November 27, 2010

Lemas disangka gurauan

TANJUNG KLING - Kegembiraan enam rakan sekampung dari Batu 9, Air Salak, Bukit Rambai, untuk mandi laut berakhir duka apabila salah seorang daripada mereka lemas, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Tan Kee Chuan, 15, lemas walaupun cuba diselamatkan rakannya, Heng Kim Hai, 36; Denis Sia, 16; Daniel Ng, 18; Denis Heng, 15, dan Ong Shee Leong, 15.

Kim Hai berkata, sebelum kejadian mangsa menelefonnya, mengajaknya bersama empat lagi rakan yang lain mandi bersama di laut berhampiran Kondominium Ocean Palms, di sini.

Menurutnya, ketika sampai di pantai, dia dan empat rakannya melihat mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah (SM) Gajah Berang mandi seorang diri.

“Sebelum menyedari dia lemas, kami yang hanya duduk di pantai melihat dia mandi. Kemudian dia terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong.

“Pada mula kami menyangka dia hanya bergurau lemas untuk ‘memancing’ kami mandi bersama tetapi lama-kelamaan kami hanya nampak bahagian kepala dia sahaja dan ketika itu baru sedar, dia benar-benar lemas,” katanya ketika ditemui di Pantai Batu 6 1/2, Lereh, di sini, semalam.

Sinar Harian
27 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment