September 30, 2010

Sosilawati hilang

ARKIB : 6/9/2010


Jutawan kosmetik tak dapat dikesan sejak 30 Ogos

KUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik yang juga bekas isteri penyanyi Nash, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dilaporkan hilang sejak seminggu lalu bersama tiga individu lain dipercayai peguam dan pemandunya serta seorang pegawai bank.

Kehilangan Sosilawati menimbulkan misteri kerana sehingga malam tadi polis masih belum dapat mengenal pasti motifnya, malah ahli keluarganya juga tidak menerima sebarang panggilan menuntut wang tebusan.

Menurut sumber, pengasas empayar produk kecantikan Novelle Visages itu dikatakan keluar dari banglo mewahnya di Taman Harmonis, Gombak di sini pada 30 Ogos lalu untuk meninjau projek terbarunya di Banting dan sepatutnya pulang tiga hari selepas itu.

Sooselawati dikatakan memberitahu anak-anaknya yang beliau akan ke Banting selama tiga hari untuk perbincangan perniagaan.

Bagaimanapun, selepas tiga hari tidak pulang ke rumah dan usaha menghubungi telefon bimbitnya juga gagal, anak-anaknya membuat dua laporan polis memaklumkan kehilangan ahli perniagaan itu, katanya.

Difahamkan, selain pemandunya, Sooselawati turut ditemani dua lagi individu. Ketiga-tiga individu itu juga tidak dapat dikesan sehingga malam tadi.

Berdasarkan maklumat diterima, tiga individu yang bersama Sooselawati ialah peguam dan pemandunya serta seorang pegawai bank yang mengikuti ahli perniagaan itu untuk meninjau projek terbarunya di Banting, katanya.

Kali terakhir Sooselawati dilihat di khalayak ramai ialah pada 28 Ogos lalu ketika menghadiri majlis berbuka puasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Dua hari sebelum itu, Sooselawati menghadiri perbicaraan kes tuntutan harta bernilai RM1.38 juta terhadap bekas suaminya, Nash atau Nasharuddin Elias.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan pihaknya menerima dua laporan dibuat ahli keluarga jutawan berkenaan berhubung misteri kehilangannya.

Pengadu (anak Sooselawati) memberitahu ibunya tidak pulang pada tarikh sepatutnya, selain mereka gagal mengesan dan menghubunginya.

Sama ada kehilangannya mempunyai unsur jenayah atau tidak, itu semua sedang disiasat. Setakat ini, kejadian diklasifikasikan sebagai kes orang hilang kerana keluarganya belum menerima apa-apa panggilan menuntut wang tebusan, katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Rakan Cop melalui talian 03-2115 9999 bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan.

Berita Harian
6 Sep 2010


ARKIB : 06/09/2010
Kes hilang: Polis teliti panggilan telefon Sosilawati

KUALA LUMPUR 6 Sept. — Senarai panggilan telefon terakhir pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dipercayai dapat membuka laluan penyiasatan berhubung kehilangan mereka sejak 30 Ogos lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya sedang menunggu data tersebut dan yakin butiran lanjut mengenai kejadian itu akan terungkai sebaik sahaja perincian penggunaan telefon oleh keempat-empat mereka diteliti.

"Kita perlu siasat kesemua anggota keluarga yang terlibat. Setakat ini kita belum dapat apa-apa petunjuk lagi.

"Antara yang kita siasat adalah panggilan telefon (panggilan terima dan panggilan keluar) kesemua mangsa untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang akan berkuat kuasa 12 September ini, di sini hari ini.

Musa berkata, setakat ini, hanya satu laporan saja diterima polis berhubung kehilangan keempat-empat individu tersebut, iaitu pada Khamis lepas daripada keluarga Sosilawati.

Sosilawati, 47, dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya setelah dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak, sejak seminggu lepas.

Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandu, peguam peribadi dan seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lepas dan difahamkan Sosilawati membawa wang jutaan ringgit. — Bernama


ARKIB : 07/09/2010
Kereta Sosilawati, peguam ditemui


SUBANG JAYA 6 Sept. - Siasatan kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya menunjukkan perkembangan apabila kereta milik beliau dan peguamnya ditemui di dua lokasi berbeza malam ini.

Kereta BMW milik Sosilawati, 47, ditemui di Pangsapuri Angsana USJ1 di sini diikuti kereta milik peguamnya di sebuah kawasan perumahan berhadapan Dorsett Hotel Subang Jaya.

Difahamkan, seorang peniaga yang mengecam nombor plat kereta Sosilawati menerusi berita di televisyen melaporkan penemuan itu kepada pihak polis pada pukul 9.30 malam.

Peniaga itu menonton berita mengenai kehilangan jutawan itu yang turut mendedahkan nombor plat kereta yang dinaikinya dan apabila dia turun ke bahagian bawah pangsapuri berkenaan selepas itu, dia nampak kereta dengan nombor plat sama ada di tempat letak kereta di bahagian hadapan pangsapuri tersebut lalu melaporkannya kepada polis.

Selepas menemui kereta Sosilawati, difahamkan polis mendapat maklumat mengenai kereta BMW milik peguam itu di sebuah kawasan perumahan berhadapan hotel tersebut lalu bergegas ke lokasi berkenaan.

Polis menemui beberapa kesan cap jari pada kereta berkenaan dan usaha sedang dilakukan oleh bahagian forensik untuk mengesan pemiliknya.

Kedua-dua kereta berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan.

Dalam pada itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tengah hari ini berkata, polis akan meneliti senarai panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) akhir yang diterima atau dibuat oleh kesemua mereka yang hilang itu bagi memperoleh petunjuk mengenai kes tersebut.

''Pihak polis sedang menunggu data panggilan daripada syarikat telekomunikasi dan yakin butiran lanjut mengenai kejadian itu akan terungkai.

"Yang pasti, mesti Sosilawati ada membuat atau menerima panggilan dan SMS sebelum beliau dilaporkan hilang," katanya.

Musa memberitahu, polis membuat siasatan daripada pelbagai sudut dan sebarang kemungkinan turut diambil kira bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman pula ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan suami Sosilawati bagi membantu siasatan kehilangan isterinya.

"Suaminya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini kira-kira pukul 3 petang tadi," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak, hari ini mendapati kediaman tersebut tenang dengan dihadiri ahli keluarga terdekat.

Sosilawati dilaporkan hilang bersama tiga lagi iaitu pemandunya, peguam peribadi serta seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lalu.

Pemilik syarikat kosmetik, Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. (Nouvelle Beauty) itu tidak pulang ke rumah setelah pergi ke Banting, Selangor untuk menemui peguam atas urusan pembelian tanah di Pulau Pinang dan kes itu diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. - Utusan


ARKIB : 07/09/2010
Sosilawati beli kerepek dan kuih untuk kakitangan syarikat

KUALA LANGAT 7 Sept. – Hartawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dilihat membeli kerepek dan kuih di sebuah kedai di Kampung Sungai Lang, Banting di sini untuk diberikan kepada kakitangannya sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma sebelum dilaporkan hilang sejak seminggu lepas.

Menurut seorang pekerja di kedai kerepek berkenaan, Kerepek House Fazz Enterprise kira-kira dua kilometer dari pekan Banting, Sosilawati dan seorang lelaki datang ke kedai itu Khamis lepas.

Pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Ina itu berkata, Sosilawati datang kira-kira pukul 2 petang sebelum membeli beberapa jenis kerepek termasuk kerepek pisang, bawang, jejari bilis serta kuih dam, sanggul mak dara dan almond London.

"Dari perbualan saya dengan Datuk (Sosilawati) ada beritahu kuih itu untuk kakitangannya, saya berbual kerana sebagai pekerja saya melayan Datuk selaku pelanggan.

"Lebih-lebih lagi saya pengguna produk kecantikan yang diasaskan Datuk iaitu Nouvelle Visages,” katanya yang menambah Sosilawati memakai baju warna merah jambu dan seluar jenis legging hitam ketika datang ke kedai itu.

Ahad lepas, Sosilawati dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak.

Difahamkan Sosilawati tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya yang beliau mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun selepas tiga hari, beliau tidak pulang ke rumahnya sehingga ke hari ini.

Semalam, dua buah kereta mewah dipercayai milik Sosilawati dan seorang peguamnya ditemui oleh orang awam di dua lokasi berbeza di Subang Jaya.

Kereta terbabit iaitu BMW X5, dipercayai milik Sosilawati ditemui di tempat letak kenderaan di Pangsapuri Angsana, USJ 1, Subang Jaya, manakala BMW 5 siri dipercayai milik peguamnya ditemui berhadapan sebuah rumah teres berdekatan sebuah hotel di Subang Jaya. – Bernama


Buruan baru


KUALA LUMPUR: Selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis dan disifatkan amat penting kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.

Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya.

Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin yang dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan wanita itu terutama mengenai hubungannya dengan suspek yang ditahan, bagaimanapun enggan memberi ulasan lebih lanjut.

“Saya tidak boleh dedahkan apa-apa maklumat kerana bimbang ia boleh menjejaskan siasatan polis. Lebih penting, saya amat berharap orang ramai yang mengetahui di mana wanita itu berada supaya segera memaklumkan kepada polis,” katanya.

KAWAL...kenderaan yang membawa suspek keluar dari Ladang Gadong, semalam.

Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.

Selain itu, mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai wanita terbabit boleh melawat laman sosial rasmi PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.

Sementara itu, semalam polis membawa dua suspek yang terbabit kes pembunuhan Sosilawati ke Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Banting.

myMetro
5 Okt 2010


Tuntut ganti rugi RM60 juta

SHAH ALAM 2 Nov. – Enam anak Datuk Sosilawati Lawiya hari ini memfailkan saman terhadap peguam N. Pathmanabhan dan lima pekerja ladang yang didakwa membunuh serta melupuskan mayat jutawan kosmetik itu bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM60 juta.

Mereka memfailkan saman tersebut melalui firma guaman Tetuan Kamarudin & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 8.45 pagi ini.

Anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, bertindak sebagai plaintif pertama serta wakil peribadi kepada harta pusaka dan sebagai waris Allahyarham.

Sementara Erwan Suwari Rizuwan, 24; Md. Erwan Nasri, 23; Erni Erinawati Sofia, 21; Erni Rineelawati, 20; dan Siti Nur Fatimah, 13, yang diwakili bapa mereka, Buhari Mohamed bertindak sebagai plaintif seterusnya.

Mereka menamakan Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang miliknya, R. Kathavarayan, R. Mathan serta T. Thilaiyalagan yang masing-masing didakwa membunuh Sosilawati sebagai defendan pertama hingga keempat.

Manakala dua lagi, K. Sarawanan dan U. Suresh yang telah dihukum penjara tujuh tahun bagi kesalahan melupuskan mayat Sosilawati dinamakan sebagai defendan kelima dan keenam.

Peguam Kamarudin Ahmad semasa ditemui pemberita memaklumkan, jumlah saman RM40 juta yang dirancang sebelum ini ditambah kepada RM60 juta selepas pihaknya mendapat maklumat bahawa Sosilawati berhasrat menyenaraikan syarikatnya ke Bursa Saham.

Beliau berkata, saman itu difailkan bertujuan menghantar mesej kepada orang awam bahawa jenayah seperti yang didakwa dilakukan keenam-enam tertuduh perlu diberi hukuman yang berat.

Selain Kamarudin, kesemua plaintif yang tidak hadir di mahkamah hari ini turut diwakili peguam Won Walter Pereira dan Annie Gomez.

Dalam pernyataan tuntutan, mereka mendakwa, Sosilawati meninggalkan pejabat di Kampung Baru, Kuala Lumpur bersama pemandunya, Kamarudin Shamsudin untuk berurusan dengan Pathmanabhan pada 30 Ogos lalu.

Turut bersama beliau ialah peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad.

Sejurus tiba di Banting, mereka dikatakan diarah oleh Pathmanabhan atau wakilnya untuk ke sebuah ladang di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini.

Di ladang itu, defendan kedua hingga keempat atas arahan Pathmanabhan didakwa telah menahan dan menggunakan kekasaran ke atas Sosilawati serta tiga rakannya sehingga menyebabkan kematian mereka.

Defendan kelima dan keenam yang didakwa mengetahui tentang pembunuhan tersebut pula membantu dan bersekongkol untuk melupuskan kesemua mayat tersebut.

Pathmanabhah, Kathavarayan, Mathan dan Thilaiyalagan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat dekat sini pada 13 Oktober lalu atas tuduhan membunuh keempat-empat mangsa antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu.

Mereka yang sedang menunggu perbicaraan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Defendan kelima dan keenam masing-masing dihukum penjara tujuh tahun oleh mahkamah yang sama pada 15 Oktober lalu selepas mengaku bersalah mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati dan tiga lagi mangsa.

Berikutan kejadian itu, pihak plaintif mendakwa mengalami trauma dan menghadapi kesedihan yang berlarutan selain kesusahan berikutan kematian ibu mereka yang merupakan tulang belakang dalam keluarga itu.

Ini kerana Sosilawati telah menubuhkan syarikat kosmetik Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. dengan produk kecantikan Nouvelle Visages(nv) dan berjaya membuka 300 kedai dan pengedar di seluruh negara selain Brunei, Singapura dan Thailand dalam masa 10 tahun.

Mereka mendakwa mengalami kehilangan dan kerugian kerana perjalanan Nouvelle Beauty Centre dengan aset keseluruhan sebanyak RM6.37 juta yang diwarisi mereka terjejas berikutan kematian Sosilawati.

Dakwa pihak plaintif lagi, wanita yang memenangi anugerah “Wanita Nadi Negara” dari negeri Johor itu juga merancang untuk menyenaraikan kumpulan syarikat Nouvelle Visages di Bursa Malaysia yang akan meningkatkan nilai pegangan sahamnya.

Sehubungan itu, mereka menuntut ganti rugi am RM20 juta, ganti rugi teladan RM40 juta, ganti rugi khas, faedah pada kadar lapan peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan sebarang perintah yang patut dan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Kamarudin turut memberitahu pemberita, pihaknya telah memaklumkan kepada keluarga Kamarudin, Noorhisham dan Ahmad Kamil berhubung tuntutan saman itu tetapi sehingga kini keluarga ketiga-tiga mangsa itu belum memberi sebarang maklumat balas.

Utusan
3 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment