April 19, 2016

Seorang lagi mayat tertimbus dijumpai

Keadaan mayat mangsa ketika ditemui.

JOHOR BAHRU - Mayat seorang lagi lelaki warga Indonesia yang tertimbus di tapak lombong Pasir Linggiu, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Jumaat lalu akhirnya telah ditemui, tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan, Rahmat Othman berkata, mayat Udin Nur Udin, 45, dijumpai sekumpulan rakan sekerjanya dengan mnggunakan bantuan jentera pengorek jenis Kobe pada 12.40 tengahari.

"Difahamkan mayat mangsa telah dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa pertama dijumpai dan berjaya dikeluarkan sepenuhnya pada pukul 2.20 petang.

"Keputusan bedah siasat di Hospital Kota Tinggi menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada kecederaan teruk pada bahagian kepala" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sinar Harian 12 Apr 2016


Buruh mati tertimbus, rakan hilang

KOTA TINGGI - Seorang lelaki warga Indonesia maut, manakala seorang lagi rakannya masih gagal ditemui selepas tertimbus berikutan kejadian runtuhan di tapak lombong pasir, di Bandar Tenggara, Kota Tinggi kira-kira jam 11.30 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, runtuhan di lombong pasir berketinggian 100 kaki itu menyebabkan kedua-dua mangsa tertimbus, bagaimanapun mayat Saeful Amir, 30, berjaya dikeluarkan.

Menurutnya, mayat Saeful ditemui tersepit di rantai besi sebuah jentera sedut pasir dan dikeluarkan hasil bantuan pekerja lain, bagaimanapun Udin Nur Udin, 45, juga warga Indonesia masih gagal ditemui.

“Seorang pekerja lombong hubungi majikan mereka, beritahu berlaku runtuhan di lokasi kejadian dan menimpa dua jentera serta dua pekerja tertimbus.

“Majikan mangsa kemudiannya segera ke lokasi dan mendapati pekerja di lombong itu bawa keluar mayat Saeful, namun usaha mencari Udin tidak berhasil menyebabkan mereka bertindak hubungi polis kira-kira jam 7 malam,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hasil bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7.30 malam.

Bagaimanapun katanya, operasi terpaksa dihentikan berikutan cuaca gelap dan berlaku pergerakan tanah.

Tambah Rahmat, mayat Saeful yang mengalami kecederaan parah di kepala dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

“Pasukan SAR melibatkan tujuh anggota dan seorang pegawai dari Balai Polis Bandar Tenggara serta pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, memulakan operasi kira-kira jam 9.30 pagi (semalam), namun dihentikan lebih dua jam kemudian selepas berlaku runtuhan susulan, selain kawasan lombong agak luas.

“Majikan dan wakil Kedutaan Indonesia telah dimaklumkan berhubung situasi semasa tempat kejadian serta keputusan untuk menghentikan operasi SAR,” katanya.

Sinar Harian 10 April 2016


Tragedi tertimbus pasir

MESIN jengkaut terbalik dalam kejadian tanah runtuh di kawasan perlombongan pasir di Jalan Kluang-Kota Tinggi, kelmarin.

Kota Tinggi: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui maut akibat tertimbus dalam pasir manakala seorang lagi hilang di kawasan perlombongan pasir di Jalan Kluang-Kota Tinggi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa ditemui maut dikenali sebagai Saeful Amir, 30, yang juga pekerja di tapak perlombongan pasir itu.

Bagaimanapun, mayat Saeful yang tersepit di rantai besi mesin penyedut pasir dibawa keluar dengan bantuan beberapa pekerja lain di tapak itu jam 2 petang.

Sehingga petang semalam, anggota bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih gagal menemui mangsa kedua, Udin Nur Udin, 45.

Udin yang juga pekerja di tapak perlombongan pasir itu dikhuatiri tertimbus 15 meter ke dalam tanah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, operasi SAR tidak dapat diteruskan dan dihentikan jam 12 tengah hari semalam kerana masih berlaku pergerakan tanah di tapak perlombongan berkenaan.

“Runtuhan tanah itu menimpa dua mesin iaitu mesin pengorek dan penyedut pasir serta dua pekerja.

“Seorang daripada mangsa dikeluarkan pekerja lain manakala seorang lagi tertimbus.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan punca kematian akibat parah di kepala,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada majikannya untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak majikan dan wakil Kedutaan Indonesia juga dimaklumkan berhubung situasi semasa di tempat kejadian,” katanya.

myMetro 10 April 2016




0 comments:

Post a Comment