April 19, 2016

Tiga maut nahas dua kereta


'Tidak sangka mangsa itu suami saya'

PASIR MAS - Tiga pemuda maut dalam kemalangan di Jalan Gelang Mas Pasir Mas, dipercayai jam 2.30 petang tadi.

Mangsa yang maut dikenali Muhammad Faris Zulkifli, 23; Mohammad Suhaimi Muhd Nawi, 19 dan Shamsool Mohamed Zangi, 45.

Muhammad Faris dan Mohammad Suhaimi maut di tempat kejadian dan ditemui dalam keadaan separuh rentung, selepas kereta Proton Saga Iswara yang dipandu terbakar.

Manakala seorang lagi mangsa yang menaiki Proton Wira meninggal dunia di Hospital Pasir Mas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Sementara itu, ibu seorang mangsa berkata, sehari sebelum kejadian itu, dia terpaksa menunaikan solat Zohor dua kali, disebabkan tidak khusyuk selepas mendengar anaknya itu seolah-olah merepek dan bercakap yang bukan-bukan.

Kalsom Salleh, 48, berkata, anaknya, Mohammad Suhaimi, kedengaran mengeluarkan kata-kata kesat ketika menghubungi rakannya, menyebabkan dia solatnya agak terganggu.

“Adiknya juga pelik dengan perubahan sikap abangnya itu sedangkan sebelum ini, dia seorang yang periang serta peramah,” katanya.

Sementara itu, isteri seorang lagi mangsa, Noraini Yamin, 44, berkata, dia tidak menyangka tindakannya menghubungi suami, Shamsool, berakhir dengan tragedi.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia dalam perjalanan ke Klinik Desa Gelang Mas, namun terpaksa berhenti di tepi jalan akibat kerosakan kereta.

“Saya tak sedar suami yang memandu kereta Wira dah lama lintas tempat saya berhenti.

“Saya dapat panggilan daripada klinik, mengarahkan saya ke tempat kejadian kerana terdapat kemalangan. Saya terkedu mendapati suami saya yeng menjadi mangsa, malah dua kali saya pandang arwah kerana tak sangka, mangsa adalah suami saya,” katanya.

Sementara itu, ibu Muhammad Faris, Mariam Yaakub, 41, berkata, dia reda dengan pemergian anak kedua daripada lima beradik itu, yang meninggal dunia dalam keadaan separuh rentung.

“Arwah baru saja pulang dari Kuala Lumpur kerana mahu mencari kerja dan keluar sebentar dengan rakan-rakan. Saya tak sangka pagi itu adalah hari terakhir saya bertemu dengannya,” katanya.

Sinar Harian 12 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment