November 27, 2010

Pemuda muntah minum air lipas

SRI RAMPAI – Seorang pemuda termuntah apabila tergigit objek yang disangka serbuk minuman yang tidak hancur rupa-rupanya seekor lipas ketika minum di sebuah restoran, di sini.

Mangsa, Arzemi Mohamad, 21, berkata, ketika kejadian dia sedang minum di restoran terletak di Wisma Rampai dan kesal dengan cara pihak restoran itu yang tidak menunjukkan rasa bersalah mereka.

“Mulanya saya fikir objek itu serbuk air tidak hancur, saya pun menggigitnya tetapi rasanya seperti plastik, kemudian saya keluarkan dari mulut dan terkejut apabila ia adalah seekor lipas bersaiz kecil.

“Apa yang saya kesalkan adalah sikap pihak restoran itu yang langsung tidak meminta maaf dan buat muka tidak bersalah seperti sudah biasa dengan keadaan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah terjumpa lalat dalam kuah dal ketika makan di restoran yang sama, namun memikirkan ia adalah kebetulan dan pihak restoran tidak sedar, dia hanya mengendahkannya.

Namun, selepas kejadian kedua yang dialaminya itu, ternyata pihak restoran tidak menitik beratkan aspek kebersihan ketika mengendalikan makanan di premis mereka.

“Saya akan buat aduan kepada Persatuan Pengguna dan berharap pihak restoran itu lebih berhati-hati dan memastikan perkara tersebut tidak berulang.

“Apa yang penting, pihak restoran sepatutnya lebih mesra pelanggan, sekurang-kurangnya memohon maaf kepada pelanggan, sebaliknya mereka tidak mengendahkannya,” katanya.

Sinar Harian
27 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment