November 4, 2013

Polis tahan sepuluh lelaki

Dungun: Polis menahan lapan lelaki warga Vietnam serta dua lelaki warga tempatan yang dipercayai dalam perjalanan masuk ke hutan untuk mencuri kayu gaharu di Kampung Kuala Jengal, kelmarin.

Lelaki warga Vietnam berusia 30-an bersama dua lelaki tempatan berusia 38 dan 50-an itu yang menaiki sebuah van ditahan dalam sekatan jalan di depan Balai Polis Kuala Jengai, jam 9.30 pagi dan pemeriksaan lanjut polis menemui tiga guni berisi kayu candang dianggarkan seberat 30 kilogram.

Difahamkan, kayu gaharu itu dikategorikan sebagai kayu gaharu kelas C dianggarkan bernilai antara RM1,000 hingga RM3,000 sekilogram yang mahu dipasarkan di Singapura.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menemui pelbagai jerat haiwan, senjata seperti parang, kapak dan pisau, selain ubat-ubatan dan barangan dapur seperti 60 kilogram beras, susu, gula dan minyak masak.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, ketika disoal siasat, suspek mendakwa dalam perjalanan dari Hulu Terengganu ke Kuantan dan memasuki kawasan itu akibat tersesat jalan.

“Kami mengesyaki mereka dalam perjalanan ke hutan di kawasan itu dalam tempoh agak lama berikutan stok makanan dibawa agak banyak,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Balai Polis Bergerak Kuala Jengal di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jengal, kelmarin.

Beliau berkata, semua lelaki warga Vietnam itu mempunyai pasport, tetapi sudah tamat tempoh.

“Semua suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut dan kes akan diserahkan kepada Pejabat Perhutanan Daerah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang cubaan memasuki hutan untuk mencuri kayu gaharu diminta memberi maklumat kepada polis.

myMetro 4 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment