Norasyikin juga pernah bertugas sebagai Pembantu Perkhidmatan Pelanggan di Pusat Perkhidmatan Direktori TM.

Menurut Noratikah, dia tidak pernah membayangkan menjalani kehidupan sebagai anak yatim dan tinggal di Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah namun ketiadaan ibu bapa serta tidak mahu membebankan adik beradik menyebabkan dia tiada pilihan lain.

''Sejak menghuni rumah anak yatim di sini, saya tekad untuk mengubah perangai dan mahu menjadi budak baik demi masa depan serta mahu membantu keluarga saya," katanya.

Sempena majlis Malam Amal Mesra itu, Noratikah dan 75 penghuni Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah menerima pelbagai bantuan sempena bulan Ramadan.

Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron; Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Yunos Husin; ADUN Tanjung Bidara, Datuk Ab. Karim Sulaiman dan Pengurus Hotel, Abu Hassan Ismail.

Utusan

0 comments:

Post a Comment