November 23, 2010

‘Geng Mat Yie’ tumpas

TUMPAT - Sebanyak 74 kes pecah rumah yang dilaporkan di Tumpat dan Kota Bharu sejak awal tahun ini, berjaya diselesaikan, berikutan penangkapan ‘Geng Mat Yie’ dalam tiga serbuan di Tumpat dan Kota Bharu.

Empat lelaki, termasuk dua daripadanya ada pertalian adik-beradik dam seorang wanita ditahan polis 14 November lalu, di Kampung Laut, Tumpat; di kampung Palekbang, Tumpat dan ketua kumpulan ini dikenali Mat Yie di Kampung Semut Api, Kota Bharu.

Pemangku Timbalan Ketua Polis negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, pembongkaran bermula dengan penangkapan empat lelaki yang dipercayai kumpulan itu ditahan selepas sepasukan polis membuat intipan dan serbuan selepas menerima laporan kejadian pecah rumah sekitar Wakaf Bharu, Palekbang, Tumpat dan Kota Bharu.

“Anggota kami berjaya menahan kumpulan ini selepas menerima laporan daripada seorang wanita Cina berusia 41 berhubung kejadian pecah rumah dekat Wakaf Baru ketika sedang menutup kedai pada jam 12.30 pagi.

“Dia didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang mengacu kepadanya sebelum menggeledah dan mengambil barang bernilai di rumah itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, semalam.

Mazlan berkata, bertindak berdasarkan laporan daripada wanita itu, sepasukan anggota polis membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Laut Palekbang dan menahan seorang wanita berusia 21 yang dipercayai isteri suspek dan merampas sebuah komputer riba dipercayai milik mangsa.

“Hasil siasatan wanita berkenaan, polis menjalankan siasatan dan serbuan kali kedua di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Laut 2, Palekbang dan menahan dua lagi lelaki Melayu berusia 20-an dan 29 tahun.

“Pasukan kami berjaya merampas beberapa jenis senjata tajam dan berbahaya dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan saspek untuk kegiatan pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek, sepasukan anggota membuat serbuan dekat Jalan PCB Kota Bharu dan berjaya menahan ketua kumpulan tersebut yang dikenali Mat Yie, 25, sebelum berjaya menangkap adik mangsa yang dikenali Mat Yo, 23.

Katanya, hasil siasatan dari lelaki itu polis menemui 11 utas gelang berwarna kekuningan, lapan utas rantai leher, sembilan gelang tangan, dua anting-anting, kerongsang, 20 bentuk cincin, 20 biji batu permata, 13 buah jam tangan dan 20 telefon bimbit.

“Polis juga menemui beberapa komponen motosikal yang dilerai, 12 keping wang siling kenangan, barang-barang elektrik, komputer riba, televisyen dan pelbagai jenis senjata berbahaya termasuk parang, pedang, sabit, kapak, lawi ayam dan perhubungan radio.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dan denda,” katanya.

Kesemua suspek direman selama empat hari mulai semalam manakala isteri suspek utama yang berusia 21 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis juga mengambil keterangan dari dua orang yang membeli barang-barang dari suspek itu berusia 51 dan 56 tahun bagi mendapat maklumat lanjut,” katanya.

Menurutnya, keempat-empat lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah sebelum ini dan dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak 10 bulan lalu serta tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.

Dengan penahanan empat lelaki berusia antara 20 dan 29 tahun tersebut, polis berjaya menemui pelbagai jenis barang termasuk barang kemas, senjata berbahaya, telefon bimbit, barang-barang elektrik dan komponen motosikal bernilai kira-kira RM70,000.

Sinar Harian
23 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment