November 4, 2013

Peniaga maut rempuh pembahagi jalan

KUALA KANGSAR - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum merempuh besi pembahagi jalan berhampiran Kampung Changkat Jambu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Fauzi Mamat, 40, meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar akibat kecederaan parah di kepala, tiga jam selepas kemalangan tersebut berlaku.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, mangsa dipercayai baru selesai menghadiri ‘Bike Week’ di Taiping dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kelantan.

Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, mangsa yang merupakan seorang peniaga tidak sempat mengelak sebuah motosikal yang cuba membelok ke kanan.

“Rempuhan kuat menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan dikejarkan ke hospital.

"Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam selepas kemalangan,” katanya.

Beng Kang berkata, sebuah lagi motosikal yang turut terlibat dalam kemalangan itu dinaiki seorang suri rumah yang membawa anaknya.

“Wanita itu dan anaknya mengalami kecederaan di bahagian kaki dan sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di hospital,” katanya.

Sinar Harian 4 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment