August 3, 2010

Kanak-kanak berusia setahun maut tercampak dari kereta

KUANTAN - Seorang kanak-kanak lelaki maut apabila dia tercampak keluar dari kenderaan yang dipandu oleh bapanya yang dilanggar sebuah kereta jenis lain di KM 101.2 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Lanchang, semalam.

Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, Lau Hau Kang yang berusia satu tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Lanchang akibat kecederaan parah di badan.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.10 pagi apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapanya berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Raub ke Kuantan telah dirempuh dari belakang oleh kereta Toyota.

"Kenderaan pacuan empat roda tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan sebelum terbalik," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa dan ibunya telah tercampak keluar dari kenderaan itu manakala bapa mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

Beliau berkata, ibu mangsa cedera parah dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital manakala bapanya hanya cedera ringan.

Sinar Harian
3 Ogos 2010


Bayi, ibu mati selepas terhumban

BEGINILAH keadaan Toyota Hilux yang dinaiki tiga beranak selepas terlibat dalam kemalangan di Temerloh semalam.

KUANTAN - Seorang bayi lelaki bersama ibunya terbunuh apabila terhumban keluar daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux selepas dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios di Kilometer 101.2 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Lanchang, Pahang kelmarin.

Kejadian pukul 11.10 pagi itu mengakibatkan Lee Hau Kang yang berusia setahun maut ketika dalam perjalanan ke Klinik Lanchang akibat kecederaan parah di badan.

Ibunya, seorang warga Vietnam, Nguyen Thi Tham, 23, disahkan mati 18 jam kemudian ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS).

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, sebelum kejadian, kenderaan itu dipandu oleh suami mangsa menuju ke Kuantan dari Kampung Sempalit, Raub.

"Kenderaan mangsa telah dirempuh dari belakang oleh kereta Toyota Vios menyebabkan suami Thi Tham hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.

"Kenderaan itu kemudian telah merempuh penghadang besi jalan menyebabkannya terbalik," katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.

Kosmo Online
3 Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment